Perkukuh kepercayaan dalam negara sebelum bina aturan dunia yang berdaya tahan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perkukuh kepercayaan dalam negara sebelum bina aturan dunia yang berdaya tahan

Presiden Tharman tekan peri penting pekerjaan baik, jaminan kerjaya sebagai teras dasar awam dalam setiap masyarakat
Jan 22, 2026 | 7:24 PM

Perkukuh kepercayaan dalam negara sebelum bina aturan dunia yang berdaya tahan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
tharman, wef, kepercayaan domestik, dunia, forum ekonomi dunia, pekerjaan baik, teras dasar
Presiden Tharman Shanmugaratnam berkata bahawa penyediaan pekerjaan yang baik mesti menjadi teras dasar awam dalam semua masyarakat. - Foto MDDI

Sebelum berusaha membina aturan dunia yang berdaya tahan, di mana negara-negara ingin bekerjasama demi kebaikan sejagat, setiap negara perlu terlebih dahulu memperkukuh keadaan domestik masing-masing, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 21 Januari.

Menurut beliau, negara-negara perlu terlebih dahulu memperkukuh kepercayaan serta keprihatinan rakyat terhadap satu sama lain, termasuk mereka yang mempunyai perbezaan latar belakang sosioekonomi.

“Penting bagi masyarakat yang saling mempercayai dalam negara masing-masing mempunyai minat dan keyakinan yang lebih tinggi terhadap kerjasama di peringkat antarabangsa,” kata beliau semasa sesi perbincangan panel Who Brokers Trust Now di Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang berlangsung di Davos, Switzerland.

Tuan Presiden menambah, usaha ini boleh dilakukan dengan menangani harapan dan kebimbangan rakyat.

Kebanyakan orang menginginkan pekerjaan yang baik, jaminan kerjaya serta memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat, katanya.

Pertimbangan-pertimbangan ini, menurut Tuan Presiden, perlu menjadi teras dasar awam dalam setiap masyarakat.

Ini lebih penting dalam era di mana teknologi boleh menjadi pemangkin yang sangat berkuasa, namun pada masa yang sama boleh menggugat pekerjaan dan mata pencarian.

“Kita perlu bertindak secara proaktif – melalui peningkatan kemahiran yang lebih berkesan, maklum balas segera bagi memastikan latihan kemahiran sejajar dengan keperluan pasaran.

“Memberi keyakinan kepada rakyat bahawa mereka tidak bersendirian setelah mereka meninggalkan bangku sekolah dan memasuki alam pekerjaan. Sentiasa terdapat peluang untuk membina kemahiran baru,” kata beliau.

Tuan Presiden turut menekankan bahawa perhatian lebih besar perlu diberikan kepada mereka yang terjejas akibat persaingan ekonomi dan kesan inovasi.

“Jangan biarkan masalah berlarutan.

“Jika seseorang kehilangan pekerjaan, atau jika sebuah masyarakat tempatan terpinggir daripada peluang kerja, tangani perkara itu dengan segera melalui kerjasama sektor awam dan swasta bagi membawa masuk aktiviti ekonomi baru,” katanya.

Menurut beliau lagi, ini merupakan pengajaran penting daripada pengalaman 20 hingga 30 tahun lalu apabila globalisasi meningkatkan taraf kehidupan secara ketara namun turut meninggalkan kumpulan tertentu yang terpinggir daripada pekerjaan dan terpaksa menanggung kesannya sendiri.

“Pengajaran sebenar terletak pada kegagalan dasar domestik.

“Maka kita perlu membina semula kepercayaan di peringkat domestik, supaya setiap individu tahu bahawa mereka boleh menyumbang kepada kemakmuran negara, sekali gus memberi peluang yang lebih baik untuk membina pakatan antarabangsa yang berdaya tahan demi kebaikan sejagat,” katanya.

Tuan Presiden turut menyentuh cabaran lebih luas dalam membentuk aturan dunia baru serta keperluan terdesak untuk berbuat demikian.

Terutama sekali ketika sistem antarabangsa berasaskan peraturan sedang bergolak, dengan sesetengah negara bertindak berlandaskan kekuatan semata-mata.

Walau demikian, beliau berkata, titik permulaannya tidaklah terlalu buruk.

Banyak manfaat telah diperoleh daripada aturan dunia lama, dan majoriti negara masih percaya kepada kedaulatan undang-undang antarabangsa serta keperluan penyelesaian bersama bagi masalah bersama.

Tinjauan juga menunjukkan bahawa ramai penduduk dunia, termasuk di Amerika Syarikat, masih percaya kepada kerjasama sejagat dan juga kompromi antara negara demi memenuhi kepentingan nasional masing-masing.

Menurutnya, ‘Pelan B’ baru perlu mengiktiraf bahawa walaupun kepentingan nasional kekal sebagai keutamaan, terdapat persamaan antara kepentingan nasional dan kebaikan sejagat.

Ini bermakna, negara-negara perlu membentuk kerjasama dalam kumpulan kecil berdasarkan cabaran bersama yang mereka hadapi.

Antara kepentingan bersama itu termasuk keselamatan kecerdasan buatan (AI), keselamatan daripada perubahan iklim yang semakin buruk serta perdagangan dan pelaburan yang terbuka.

Tuan Presiden memberi amaran terdapat bahaya bagi dunia untuk menganggap pembaharuan hanya boleh dilakukan selepas keadaan menjadi lebih buruk.

Ini kerana, ia berisiko mencetuskan kemerosotan yang berterusan sehingga ke arah kekacauan.

Tuan Presiden berkata, polarisasi dan ketegangan dalam sesebuah negara boleh mencetuskan perpecahan yang lebih besar, malah membawa kepada keganasan.

Manakala polarisasi di peringkat sejagat pula boleh menjadi semakin meluas dan tegang sehingga menjadi persaingan merentasi seluruh industri.

Kelemahan kewangan pula, tambahnya, boleh menggugat kepercayaan terhadap mata wang rizab secara beransur-ansur sebelum mencetuskan ketidakstabilan global secara mendadak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg