Pemergian Dr Lee Wei Ling, anak Perdana Menteri Pengasas, mendiang Lee Kuan Yew, merupakan satu kehilangan besar bagi dunia perubatan.
Dilahirkan pada 7 Januari 1955, anak kedua dalam tiga beradik serta satu-satunya anak perempuan Encik Lee dan peguam, Cik Kwa Geok Choo, itu dikenali ramai sebagai seorang tokoh terkemuka dalam dunia perubatan dan penyelidikan.
Abangnya ialah mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang kini Menteri Kanan, manakala adiknya pula ialah Encik Lee Hsien Yang.
Pada 2020, Dr Lee mendedahkan bahawa beliau menghidap penyakit palsi supranuklear progresif dalam satu catatan Facebook.
Menyifatkan penyakit otak itu sebagai “seperti penyakit Parkinson” yang akan menjejas pergerakan fizikal, beliau berkata ia sejenis “penyakit otak yang agak berbahaya” yang akan mengakibatkan kematian “bagi mereka yang bernasib baik”.
Dr Lee merupakan bekas pelajar Sekolah Rendah Nanyang, Nanyang Girls High dan Institusi Raffles.
Pada 1973, beliau dianugerahkan Biasiswa Presiden dan melanjutkan pengajian di Universiti Singapura – kini dikenali sebagai Universiti Nasional Singapura (NUS) – dalam bidang perubatan.
Dr Lee seorang pelajar cemerlang yang muncul sebagai pelajar terbaik dalam kelasnya. Selain itu, mendiang amat meminati bersukan dan senaman fizikal.
Pada usia 15 tahun, beliau antara individu termuda di Singapura memperoleh tali pinggang hitam dalam karate.
Selepas tamat pengajian universiti, Dr Lee menjadi seorang pakar sistem saraf kanak-kanak, dengan pengkhususan dalam epilepsi (sawan).
Seorang pencinta haiwan, Dr Lee menceritakan dalam satu kiriman Facebook pada 2020 bahawa beliau sebenarnya bercita-cita menjadi seorang doktor haiwan, tetapi kemudian telah mengubah pilihannya atas permintaan ibu bapa beliau dan seterusnya menceburi bidang perubatan.
Beliau membantu menubuhkan Institut Sains Saraf Nasional (NNI), dan menyandang jawatan sebagai pengarah institut itu dari 2004 hingga 2014.
SM Lee, dalam satu catatan Facebook yang mengimbas kenangan bersama adik beliau itu, berkata:
“Beliau sangat setia kepada rakan-rakannya, amat bersimpati dengan golongan yang lebih lemah, dan akan bergerak secara aktif untuk melakukan sesuatu apabila beliau melihat ketidakadilan, atau mengesyaki ada kesalahan yang berlaku. Beliau seorang pejuang.”
Dr Lee mengumumkan tentang keadaan kesihatannya dengan penyakit palsi supranuklear progresif dalam satu catatan Facebook pada 2020.
Catatan terakhirnya di Facebook adalah pada 3 September 2020, apabila beliau menceritakan tentang pengalamannya sesat di Taman Fort Canning dan mengalami keretakan pada tulang paha kanannya.
Dr Lee, dalam satu ruangan The Straits Times pada 2015, telah berkongsi tentang soal penuaan dan kekuatan fizikalnya yang kurang baik.
Dr Lee sering menyifatkan diri beliau sebagai seseorang yang berjimat cermat.
“Saya dilahirkan dalam keluarga kelas pertengahan dengan ibu bapa bijaksana yang tidak mahu anak-anak mereka dibesarkan sebagai orang kaya dan istimewa,” tulis beliau di Facebook pada 2020.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg