Masyarakat Islam tempatan dinasihatkan agar menyaring kandungan dakwah di media sosial khususnya daripada pempengaruh yang menyebarkan kandungan agama tanpa pentauliahan rasmi.

Asatizah yang dihubungi Berita Harian (BH) menasihatkan anggota masyarakat supaya merujuk kepada golongan bertauliah, khususnya yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), jika ada sebarang kemusykilan agama.

Anggota Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), Ustaz Abdul Manaf Rahmat, berkata masyarakat perlu mengambil pendekatan lebih berwaspada dan menyemak kesahihan kandungan agama yang dimuat naik oleh pempengaruh.

ARB, antara lain, bertanggungjawab mengawasi dan mengawal selia pembangunan profesional dan tingkah laku asatizah di Singapura.

“Masyarakat umum tidak boleh terima bulat-bulat (kandungan agama di media sosial) dan harus rujuk kepada yang lebih arif dalam bidang agama… kerana adakalanya, konteks mungkin tidak begitu sesuai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian menyusuli seorang ‘pempengaruh agama’ yang dikenakan hukuman penjara 27 tahun dan 10 bulan, serta 24 sebatan, pada 17 Ogos kerana melakukan kesalahan seksual terhadap dua beradik lelaki bawah umur antara 2023 dengan 2024.

Lelaki berusia 37 tahun itu tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah bagi melindungi identiti mangsa.

Lelaki itu berulang kali merogol adik daripada dua beradik tersebut, yang ketika itu berusia antara enam dengan lapan tahun.

Mangsa dirogol di beberapa lokasi, termasuk tandas sebuah masjid yang sering mereka kunjungi untuk menunaikan solat bersama.

Lelaki itu kemudian mengalihkan perhatiannya kepada abang mangsa yang ketika itu berusia antara 11 dengan 12 tahun, dan mencabulinya beberapa kali.

Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan merogol dan dua tuduhan mencabul kehormatan, manakala 12 lagi tuduhan berkaitan pelbagai kesalahan seksual diambil kira semasa Hakim Kwek Mean Luck menjatuhkan hukum.

Mengulas mengenai pempengaruh agama dalam era media sosial, Ustaz Abdul Manaf berkata adalah lebih baik ilmu agama disebarkan dan diterapkan oleh asatizah yang diiktiraf di bawah ARS.

Ini bagi “mengelakkan kekeliruan, boleh memakan diri sendiri dan menimbulkan masalah kepada masyarakat”, ujarnya.

Namun dari segi dasar, beliau berkata waris perlu memainkan peranan mengenali pendamping, menyiasat latar belakang pembimbing agama anak-anak, bagi memastikan mereka berwibawa serta menerapkan ilmu yang sahih

Hal serupa turut ditekankan Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid.

Menurutnya, waris perlu peka dengan apakah yang dipelajari anak mereka dengan kerap bertanya kepada anak mereka.

Ini selain menanam pemikiran kritikal sejak kecil agar anak-anak di bawah usia dan remaja “mempunyai keyakinan dan keberanian untuk bertanya soalan kritis”.

“Golongan muda dan bawah usia sepatutnya diberi peluang untuk mengajukan soalan kritikal… kita perlu biasakan dan melatih mereka untuk bertanya soalan sedemikian,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa ini dapat melengkapkan golongan muda untuk mengenal pasti ajaran atau amalan yang mungkin menyimpang daripada teras agama.

Ustaz Tarmizi turut menggesa pihak waris memantau permintaan atau tindakan mencurigakan oleh pendidik – misalnya jika individu tersebut meminta masa peribadi dalam ruang terpencil dengan pelajar atau meminta nombor panggilan peribadi si anak.

Sehubungan itu, naib kadi, Ustaz Hidayat Ismail, berkata masyarakat boleh meraikan individu atau pempengaruh yang ingin menjadi “ejen dalam menyampaikan agama kepada masyarakat”.

Sungguhpun begitu, beliau berkata ada beberapa aspek yang berada “di luar bidang kuasa” mereka dan memerlukan asatizah bertauliah dan memberi analogi sakit kepala sebagai contoh.

“Kalau sakit kepala biasa, boleh beli ubat dari kedai seperti paracetamol. Tetapi kalau sudah berpanjangan dan berlaku kerumitan, perlu dapatkan nasihat doktor.

“Ia seumpama itu bagi ilmu agama. Macam mana pun, rujuklah dengan asatizah yang lebih arif,” kata Ustaz Hidayat, yang juga pengarah Syukran.com, sebuah wadah kandungan agama dalam talian.