Sebuah kumpulan aktivis antihukuman mati telah dikeluarkan perintah pembetulan di bawah undang-undang berita palsu Singapura berhubung hantaran media sosialnya yang berkaitan dengan hukuman mati ke atas tiga banduan di sini.
Pada 26 November, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata hantaran itu secara palsu mendakwa tiga lelaki tersebut, Rosman Abdullah, Roslan Bakar dan Pausi Jefridin, telah dihukum mati tanpa mengambil kira ketidakupayaan intelek dan psikososial mereka.
Pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) mengeluarkan arahan pembetulan untuk hantaran Facebook, Instagram dan X kumpulan aktivis, Transformative Justice Collective (TJC), yang dibuat pada 20 November, lapor The Straits Times.
Cik Kokila Annamalai dan Encik Rocky Howe dinamakan sebagai rakan usaha sama dalam hantaran Instagram TJC.
Cik Annamalai menghadapi siasatan kerana mengingkari perintah Pofma berasingan yang dikeluarkan pada 5 Oktober supaya membawa notis pembetulan dalam hantaran media sosialnya mengenai proses undang-undang untuk banduan hukuman mati.
Beliau dituduh secara palsu mendakwa pemerintah menjadualkan dan mengekalkan pelaksanaan hukuman sewenang-wenangnya dan tanpa mengambil kira proses undang-undang sewajarnya, dan bahawa negara tidak menanggung beban undang-undang untuk membuktikan pertuduhan mengedar dadah terhadap tertuduh.
Bersama dua yang lain, beliau didakwa sebelum ini kerana menganjurkan perarakan pro-Palestin di luar Istana pada 2 Februari.
Perintah Pofma yang dikeluarkan pada 26 November memerlukan TJC memasukkan notis pembetulan terhadap hantaran-hantaran asal – bersama-sama pautan kepada penjelasan pemerintah.
Arahan pembetulan yang disasarkan juga telah dikeluarkan kepada TikTok, yang memerlukan gergasi media sosial itu menghantar notis pembetulan kepada semua pengguna Singapura yang telah melihat hantaran TJC pada 20 November.
Catatan Facebook TJC mendakwa bahawa ketiga-tiga lelaki telah dinilai oleh pakar psikiatri sebagai mempunyai ketidakupayaan intelek dan psikososial.
Sebagai tindak balas, MHA berkata:
“Rosman, Pausi dan Roslan telah diberikan proses undang-undang sewajarnya. Hukuman mereka dikekalkan selepas mahkamah mempertimbangkan sepenuhnya dan menolak dakwaan dan keterangan mereka berhubung dengan apa yang dikatakan kecacatan mental mereka.
“Hukuman mereka dijadualkan hanya selepas habis semua hak rayuan, serta proses pengampunan.”
Di bawah Pofma, individu yang didapati bersalah kerana gagal mematuhi arahan pembetulan tanpa alasan munasabah boleh didenda sehingga $20,000, penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.
Individu yang disabitkan kesalahan menyampaikan kenyataan fakta palsu boleh didenda sehingga $50,000, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg