Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Permintaan produk halal sempena Tahun Baru Cina meningkat

Pasar raya kini tawar produk alternatif seperti dendeng berasas tumbuhan
Jan 28, 2025 | 5:30 PM
Terdapat peningkatan dalam bilangan pelanggan bukan Islam yang memilih untuk membeli produk yang diperakui halal semasa Tahun Baru Cina.
Terdapat peningkatan dalam bilangan pelanggan bukan Islam yang memilih untuk membeli produk yang diperakui halal semasa Tahun Baru Cina. - Foto ST

Lebih ramai pelanggan bukan Islam kini memilih untuk membeli produk halal semasa Tahun Baru Cina sedang lebih ramai yang ingin menjadi lebih inklusif dalam menyambut perayaan itu, menurut beberapa peruncit.

Permintaan yang meningkat itu telah mendorong kehadiran lebih banyak produk alternatif seperti dendeng berasaskan tumbuhan, yang semakin popular di rangkaian pasar raya seperti Sheng Siong dan FairPrice Group.

Berkongsi pemerhatiannya semasa dihubungi, Sheng Siong berkata secara umumnya sebahagian besar pelanggan yang membeli produk halal adalah pengguna Islam, tetapi lebih ramai pengguna bukan Islam diperhatikan turut mencari produk halal.

“Permintaan bagi produk halal semakin meningkat.

“Walaupun pangkalan pelanggan utama kekal dalam kalangan masyarakat Islam, terdapat peningkatan dalam bilangan pelanggan bukan Islam yang memilih produk yang diperakui halal, mungkin didorong oleh tumpuan yang semakin meningkat terhadap keterangkuman,” kongsi jurucakap Sheng Siong kepada Berita Harian (BH).

Menurut jurucakap itu lagi, dalam musim perayaan kali ini, ia menawarkan pelbagai produk seperti dendeng daging lembu BBQ dan ayam serta pilihan berasaskan tumbuhan.

“Antara produk-produk ini, dendeng berasaskan tumbuhan semakin mendapat perhatian dan sambutan yang signifikan, mencerminkan peningkatan populariti makanan berasaskan tumbuhan.

“Tawaran produk yang disasarkan seperti dendeng berasaskan tumbuhan halal juga dipasarkan khusus untuk tempoh perayaan Tahun Baru Cina.”

Turut menyaksikan trend yang serupa ialah rangkaian pasar raya NTUC FairPrice.

Semasa dihubungi, jurucakap FairPrice Group berkata ia menawarkan pelbagai pilihan makanan ringan Tahun Baru Cina yang halal di pasar raya itu.

“Tahun ini (2025), di samping dendeng berasaskan tumbuhan yang popular, kami telah memperkenalkan pilihan ayam dan daging lembu baru untuk memenuhi pelbagai pilihan,” katanya.

Berdasarkan tinjauan BH, beberapa cawangan pasar raya FairPrice serata Singapura turut mempamerkan produk seperti ‘Dendeng Ayam Koin’ dan ‘Dendeng Daging Koin’ berjenama Laaziiz, serta ‘Vegetarian Spicy BBQ Meat’ daripada pengeluar produk vegetarian, Liang Yi, di rak-rak sempena musim perayaan tersebut.

Produk itu tidak hanya boleh didapati dalam talian menerusi laman web ataupun aplikasi FairPrice Group, malah ia juga dijual di laman web Enhance Food, pengeluar halal Singapura yang baru ditubuhkan pada 2024.

Antara mereka yang membeli dendeng halal sempena Tahun Baru Cina ini ialah Cik Fazura Poh, seorang pencipta kandungan berbangsa Cina berusia 34 tahun.

Beliau yang memeluk Islam pada 2017, berkongsi bahawa kini terdapat lebih banyak pilihan makanan halal yang memudahkan semua orang untuk menjamu selera bersama.

“Sejak saya memeluk Islam dan menjadi seorang Muslim, keluarga saya sebenarnya sangat bertimbang rasa.

“Mereka memberikan kami set peralatan stimbot, pinggan dan kutleri seperti sudu, garfu dan pisau serta membeli bahan-bahan halal,” katanya.

Oleh itu, beliau juga telah membeli dan berkongsi dendeng beku bersama keluarganya yang bukan Islam, bukan sahaja sempena musim perayaan, tetapi juga pada hari-hari biasa.

Demi memeriahkan lagi sambutan perayaannya, Cik Fazura akan memesan makan daripada katering halal dan Yu Sheng (hidangan ikan mentah dan rojak sayur) yang dijual di pasar raya FairPrice, supaya dapat turut serta dalam perjumpaan makan malam bersama keluarganya.

Sentimen ini turut dikongsi oleh Cik Teresa Peiying Yang, 36 tahun, yang memeluk Islam pada 2022.

“Apabila saya mengunjungi pasar raya untuk mencari snek dan makanan ringan bagi perjumpaan Tahun Baru, saya mendapati terdapat lebih banyak pilihan bagi dendeng halal.

“Ini menunjukkan bahawa permintaan bagi produk halal sempena Tahun Baru Cina kian meningkat,” kongsi Cik Teresa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg