Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerlu tingkatkan pilihan penjagaan anak, pastikan kos dimampui pasangan muda
Sebagai ibu bapa kepada anak kecil, Cik Ummi Salamah Samat dan Encik Musa Rahamat amat mementingkan isu penjagaan anak mereka.
Mujur, buat masa ini anak sulung mereka yang hanya berusia 14 bulan kini dijaga oleh pembantu rumah.
Namun, pasangan itu yang bekerja, perlu merancang pilihan penjagaan anak yang lebih mapan sekiranya mereka ingin mempunyai lebih daripada seorang anak, kata Cik Ummi Salamah, 34 tahun.
Menurut eksekutif program itu semasa dihubungi:
“Dalam kalangan rakan saya yang sudah menjadi ibu dengan anak kecil, untuk mendapatkan pembantu rumah yang tahu menjaga bayi atau kanak-kanak dan serasi dengan keluarga adalah sukar.
“Saya dapat pembantu rumah yang pernah menjaga arwah ayah, jadi saya bernasib baik.
“Tetapi kalau pembantu rumah ini tidak sambung kontrak, ia satu pertimbangan yang besar untuk kami mempunyai lebih daripada seorang anak.”
Menurut Cik Ummi Salamah yang mendirikan rumah tangga dengan Encik Musa, 33 tahun pada 2024, keluarganya kini menetap di rumah ibunya di Toa Payoh, sementara menantikan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) empat bilik mereka di Bukit Panjang siap pada hujung 2027.
Beliau juga berkongsi sedang mempertimbangkan untuk berehat seketika daripada kerjayanya, sedang anak perempuannya itu kian membesar.
Namun, Cik Ummi Salamah bimbang jika beliau meninggalkan pekerjaan bermakna anaknya tidak akan mendapat subsidi lebih tinggi apabila memasuki tadika atau pusat penjagaan, seperti yang dinikmati oleh golongan ibu yang bekerja sepenuh masa.
Perkara ini pernah diketengahkan Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Cik Elysa Chen, dalam ucapan penangguhan di Parlimen pada 5 Ogos.
Lantaran itu, aturan penjagaan kanak-kanak, termasuk subsidi bagi meletakkan anak di pusat penjagaan kanak-kanak, adalah antara bantuan yang Cik Ummi Salamah harap akan dipertingkatkan lagi oleh pemerintah, demi membangunkan masyarakat lebih mesra keluarga.
Ini sejajar dengan usaha pemerintah untuk meningkatkan jumlah kadar kesuburan (TFR) Singapura yang merosot kepada 0.87 pada 2025, paras terendah sejauh ini.
Jumlah kelahiran hidup turut merosot kepada bawah 30,000 buat kali pertama dalam 60 tahun, iaitu susut 11.4 peratus berbanding 2024.
Sementara itu, bagi Cik Siti Nordiana Sukry, 26 tahun, dan Encik Nurhidayat Norhisam, 28 tahun yang sedang merancang untuk mendapatkan zuriat, kebimbangan mereka adalah berhubung isu kos.
Mereka yang mendirikan rumah tangga pada 2025 prihatin tentang beban kewangan tinggi dalam membesarkan anak-anak melalui fasa-fasa berbeza.
Justeru, pasangan itu mengharapkan lebih banyak bantuan bagi menyokong dan menggalakkan pasangan muda dalam aspek penjagaan dan pendidikan kanak-kanak yang lebih berpatutan.
“Kami berharap kami akan mencapai kestabilan kewangan dan keyakinan lebih tinggi untuk membina keluarga serta mampu menyediakan anak-anak kami dengan mutu kehidupan yang baik,” ujar Encik Nurhidayat sambil menambah mereka baru berpindah ke flat jualan semula tiga bilik di Fernvale.
