Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SingHealth terima sumbangan $135j warisan Khoo Teck Puat

Jumlah terbesar bagi institusi kesihatan awam S’pura
Jan 13, 2026 | 5:10 PM
Harta Pusaka Khoo Teck Puat, SingHealth, sumbangan
Presiden Tharman Shanmugaratnam (tiga dari kiri) dan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (tiga dari kanan), semasa majlis penyampaian hadiah penghargaan berupa anggerik ‘Brassocattleya’ kepada Estet Khoo Teck Puat pada 13 Januari di Hospital Masyarakat Outram. Turut hadir (dari kiri) ialah Ketua Eksekutif Kumpulan SingHealth, Profesor Ng Wai Hoe; pemegang amanah Harta Pusaka Khoo Teck Puat, Cik Mavis Khoo; Pengerusi SingHealth, Encik Cheng Wai Keung; dan Pengerusi SingHealth Fund, Cik Ivy Ng. - Foto ST

SingHealth telah menerima sumbangan $135 juta daripada Harta Pusaka Khoo Teck Puat, jumlah terbesar bagi institusi kesihatan awam di Singapura, untuk memacu pertumbuhan dan transformasi kelompok kesihatan awam terbesar itu.

Dana itu akan menyokong empat teras utama.

Pertama, memperluas model penjagaan masyarakat bagi mendorong pencegahan kesihatan yang lebih bersifat peribadi dan proaktif.

Kedua, menggunakan teknologi dan penyelesaian digital inovatif bagi mengoptimumkan ketepatan diagnosis dan meningkatkan keberkesanan rawatan bagi pesakit.

Ketiga, menyokong penyelidikan perubatan canggih bagi menangani cabaran kesihatan yang kompleks dan mendesak.

Keempat, melabur dalam modal insan – menarik, mengekalkan bakat dan membangunkan kepimpinan untuk masa depan.

Sumbangan itu akan turut merangsang penyelidikan inovatif dalam pelbagai kepakaran klinikal, termasuk kesihatan dan kesejahteraan mental, kesihatan ibu dan anak, pemindahan organ, sains kardiovaskular, dan onkologi.

Pemegang amanah Harta Pusaka Khoo Teck Puat, Cik Mavis Khoo, berkata sumbangan tersebut mencerminkan kepercayaan mendalam terhadap potensi penyelidikan perubatan, inovasi dan pendidikan untuk mengubah kehidupan.

“Sumbangan ini adalah cara kami menghargai warisan mendiang bapa saya dengan menyokong kemajuan kesihatan – sesuatu yang amat dekat di hatinya – serta memastikan akses kepada penjagaan kesihatan yang cemerlang untuk generasi akan datang di Singapura,” kata Cik Khoo semasa majlis penghargaan di Hospital Masyarakat Outram.

Ketua Eksekutif Kumpulan SingHealth, Profesor Ng Wai Hoe, melahirkan rasa teruja dengan penemuan, inovasi perintis, dan pembangunan keupayaan yang akan memantapkan kedudukan SingHealth sebagai pusat perubatan akademik dan kumpulan kesihatan bertaraf dunia.

Beliau menekankan bahawa sumbangan $135 juta yang membawa perubahan besar itu bukan sahaja menonjolkan kemurahan hati Warisan Khoo Teck Puat, bahkan juga kepercayaan besar mereka terhadap kemampuan SingHealth untuk memanfaatkan potensi perubatan bagi mengubah kehidupan.

“Ia merupakan pelaburan penting dalam modal insan, penemuan, dan harapan, yang akan mempercepat penemuan baru, mencetuskan idea yang mendalam, dan menyokong pembentukan Singapura yang lebih sihat pada masa hadapan,” katanya.

Presiden Tharman Shanmugaratnam hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis perasmian blok yang menempatkan Hospital Masyarakat Outram, yang dinamakan sebagai Pusat Kesihatan Penduduk Khoo Teck Puat, sempena nama tokoh tersebut.

Pusat itu akan menjadi tumpuan utama usaha masa depan bagi meningkatkan kesihatan penduduk.

Pada majlis itu, Tuan Presiden turut merasmikan patung separuh badan mendiang Encik Khoo Teck Puat.

Encik Khoo merupakan seorang pemilik bank, pemilik hotel dan dermawan terkemuka di Singapura.

Beliau, yang pernah menjadi individu terkaya di Singapura, merupakan pengasas Goodwood Group of Hotels dan dikenali kerana pelaburannya yang besar, terutama di Bank Standard Chartered.

Pada 1981, beliau menubuhkan Dana Amal Yayasan Khoo dengan modal awal $20 juta.

Yayasan tersebut pernah menyumbang $125 juta untuk pembinaan dan operasi Hospital Alexandra di Yishun, yang kemudian dinamakan semula sebagai Hospital Khoo Teck Puat pada 2007.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga merupakan Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, turut hadir pada majlis itu sebagai tetamu khas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg