Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perjanjian damai Israel-Hamas perkembangan menggalakkan, beri harapan

Oct 9, 2025 | 7:53 PM
K Shanmugam, Israel, Hamas, Palestine
Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, bertemu dengan tiga pelajar Palestin yang menerima biasiswa di bawah Inisiatif Biasiswa Palestin (PSI) dalam satu sesi tertutup pada 9 Oktober. - Foto MHA

Perjanjian damai yang dicapai antara Israel dengan Hamas adalah satu perkembangan yang menggalakkan.

Ia memberi harapan lebih daripada sebelumnya dalam keadaan yang sedang berlaku dalam konflik Gaza, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.

Bagaimanapun, Encik Shanmugam turut menggesa semua pihak agar berhati-hati, meskipun dengan kemajuan yang dibuat ke arah keamanan di rantau Timur Tengah itu.

Beliau menambah bahawa perkembangan terbaru di Timur Tengah “tidak akan mungkin berlaku tanpa Presiden Trump” dan Presiden Amerika Syarikat itu harus “sangat dipuji” kerana mendorong kedua-dua pihak ke arah perjanjian damai.

“Beliau harus sangat dipuji kerana mendorong kedua-dua pihak dan pada dasarnya, hanya Amerika Syarikat yang boleh mempengaruhi tindakan Israel. Dan beliau telah melakukannya,” kata Encik Shanmugam.

“Daripada laporan media, saya melihat bahawa beliau mempunyai kepentingan peribadi untuk cuba menyelesaikan isu ini. Oleh itu, setiap tindakannya, setiap kenyataannya, menunjukkan bahawa ini adalah keinginan khususnya.

“Maka itu, kami berharap agar beliau mencapai matlamat yang dinyatakan, ia akan membantu rakyat Palestin,” tambah beliau.

Encik Shanmugam berkata demikian ketika ditemui media di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 9 Oktober, menyusuli sesi pertemuan tertutup bersama tiga pelajar Palestin yang telah menerima biasiswa di bawah Inisiatif Biasiswa Palestin (PSI).

Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama perjanjian damai, sekali gus membuka jalan bagi kemungkinan berakhirnya konflik di Gaza yang telah berlarutan selama dua tahun.

Kedua-dua pihak itu telah mencapai satu perjanjian penting yang melibatkan pertukaran tebusan Israel dan tahanan Palestin, dengan Encik Trump menjadi pengantara utama dalam perjanjian tersebut.

Walaupun perkembangan terkini itu adalah menggalakkan, Encik Shanmugam bagaimanapun turut menggesa semua pihak supaya berhati-hati.

“Laporan media, tajuk berita sangat menggalakkan, tetapi pada masa yang sama, ramai pemerhati berpengalaman, menggesa semua agar berhati-hati… dalam situasi Timur Tengah, Israel-Palestin, kerana ia belum selesai sehingga ia selesai.

“Tetapi kita semua berharap bahawa ini akan dihuraikan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Encik Shanmugam mengatakan yang PSI merupakan satu contoh daya usaha baik masyarakat Singapura yang disokong pemerintah dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza.

Dalam satu kenyataan pada 8 Oktober, PSI berkata sejak dilancarkan pada Oktober 2024, ia telah mengumpulkan lebih $510,000 secara keseluruhan.

Ini termasuk lebih $370,000 yang dikumpul melalui wadah kumpul dana, ‘Ray of Hope’, dan tambahan $140,000 daripada penderma persendirian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg