Setelah mendapat tahu tentang nikah ‘sirri’ suaminya, ‘Cik Tina’ (bukan nama sebenar) menghubungi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Beliau berbuat demikian bagi mendapatkan pengesahan sama ada perkahwinan suaminya itu – yang berlaku di luar pengetahuannya – sah ataupun tidak.
Ini disebabkan Cik Tina harus berurusan dalam hal faraid setelah pemergian mendadak suaminya Encik Khalid (juga bukan nama sebenar) akibat sakit jantung.
“Saya tidak mahu dituntut kelak. Kalau dia isteri yang sah, dia berhak menerima sebahagian daripada wang peninggalannya (suami), jadi saya perlu bertanya tentang kesahihan pernikahan itu…”
Berita Harian (BH) meminta pendapat Ustaz Pasuni Maulan yang telah berkhidmat sebagai kadi selama lebih lima dekad dan merupakan mantan pendaftar di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dalam laporan khas mengenai nikah ‘sirri’ yang terbit pada 14 Julai.
Ustaz Pasuni menganggap perkahwinan yang dijalankan secara rahsia atau menerusi nikah ‘sirri’ tidak sah di sisi syarak kerana ia tidak cukup rukun seperti ketiadaan wali untuk pengantin perempuan atau wali hakim.
“Pernikahan yang tidak memenuhi rukun dan syarat yang telah ditetapkan adalah tidak sah dan terbatal,” katanya kepada wartawan BH.
Kebanyakan nikah ‘sirri’ yang dilaksanakan antara pihak lelaki dengan wanita tanpa kehadiran wali atau saksi tidak dihebahkan kepada masyarakat umum serta tidak didaftarkan secara rasmi di ROMM atau Jabatan Agama di Indonesia.
Kedua-dua pasangan ini hidup bersama secara tersembunyi sehingga tiada sesiapa mengetahui tentang pernikahan tersebut kecuali pasangan terlibat.
Perkahwinan rahsia hanya menimbulkan keraguan dan boleh mencetuskan fitnah.
Ustaz Pasuni berkata walaupun ada dalam kalangan agamawan menganggap nikah ‘sirri’ mungkin sah daripada sudut hukum syarak jika ia memenuhi semua rukun dan syarat-syarat sah nikah, namun, dalam masa yang sama, kebanyakan ulama tidak menggalakkannya.
Ada dalam kalangan asatizah menganggap nikah secara rahsia adalah tidak bermoral walaupun dianggap sah.
Segelintir ulama pula menganggapnya sebagai haram kerana ia bertentangan dengan tujuan perkahwinan dalam Islam.
Tujuan mengadakan walimatulurus adalah menghebahkan perkahwinan kepada orang ramai, dan dapat menghindarkan fitnah serta sangkaan buruk terhadap pasangan.
“Keputusan berkahwin secara rahsia di luar negara lebih banyak membawa keburukan,” ujar Ustaz Pasuni.
Pemeriksaan BH pada 14 Julai mendapati terdapat pasangan melangsungkan pernikahan mereka secara dalam talian, seperti yang terjadi kepada Encik Khalid dan isteri barunya, ‘Cik Nora’ (bukan nama sebenar).
Dengan adanya wadah seperti Zoom, nikah ‘sirri’ menjadi lebih mudah dengan adanya kadi di Batam yang menawarkan pernikahan sebegitu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg