Penumpang kini boleh menyertai sesi kecergasan dan program kesihatan di stesen MRT Laluan Downtown (DTL) Tampines semasa berulang-alik ke tempat kerja atau rumah mereka.
Menurut The Straits Times, syarikat pengendali pengangkutan awam SBS Transit (SBST) melancarkan perkampungan kesejahteraan seluas 15,000 kaki persegi di stesen MRT DTL Tampines pada 28 September.
Menurut syarikat itu, perkampungan itu bertujuan menjadikan aktiviti kesihatan lebih mudah diakses oleh penumpang dan penduduk.
Ini adalah yang pertama dalam siri perkampungan tematik SBST, yang bertujuan mengubah pusat pengangkutan sebagai hab komuniti.
Menawarkan kelas kecergasan, ceramah kesihatan dan bengkel kesihatan, perkampungan kesejahteraan di Tampines itu dilengkapi dengan cermin dinding panjang untuk membolehkan orang ramai mengadakan sesi tarian, senaman mengurangkan berat badan dan yoga.
Dinding di perkampungan kesejahteraan itu juga dipenuhi dengan mural seni bertenaga hasil karya artis komuniti bagi mempromosikan perjalanan ulang-alik dan hubungan sosial yang mesra.
Salah satu mural ini dicipta Encik Leong Sijun, seorang artis berusia 21 tahun yang menghidap Sindrom Down dan berjaya meneruskan lukisan walaupun telah secara beransur-ansur kehilangan penglihatan dan kekuatan ototnya.
Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, Encik Baey Yam Keng, yang juga Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pengangkutan), menghadiri pelancaran perkampungan kesejahteraan itu pada 28 September.
SBST juga menandatangani beberapa perjanjian di majlis perasmian itu, termasuk satu dengan penyedia bengkel penjagaan kesihatan Fitivate bagi menjalankan aktiviti kesihatan di stesennya.
Satu lagi dengan firma penilaian kesihatan Kresics Fitness bagi mempromosi kesedaran kesihatan melalui kios pemeriksaannya untuk membantu pengguna memantau metrik kesihatan utama masing-masing.
Ketua eksekutif kumpulan SBST, Encik Jeffrey Sim menyatakan bahawa syarikat pengendali itu akan melancarkan tiga lagi perkampungan seumpama itu merentasi rangkaian MRT kendaliannya dalam tempoh 15 bulan akan datang, setiap satu dengan temanya sendiri.
“Kami membayangkan semula pusat pengangkutan kami sebagai perkampungan moden – ruang mengalu-alukan yang melampaui transit, bagi orang ramai berkumpul, berhubung dan membina hubungan bermakna sepanjang perjalanan mereka.”
Encik Sim menambah bahawa Tampines dipilih sebagai lokasi ideal untuk perkampungan kesejahteraan, kerana ia merupakan persimpangan utama dengan trafik penumpang yang tinggi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg