Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan IPS: Rakyat S’pura mahu lebih satu parti politik, tidak sokong pemimpin autoritarian

Sep 27, 2024 | 7:00 PM
Menurut dapatan Tinjauan Barometer Asia (ABS) 2023 edisi Singapura, 36.2 peratus responden menyatakan mereka sangat tidak setuju dan 36.5 peratus tidak setuju dengan idea bagi negara ini menghapuskan pilihan raya dan parlimen, serta mempunyai seorang pemimpin yang menentukan semua perkara.
Menurut dapatan Tinjauan Barometer Asia (ABS) 2023 edisi Singapura, 36.2 peratus responden menyatakan mereka sangat tidak setuju dan 36.5 peratus tidak setuju dengan idea bagi negara ini menghapuskan pilihan raya dan parlimen, serta mempunyai seorang pemimpin yang menentukan semua perkara. - Foto ST

Sebahagian besar rakyat Singapura lebih memilih untuk mempunyai lebih satu parti politik yang bertanding dalam pilihan raya dan memegang jawatan politik, menurut dapatan satu tinjauan yang dikeluarkan Institut Pengajian Dasar (IPS) pada 27 September.

Tinjauan itu juga mendapati majoriti rakyat Singapura tidak setuju dengan idea untuk menghapuskan pilihan raya dan parlimen, serta mempunyai seorang pemimpin yang menentukan semua perkara.

Tinjauan Barometer Asia (ABS) 2023 edisi Singapura itu menunjukkan 38.5 peratus responden menyatakan mereka sangat tidak setuju, manakala 34.4 peratus pula tidak setuju bahawa hanya satu parti politik harus dibenarkan bertanding dalam pilihan raya dan memegang jawatan politik.

Sementara itu, 36.2 peratus responden menyatakan mereka sangat tidak setuju dan 36.5 peratus tidak setuju dengan idea bagi negara ini menghapuskan pilihan raya dan parlimen, serta mempunyai seorang pemimpin ‘kuat’ yang menentukan semua perkara.

IPS dalam kenyataannya berkata ini menunjukkan “rakyat Singapura menunjukkan sikap kuat yang tidak menyokong senario kawalan autoritarian”.

ABS merupakan tinjauan perbandingan pandangan umum mengenai sikap politik di Asia Pasifik yang mengkaji tahap norma demokrasi dan sistem politik di 15 negara dan masyarakat dalam rantau ini, termasuk Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Thailand dan Vietnam.

IPS telah menjalankan dan membiayai setiap tinjauan di Singapura sejak 2010. Tinjauan itu melibatkan sekitar 1,000 rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas setiap kali ia diadakan.

Dapatan tinjauan 2023 itu telah dikongsi semasa Forum IPS mengenai Sikap Politik Rakyat Singapura yang diadakan di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew pada 27 September.

Tidak seperti tinjauan sebelum ini, laporan 2023 menyaksikan penyelidik mengklasifikasikan responden Singapura mengikut tiga arketip (kepercayaan) berdasarkan kepuasan mereka dengan demokrasi dan sistem pemerintahan semasa.

Sekitar 22.1 peratus responden digolongkan dalam kumpulan yang paling berpuas hati, diikuti dengan 53.9 peratus dalam kumpulan tengah, dan 24.1 peratus dalam kumpulan yang diklasifikasikan oleh penyelidik sebagai “samar-samar” (ambivalent).

Pendapatan dan jantina adalah dua faktor utama yang mempengaruhi bagaimana responden dalam kumpulan yang berpuas hati menyatakan perasaan mereka.

Kumpulan yang paling berpuas hati itu lebih berkemungkinan terdiri daripada lelaki dan tergolong dalam kumpulan etnik minoriti, manakala kumpulan tengah pula lebih berkemungkinan terdiri daripada wanita dan dalam kelompok berpendapatan tinggi – 40 peratus teratas.

Mereka yang berada dalam kumpulan terakhir lebih berkemungkinan terdiri daripada lelaki dan berada dalam kelompok pendapatan 60 peratus terbawah. Mereka juga akan lebih cenderung melihat pengagihan kuasa dan sumber secara negatif, berbanding dengan dua kumpulan lain.

Tinjauan mendapati bahawa mereka yang tergolong dalam kumpulan paling berpuas hati dan kumpulan tengah mempunyai rasa hubungan politik lebih dekat dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) berbanding parti pembangkang.

Ditanya parti manakah mereka rasa paling dekat, 63.9 peratus responden dalam kumpulan paling berpuas hati menyatakan PAP manakala 10.8 peratus menyatakan Parti Pekerja (WP).

Bagi kumpulan tengah, peratusannya adalah 63.7 peratus bagi PAP dan 5.9 peratus untuk WP.

Ini jauh berbeza dengan mereka yang dalam kumpulan ‘samar-samar’, yang mana 42 peratus menyatakan mereka rasa paling dekat dengan PAP dan 15.5 peratus pula WP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg