Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat Anti-Penipuan, bank, hentikan lebih 6,400 orang daripada rugi lebih $90j

Sep 6, 2024 | 8:07 PM
Seorang pegawai Pusat Anti-Penipuan bersama kakitangan bank semasa satu operasi bersama selama dua bulan.
Seorang pegawai Pusat Anti-Penipuan bersama kakitangan bank semasa satu operasi bersama selama dua bulan. - Foto PASUKAN POLIS SINGAPURA

Lebih 6,400 orang berjaya mengelak daripada kerugian sebanyak lebih $90 juta semasa satu operasi yang dijalankan selama dua bulan oleh Pusat Anti-Penipuan (ASC) polis dan enam bank.

Bank yang terlibat dalam operasi itu termasuk DBS, UOB, OCBC, HSBC, GXS dan Standard Chartered, kata polis dalam satu kenyataan pada 6 September.

Semasa operasi itu dari 1 Julai hingga 31 Ogos, teknologi automasi proses robotik digunakan untuk mengesan potensi mangsa kes penipuan berkaitan dengan pekerjaan, pelaburan, panggilan rakan palsu dan e-dagang.

Ini membolehkan polis untuk campur tangan dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mereka yang disasarkan bagi mencegah pemindahan wang daripada berlaku.

Secara keseluruhan, pegawai ASC telah menghantar sekitar 8,400 SMS kepada 6,464 potensi mangsa penipuan yang merupakan pelanggan bank tersebut.

Ini menyebabkan gangguan terhadap sekitar 2,000 kes penipuan, kata polis.

Teknologi yang digunakan dalam operasi itu mengautomasikan perkongsian maklumat dan pemprosesan. Ini membolehkan pegawai ASC dan bank berkenaan menghubungi mangsa dengan cepat.

Menurut laporan The Straits Times, mangsa hanya menyedari mereka merupakan mangsa kes penipuan apabila dihubungi pegawai ASC dan pihak bank.

Polis menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah pencegahan seperti tidak memasang sofwe daripada sumber yang tidak disahkan dan memastikan privasi mereka apabila memasukkan butiran peribadi atau butiran log masuk bank.

Mereka turut menambah bahawa orang ramai digalakkan memberitahu rakan dan keluarga mereka tentang penipuan dan tidak bertindak secara impulsif.

Orang ramai boleh mengunjungi www.scamalert.sg atau menghubungi talian bantuan antipenipuan di 1800 -722-6688 untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penipuan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg