Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerkukuh hubungan famili melalui beli barangan runcit di ‘Community Giveback’ ABS
Keluarga lima beranak antara 7,000 penerima baucar barangan runcit $110; diiringi lebih 1,800 sukarelawan sektor perbankan, rakan kongsi untuk beli-belah di 36 cawangan FairPrice
Perkukuh hubungan famili melalui beli barangan runcit di ‘Community Giveback’ ABS
Bagi Encik Muhammad Nurherrizzwan Shah Kamin, 44 tahun, dan isteri, Cik Nooraihana Abdul Rahman, 38 tahun, membesarkan lima anak bermakna mereka perlu menguruskan perbelanjaan keluarga dengan teliti.
Dengan keperluan asas seperti beras, telur dan roti menjadi keutamaan, pasangan itu kadangkala terpaksa menangguhkan pembelian barangan lain sehingga hari gaji.
Encik Nurherrizzwan, seorang kapten bas di Tower Transit yang sering keluar rumah sebelum matahari terbit dan pulang selepas hari gelap, bersama isterinya yang merupakan suri rumah, adalah antara penerima manfaat Program ‘Community Giveback’ anjuran Persatuan Bank Singapura (ABS) pada 17 Oktober.
Keluarga itu menerima baucar FairPrice bernilai $110, membolehkan mereka membeli barangan dapur yang sebelum ini terpaksa ditangguhkan pembeliannya.
Menurut Cik Nooraihana, mereka perlu bijak menguruskan kewangan kerana mempunyai lima anak berusia antara empat hingga 14 tahun.
“Kami kena pandai macam mana nak uruskan kewangan. Barang-barang keperluan untuk budak-budak kami utamakan dulu,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa mereka kadangkala perlu mempelbagaikan hidangan menggunakan bahan yang tersedia di rumah bagi menjimatkan perbelanjaan.
“Sebagai contoh, saya ada nasi, saya buat nasi goreng. Jadi, budak-budak boleh kenyang.
“Kalau macam bijirin sarapan, nanti kalau hari gaji, baru kita belilah,” tambahnya.
Bagi Encik Nurherrizzwan pula, tuntutan kerja sebagai kapten bas menyebabkan beliau menghabiskan sebahagian besar harinya di luar rumah.
“Saya keluar gelap, balik pun gelap,” katanya.
Beliau bekerja mengikut jadual syif berpecah dan adakalanya berehat di depoh sebelum pulang pada sekitar 8 malam, menyebabkan isterinya memikul sebahagian besar tanggungjawab menjaga anak-anak.
Pasangan itu mendapat tahu tentang program berkenaan melalui abang Cik Nooraihana, yang sebelum ini memohon bantuan sama untuk ibu bapa mereka.
Ini merupakan kali pertama mereka menyertai program tersebut.
“Kadang-kadang ada benda yang kita tak dapat belikan anak-anak, misalnya bijirin sarapan, jadi kita boleh beli hari ini.
“Nanti balik, mereka mesti gembira,” kata Cik Nooraihana.
Program selama dua hari itu menghimpunkan lebih 1,800 sukarelawan daripada sektor perbankan dan rakan kerjasama bagi membantu sekitar 7,000 penerima manfaat membeli barangan keperluan di 36 cawangan FairPrice.
Setiap keluarga menerima baucar bernilai $100 daripada ABS serta tambahan $10 daripada FairPrice Foundation.
Dalam ucapannya pada majlis pelancaran di Our Tampines Hub, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, menekankan bahawa sumbangan sektor perniagaan bukan sekadar berbentuk kewangan, malah turut melibatkan masa dan tenaga sukarelawan untuk membantu masyarakat.
Beliau turut mengetengahkan kepentingan kerjasama antara ABS, Persatuan Rakyat (PA), Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan FairPrice dalam memenuhi keperluan penduduk.
Bagi penerima manfaat yang menghadapi masalah pergerakan, sukarelawan akan membeli barangan dapur yang diperlukan sebelum pemimpin akar umbi PA menghantarnya ke rumah mereka.
Pengerusi ABS yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan OCBC, Encik Tan Teck Long, pula berkata program itu mencerminkan tanggungjawab sektor perbankan untuk menyumbang kepada masyarakat.
Bagi Cik Nooraihana, beliau berharap inisiatif itu dapat diteruskan agar lebih banyak keluarga meraih manfaat.
“Harapan kami semoga program ini dapat diteruskan bagi keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya.