Pada enam bulan pertama 2025, jumlah perjalanan harian di laluan MRT dan LRT Singapura meningkat, manakala perjalanan bas harian menurun sedikit berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Namun, berdasarkan angka terkini, penggunaan pengangkutan awam secara keseluruhan masih berada di bawah tahap pra-Covid-19, dengan purata 7.47 juta perjalanan harian antara Januari dan Jun, lapor The Straits Times (ST).
Sebagai perbandingan, pada separuh pertama 2019, purata 7.66 juta perjalanan harian bas dan kereta api dicatat. Ini adalah 2.5 peratus lebih tinggi, atau sekitar 195,000 perjalanan, berbanding angka terkini.
Pakar berkata data yang diberikan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) ini mencerminkan peralihan daripada bas kepada rangkaian kereta api yang semakin berkembang, serta perubahan dalam struktur perjalanan penumpang.
Setelah pulih sepenuhnya pada 2024, perjalanan kereta api terus meningkat dengan purata 3.65 juta perjalanan harian antara Januari dengan Jun.
Ini berbanding dengan 3.57 juta perjalanan harian bagi tempoh yang sama pada 2024, dan lebih tinggi berbanding 3.56 juta perjalanan yang dicatatkan pada separuh pertama 2019.
Jumlah penumpang bas awam menurun kepada purata 3.82 juta perjalanan harian, berbanding 3.85 juta pada 2024 dan 4.1 juta pada 2019 sebelum pandemik.
Trend lain yang ketara ialah jumlah penumpang pengangkutan awam pada waktu sibuk pagi masih rendah berbanding sebelum Covid-19.
Jumlah purata perjalanan harian pada waktu sibuk pagi adalah 1.48 juta antara Januari dengan Jun, berkurangan daripada 1.55 juta pada 2019.
Pakar ekonomi dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Timothy Wong, berkata kemerosotan jumlah penumpang bas tidak mengejutkan kerana rangkaian kereta api semakin menjadi teras utama sistem pengangkutan awam.
Apa yang mengejutkan ialah pertumbuhan jumlah penumpang kereta api yang agak perlahan.
“Tambahan perlahan ini bersama penurunan perjalanan waktu sibuk menunjukkan perubahan struktural semasa pandemik yang membolehkan lebih ramai pekerja bekerja dari rumah dengan waktu kerja lebih fleksibel,” kata Dr Wong.
Stesen kereta api yang lebih dekat dengan kediaman menyebabkan jumlah penumpang bas menurun kerana penumpang kini boleh berjalan atau berbasikal ke stesen, kata penyelidik, Encik Samuel Chng.
Namun, pakar ekonomi pengangkutan, Profesor Walter Theseira, berkata walaupun jumlah penumpang masih rendah berbanding 2019, pengalaman harian mungkin tidak bertambah baik jika ramai orang terus menggunakan laluan yang sama pada waktu sibuk.
Beliau menambah pembuat dasar perlu menggalakkan pemindahan pekerjaan ke luar Kawasan Pusat Bandar (CBD) dan waktu perjalanan yang lebih fleksibel.
Seiring dengan pembinaan lebih banyak laluan MRT, laluan yang lebih panjang seperti Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Timur-Barat (EWL) juga akan menjadi kurang sesak, katanya.
Sejak 2019, Singapura telah menyiapkan 43 kilometer rel baru – termasuk empat peringkat pertama Laluan Thomson-East Coast (TEL), lanjutan Punggol Coast bagi Laluan Timur Laut, dan stesen Hume di Laluan Downtown (DTL).
Pada 2026, peringkat keenam Laluan Circle (CCL) akan dibuka, bersama dengan lanjutan DTL sepanjang 2.2 kilometer di timur dan peringkat kelima TEL, yang merangkumi stesen Bedok South dan Sungei Bedok.
Laluan Daerah Jurong (JRL) dan Laluan Rentas Pulau (CRL) – laluan kereta api ketujuh dan kelapan Singapura – masing-masing akan dibuka secara berperingkat bermula 2027 dan 2030. Dua lagi laluan MRT baru juga sedang dikaji.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg