Seorang peguam pertikaian komersial yang mengetuai tuntutan mata wang kripto pertama yang berjaya pada 2019 di hadapan Mahkamah Komersial Antarabangsa Singapura (SICC), telah dilantik sebagai Peguam Kanan.
Encik Nadanya Ong, pengarah urusan Setia Law, turut memperoleh perintah pembekuan bersejarah pada 2022 terhadap individu tidak dikenali yang terlibat dalam satu kes kecurian mata wang kripto berskala besar.
Pelantikannya diumumkan Ketua Hakim (CJ), Encik Sundaresh Menon, pada 12 Januari semasa upacara tahunan pembukaan tahun perundangan di Singapura.
Encik Ong, 50 tahun, menyertai kelompok elit peguam yang diiktiraf atas kemahiran penghujahan cemerlang, penguasaan undang-undang mendalam serta integriti profesional.
Beliau merupakan peguam ke-101 yang menerima pengiktirafan tersebut sejak skim ini diperkenalkan pada 1997.
Kriteria pemilihan telah diperhalusi pada 2024 bagi memberi penekanan lebih besar terhadap sumbangan pemohon kepada pembangunan undang-undang Singapura dan bidang guaman.
Akademi Undang-Undang Singapura (SAL) menyatakan kerja Encik Ong dalam aset digital dan penguatkuasaan rentas sempadan telah menyumbang kepada pembentukan prinsip undang-undang dalam konteks baru.
Dalam temu bual bersama wartawan pada 12 Januari, Encik Ong berkata beliau berharap pelantikannya dapat memberi isyarat kepada peguam muda tentang pentingnya pengkhususan, mempunyai perspektif antarabangsa serta keberanian untuk meneroka bidang undang-undang baru.
Beliau mengimbas kembali ketika mengendalikan pertikaian mata wang kripto yang pertama, tiada sebarang rujukan awal undang-undang, dan beliau terpaksa mempelajari aset digital daripada buku rujukan.
Beliau merupakan antara segelintir peguam Singapura yang diterima masuk ke Institut Insolvensi Antarabangsa (III), sebuah organisasi bukan meraih untung sedunia.
Sebuah buku teks pakar mengenai injunksi komersial di Singapura yang beliau karang bersama dijadualkan diterbitkan pada awal 2026.
Encik Ong dibesarkan di Ipoh, Malaysia, sebelum berpindah ke Singapura melalui biasiswa pemerintah untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sekolah menengah.
Selepas menamatkan pengajian undang-undang di Universiti Nasional Singapura (NUS), beliau membina kerjayanya di Singapura dan Hong Kong, sebelum menjadi rakan kongsi di Rajah & Tann dari 2008 hingga 2023.
Pada 2023, beliau menubuhkan Setia Law sebagai firma khusus dalam pertikaian dan pengurusan krisis.
Beliau juga kini merupakan pengarah bersama eksekutif FraudNet di bawah Dewan Perniagaan Antarabangsa (ICC), sebuah rangkaian pakar penipuan dan pemulihan aset sedunia.
Apabila ditanya mengenai nasihat kepada peguam muda, beliau menekankan kepentingan bersikap rendah hati serta berlapang dada untuk belajar daripada orang lain.
Beliau dan isterinya, juga seorang peguam, mempunyai dua orang anak perempuan. Tanpa pembantu rumah, mereka perlu mengimbangi kerja dan keluarga.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg