China dan Singapura telah menaik taraf perjanjian perdagangan bebas 15 tahun untuk membuka lebih banyak pasaran kepada pelabur dan pembekal perkhidmatan di kedua-dua negara, serta memperluas kerjasama dalam perkhidmatan telekomunikasi, kata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Singapura.
Protokol Naik Taraf Perjanjian Perdagangan Bebas China-Singapura (CSFTA), yang berkuat kuasa pada 31 Disember 2024, merangkumi edisi terkini “senarai negatif” bagi industri-industri di China yang tidak membenarkan pelaburan asing.
MTI berkata, CSFTA yang dinaik taraf dengan senarai negatif yang baru dan lebih pendek, akan memberikan akses yang lebih besar kepada perniagaan Singapura ke sektor perkhidmatan di China, lapor The Straits Times.
Selain itu, pelabur Singapura tidak akan tertakluk lagi kepada had ekuiti atau pegangan saham dalam syarikat di lebih daripada 20 sektor seperti pembinaan dan perkhidmatan kejuruteraan; runcit dan borong; perkhidmatan seni bina dan perancangan bandar; perkhidmatan ujian teknikal dan analisis; serta penyewaan dan penyewaan aset.
Pelabur dan pembekal perkhidmatan Singapura akan mendapat manfaat daripada peraturan yang lebih liberal dan telus untuk melabur dan berdagang dengan China, berikutan peraturan baru dalam FTA yang melarang diskriminasi kewarganegaraan dan syarat prestasi seperti kandungan tempatan dan pemindahan teknologi.
Peraturan baru itu juga menghapuskan syarat kewarganegaraan untuk pelantikan pengurusan kanan dan lembaga pengarah.
Satu bab baru mengenai perkhidmatan telekomunikasi turut diperkenalkan dalam FTA, yang memberikan peraturan yang lebih jelas dan ketelusan yang dipertingkatkan untuk proses pengawalseliaan.
Bab baru itu juga akan memudahkan kerjasama industri untuk berinovasi dan pembangunan, kata MTI.
CSFTA adalah perjanjian perdagangan bebas bilateral pertama yang komprehensif antara China dengan negara Asia apabila ia dikuat kuasa pada 1 Januari 2009.
Perjanjian itu telah dinaik taraf dua kali, pada 2011 dan 2019. Rundingan untuk naik taraf terkini CSFTA bermula pada 2020.
Ini juga merupakan kali pertama China menyelesaikan rundingan untuk menaik taraf FTA dengan senarai negatif barunya.
Memberikan ulasannya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, dalam satu hantaran di media sosial, berkata:
“Singapura dan China berkongsi hubungan dua hala yang lama dan kukuh, dan Protokol Naik Taraf Lanjut ini mencerminkan komitmen kami untuk terus memajukan kerjasama ekonomi kami.”
Encik Gan menandatangani protokol tersebut bersama Menteri Perdagangan China, Encik Wang Wentao, pada Mesyuarat Ke-19 Majlis Kerjasama Bilateral di Tianjin, China, pada Disember 2023.
China telah menjadi rakan dagangan utama Singapura sejak 2013 dan juga destinasi pelaburan utama Singapura sejak 2007.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg