Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Permainan antipenipuan tawar hadiah lebih $200,000

Oct 24, 2024 | 12:11 PM
Permainan web ‘#XiamTheScams’ telah dibangunkan oleh syarikat pemasaran gamifikasi Sqkii dan dilancarkan oleh Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) pada 24 Oktober.
Permainan web ‘#XiamTheScams’ telah dibangunkan oleh syarikat pemasaran gamifikasi Sqkii dan dilancarkan oleh Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) pada 24 Oktober. - Foto NCPC

Selalunya, akan ada udang di sebalik batu jika sesuatu tawaran kelihatan terlalu menarik untuk menjadi kenyataan.

Namun, permainan antipenipuan baru oleh Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) yang menjanjikan pemain wang tunai $55,000, iPhone, PlayStation dan hadiah-hadiah lain bernilai lebih daripada $200,000, bukanlah suatu helah. 

Diberi nama #XiamTheScams, permainan web simulasi kehidupan itu telah dibangunkan oleh syarikat pemasaran gamifikasi, Sqkii, yang terkenal dengan permainan #HuntTheMouse, lapor The Straits Times (ST).

Dalam permainan #XiamTheScams, pemain perlu memilih salah satu daripada tiga watak yang disediakan, membuat keputusan sepanjang permainan untuk mengumpul markah, sambil mengelak daripada terjerat dalam penipuan.

Terdapat beratus-ratus senario yang disediakan sepanjang kira-kira 90 jalan cerita dalam permainan itu yang akan berlangsung selama tiga bulan, dari 24 Oktober hingga 22 Januari 2025.

100 pemain dengan markah tertinggi akan berpeluang memenangi wang tunai berjumlah $55,000, termasuk hadiah utama bernilai $10,000 buat pemain yang berjaya mengumpul markah paling tinggi.

Pemain juga boleh mengumpul ‘Bintang’, yang kemudian dapat digunakan untuk membuka kotak hadiah yang mengandungi baucar dan hadiah bukan tunai lain seperti iPhone, PlayStation dan peranti komputer Logitech.

Permainan ini pertama kali diumumkan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, semasa majlis makan malam gala NCPC pada 27 September, yang turut melancarkan ScamShield Suite baru yang menggabungkan beberapa daya usaha untuk menyekat penipuan.

Pengerusi NCPC, Encik Gerald Singham, berkata NCPC berharap agar permainan itu dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penipuan yang datang dalam pelbagai rupa dan meningkatkan kewaspadaan orang awam.

Encik Singham berkata: “Penipuan berkembang pesat dan menggunakan taktik rumit yang dapat menipu (orang ramai).

“Banyak penipuan kelihatan benar dan sedang berleluasa dalam kehidupan seharian kita.

“Dengan mengambil pendekatan gamifikasi yang inovatif ini, NCPC menyasarkan untuk menarik perhatian orang ramai dengan cara seronok tetapi mendidik.”

Permainan itu boleh diakses melalui aplikasi Shopee, atau laman web https://xiamthescams.sqkii.com/start bermula jam 10 pagi pada 24 Oktober.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg