Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perkecil mangsa rogol: Naib presiden Persatuan Undang-Undang letak jawatan

Digesa berundur lepas kenyataannya dianggap tidak boleh diterima, cetus kritikan termasuk oleh Shanmugam
Mar 25, 2025 | 1:19 PM
Encik Chia Boon Teck  mencetuskan kritikan selepas didakwa mengecam mangsa rogol.
Encik Chia Boon Teck mencetuskan kritikan selepas didakwa mengecam mangsa rogol. - Foto CHIA WONG CHAMBERS

Peguam yang berdepan kecaman, Encik Chia Boon Teck, telah meletak jawatan sebagai naib presiden Persatuan Undang-Undang Singapura, hanya beberapa hari selepas kenyataannya mengenai mangsa rogol mencetuskan kritikan orang ramai. 

Encik Chia mengambil langkah itu beberapa jam selepas presiden persatuan itu, Cik Lisa Sam Hui Min, mengeluarkan kenyataan pada 25 Mac, menggesa beliau meletak jawatan sebagai naib presiden dan ahli majlis. 

Cik Sam berkata kenyataan Encik Chia, pengarah urusan bersama di Chia Wong LLP, yang dimuat naik di LinkedIn pada 22 Mac tidak boleh diterima.

“Keperibadian individu tersebut tidak sepatutnya dipersoalkan dengan cara sebegitu. Kenyataan dan pandangan sebegitu juga tidak wajar disuarakan oleh seseorang yang memegang jawatan kepimpinan,” kata Cik Sam.

Encik Chia tidak lagi tersenarai di laman web persatuan itu sebagai naib presiden atau ahli majlis, lapor The Straits Times (ST).

Beliau, yang dilantik sebagai naib presiden pada Ogos 2023 dan sebelum itu menjadi bendahari, mencetuskan kritikan selepas didakwa mengecam mangsa, atau victim shaming.

Ini selepas beliau memuat naik kenyataan mengenai individu yang menjadi mangsa rogol Lev Paniflov – seorang TikToker penulis skrip dan pelakon bersama sebuah saluran YouTube tempatan.

Paniflov didapati bersalah pada 21 Mac bagi dua tuduhan rogol, satu tuduhan serangan seksual, dan satu tuduhan mencabul kehormatan.

Dalam satu pos di LinkedIn pada 22 Mac, Encik Chia menggambarkan mangsa berusia 30 tahun itu “bukan seorang yang naif” dan mengulas, “Wah. Adakah dia terjaga sepanjang kejadian itu?”, merujuk kepada serangan seksual yang dialaminya.

Encik Chia turut menulis “Tinder bukan LinkedIn”, merujuk kepada fakta bahawa mangsa dan perogol itu bertemu di aplikasi janji temu Tinder, dan bukan platform professional LinkedIn.

Secara keseluruhan, Encik Chia menggariskan 10 perkara berkenaan kes itu dalam posnya.

Pos itu turut menarik perhatian Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, yang menyuarakan kebimbangan pandangan peribadi Encik Chia mungkin memberi gambaran norma yang salah mengenai Singapura dan memberi kesan kepada mangsa lain.

Encik Shanmugam berkata mangsa mungkin tidak bersedia melaporkan apa yang berlaku apabila peguam – terutama yang memegang jawatan lebih tinggi serta mewakili profesion guaman – mengeluarkan kenyataan meremehkan kebimbangan mereka. 

Encik Chia telah memadamkan akaunnya di LinkedIn.

Cik Stefanie Yuen-Thio, pengarah urusan bersama di TSMP Law Corporation, berkata beliau berasa senang kerana Persatuan Undang-Undang telah mengambil tindakan tegas.

“Kita perlu memperjelaskan bahawa badan peguam tidak menerima pandangan tersebut dan saya senang hati presiden (Persatuan Undang-Undang) telah tampil untuk menyatakan dengan tegas dan tanpa syarat (mengenai kenyataan Encik Chia yang tidak boleh diterima itu),” tambahnya.

Dalam kirimannya di LinkedIn, Cik Yuen-Thio berkata kejadian ini telah mencetuskan perbincangan mengenai victim shaming dan bagaimana misogini, iaitu diskriminasi terhadap wanita, tidak mempunyai tempat dalam masyarakat serta pentadbiran keadilan.

ST telah menghubungi Encik Chia, Chia Wong LLP dan Persatuan Undang-Undang untuk ulasan lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg