Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perkhidmatan awam, pemimpin kongsi misi sama kunci kejayaan S’pura

Apr 16, 2025 | 4:14 PM
Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat (depan), yang diiringi Ketua Perkhidmatan Awam, Encik Leo Yip,  percaya tiada menteri yang dapat merangka dasar jangka panjang yang berkesan jika hanya tertumpu pada politik dan menyerahkan reka bentuk dasar kepada perkhidmatan awam. Mereka menghadiri majlis makan malam Perkhidmatan Pentadbiran pada 15 April di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat (depan), yang diiringi Ketua Perkhidmatan Awam, Encik Leo Yip, percaya tiada menteri yang dapat merangka dasar jangka panjang yang berkesan jika hanya tertumpu pada politik dan menyerahkan reka bentuk dasar kepada perkhidmatan awam. Mereka menghadiri majlis makan malam Perkhidmatan Pentadbiran pada 15 April di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands. - Foto ZAOBAO

Dengan persaingan politik yang semakin sengit, beberapa parti politik mendakwa rakyat Singapura tidak perlu takut jika terdapat perubahan dalam pemerintah, berikutan perkhidmatan awam yang bertaraf dunia. 

Namun, Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, menegaskan perkara ini membimbangkan kerana kepimpinan politik dan perkhidmatan awam mempunyai tujuan yang sama tetapi dengan peranan berbeza. 

Berucap pada majlis makan malam Perkhidmatan Pentadbiran tahunan pada 15 April, Encik Heng percaya tiada menteri yang dapat merangka dasar jangka panjang yang berkesan jika hanya tertumpu pada politik dan menyerahkan reka bentuk dasar kepada perkhidmatan awam, lapor The Straits Times (ST).

“Jika pemimpin politik yang saya pernah berkhidmat bersama tidak faham apa yang penting untuk Singapura, saya dan ramai rakan setiausaha tetap sudah lama meninggalkan perkhidmatan awam,” kata Encik Heng kepada 320 tetamu di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands.

“Kami kekal kerana pemimpin politik kami berkongsi misi yang sama untuk masa depan lebih baik bagi Singapura dan rakyatnya.”

Encik Heng berkongsi pengalamannya sebagai setiausaha tetap di bawah mantan Menteri Perdagangan dan Perusahaan (1999-2004), Encik George Yeo, yang menetapkan hala tuju Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), sementara beliau menguruskan rundingan.

Apabila menjadi pemimpin politik, setiausaha tetap yang melapor kepadanya tidak takut berbincang dasar secara terbuka.

Encik Heng menegaskan, kerjasama antara perkhidmatan awam dengan pemimpin politik kunci kejayaan Singapura.

Menceritakan pengalaman awalnya sebagai pegawai polis, Encik Heng berkongsi beliau pernah gagal mengawal trafik di simpang yang sibuk dan rakan setugasnya membantunya dalam mengembalikan keadaan menjadi terkawal.

“Pengalaman itu mengajar saya bahawa melayani rakyat bermula dengan pegawai barisan hadapan.

“Mereka adalah penghubung antara dasar kita dengan kesan dasar itu terhadap rakyat,” katanya.

Encik Heng mengingatkan pegawai pentadbiran agar memahami bagaimana dasar dilihat oleh rakyat dan menekankan pelaksanaan dasar adalah kunci kejayaan.

“Hormati dan bangunkan barisan hadapan,” katanya.

Selain itu, seorang pemimpin perlu menetapkan arah strategik dan bersedia mengubahnya apabila perlu.

Encik Heng memberi contoh Encik Goh Yong Hong yang melihat kumpulan kongsi gelap 1980-an sebagai remaja jalanan, bukan pertubuhan jenayah terancang.

Bagi menyalurkan tenaga mereka, beliau memulakan ‘Police Boys Club’ dan mengadakan konsert rok di Orchard Road.

Walaupun mendapat tentangan awal, konsert itu berjaya dan polis membina hubungan baru dengan golongan muda.

“Pengajaran untuk semua pegawai adalah kita tidak boleh terikat dengan masa lalu.

“Gunakan pengalaman lepas dan apabila situasi berubah, berani untuk mencuba dan berinovasi,” kata Encik Heng.

Menurut Encik Heng lagi, Singapura harus mengubah halangan menjadi peluang.

Pasaran domestik yang kecil memaksa negara ini untuk fokus ke luar, menyambut syarikat berbilang negara dan menjadi negara bertaraf dunia.

Walaupun Singapura terkesan dengan tarif Amerika, Singapura harus memanfaatkan 27 FTA untuk menjadi lebih kuat.

Encik Heng menekankan peranan Singapura sebagai pusat perdagangan dan logistik yang dipercayai, penting dalam dunia teknologi dan perdagangan global.

Mengenai penglibatan rakyat secara aktif, Encik Heng berkata warga Singapura hari ini lebih berpendidikan dan ingin mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan, yang menjadi kekuatan negara.

Perkhidmatan awam perlu menggalakkan penyertaan aktif untuk mengelakkan masyarakat yang berpecah-belah.

Beliau menyebut inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sebagai wadah mendengar pandangan rakyat dan mencipta penyelesaian bersama.

Encik Heng turut menggesa pegawai perkhidmatan pentadbiran untuk meluaskan penglibatan mereka kepada seluruh masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg