Perundangan Kesaksamaan Tempat Kerja yang akan diperkenalkan pada 2024 bukan hanya memberi perlindungan undang-undang terhadap diskriminasi di tempat kerja dan juga pemulihan baru, malah pekerja akan juga meraih manfaat daripada perlindungan tambahan yang diusulkan, kata Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.
Mereka akan mempunyai akses kepada mekanisme pengendalian rungutan yang mesti dilaksanakan oleh majikan mereka.
Mereka juga akan dilindungi daripada tindakan balas kerana melaporkan diskriminasi dan gangguan di tempat kerja, dan diberi keyakinan bahawa identiti mereka akan dilindungi.
“Ini akan memberi lebih jaminan kepada pekerja bahawa adalah selamat untuk tampil dan melaporkan tingkah laku diskriminasi di tempat kerja dan memberi keyakinan bahawa rungutan mereka akan diuruskan dengan betul,” kata Encik Zaqy semasa berucap di Sidang Puncak Pekerjaan Asia Pasifik pada Khamis.
Perundangan Kesaksamaan Tempat Kerja itu akan bekerjasama dengan Garis Panduan Tiga Pihak mengenai Amalan Pekerjaan Adil (TGFEP) untuk meliputi semua bentuk diskriminasi di tempat kerja.
Pada awal 2023, Jawatankuasa Tiga Pihak mengenai Kesaksamaan di Tempat Kerja mengeluarkan laporan sementara mengenai cadangannya untuk perundangan tersebut.
Dalam laporannya, jawatankuasa itu antara lain menyebut bagaimana perundangan itu boleh mengukuhkan lagi piawaian pekerjaan yang adil, serta memberi jaminan yang lebih baik kepada pekerja tentang layanan saksama dan perlindungan terhadap diskriminasi di tempat kerja.
Encik Zaqy berkata majikan juga dapat meraih manfaat daripada perundangan itu.
Perundangan itu akan membantu mengekalkan persekitaran perniagaan yang terbuka dan kondusif, dengan menggalakkan persekitaran kerja yang boleh dipercayai yang akan mengukuhkan hubungan antara majikan dan pekerja, katanya.
Majikan akan meraih manfaat daripada tenaga kerja yang lebih produktif dan terlibat, dapat menarik dan mengekalkan bakat dengan lebih baik, dan terus mengakses tenaga kerja asing yang akan menyumbang kepada hasil perniagaan yang lebih kukuh, tambah beliau.
“Perundangan Kesaksamaan Tempat Kerja itu dan TGFEP akan bekerjasama untuk memberi manfaat kepada pekerja, majikan dan masyarakat, tetapi menggubal perubahan pada skala sedemikian memerlukan usaha keseluruhan masyarakat,” kata Encik Zaqy.
Beliau menambah, setiap orang mempunyai peranan untuk dimainkan dan ini termasuk pekerja, pasukan sumber manusia, pasukan undang-undang dalaman dan pemimpin perniagaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg