Permintaan tinggi bagi jurutera, pakar teknologi di S’pura
Permintaan tinggi bagi jurutera, pakar teknologi di S’pura
Hampir separuh jawatan kosong adalah baru berikutan ledakan AI
Hampir separuh (49.3 peratus) daripada semua kekosongan jawatan di Singapura pada 2025 adalah jawatan baru, berikutan ledakan kecerdasan buatan (AI) global yang mendorong permintaan tinggi bagi pekerja dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.
Angka itu, yang meningkat daripada 45.7 peratus pada 2024, turut menunjukkan bahawa permintaan tenaga pekerja terus disokong oleh pengembangan perniagaan dan bukan sekadar pengambilan pekerja pengganti semata-mata.
Sektor maklumat dan komunikasi, perkhidmatan profesional, serta perkhidmatan kewangan dan insurans mencatatkan lebih banyak kekosongan jawatan baru berbanding purata keseluruhan, menurut Laporan Kekosongan Jawatan tahunan Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Seperti 2024, profesional dalam bidang pengajaran dan latihan masih menjadi pekerja karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) yang mempunyai permintaan paling tinggi pada 2025.
Antara jawatan paling dicari ialah profesional dalam pembangunan perisian, web dan multimedia, serta pembangun permainan.
Penganalisis sistem, saintis data, serta pengaturcara aplikasi dan sistem juga berada dalam kedudukan tinggi.
Secara keseluruhan, terdapat 158 kekosongan jawatan bagi setiap 100 pencari kerja pada Disember 2025, turun daripada 164 pada Disember 2024.
Bilangan kekosongan jawatan bagi pekerja PMET meningkat kepada 38,200 pada 2025, naik daripada 35,400 pada 2024.
Pada masa sama, bilangan kekosongan jawatan bukan PMET meningkat daripada 26,000 pada 2024 kepada 29,600 pada 2025, didorong pertumbuhan dalam sektor pembinaan.
Pada 2025, kadar pemberhentian pekerja dalam kalangan pekerja PMET yang merupakan warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) meningkat kepada 10.1 bagi setiap 1,000 pekerja — yang tertinggi dicatatkan sejak 2021. Kadar pemberhentian pekerja tertinggi ialah 10.5 pada 2020.
Ini kerana pekerja PMET lebih terdedah kepada sektor yang bergantung pada pasaran luar negara, di mana penstrukturan semula syarikat semakin kerap berlaku, kata MOM.
Sektor yang mencatatkan lebih banyak pemberhentian pekerja termasuk perkhidmatan kewangan, maklumat dan komunikasi, serta perkhidmatan profesional.
Terdapat jangkaan lebih tinggi bagi pekerja untuk menggunakan sistem berkuasa AI, memandangkan kemahiran pembangunan perisian dan analitik data sering diperlukan untuk profesion yang diminati dalam bidang kewangan dan kejuruteraan.
“Jawatan ini melibatkan tugas yang berpotensi tinggi dibantu oleh AI, justeru pekerja perlu mahir menggunakan alat berasaskan AI,” kata MOM pada 20 Mac.
Permintaan yang semakin meningkat terhadap kemahiran AI ini berlaku di tengah-tengah kecenderungan majikan yang semakin memilih untuk mengambil pekerja berdasarkan kemahiran berbanding kelayakan akademik.
Menurut MOM, majikan kini semakin mengutamakan kemahiran berbanding kelayakan akademik, kerana ia terbukti menghasilkan pengambilan pekerja yang lebih pantas dan prestasi lebih baik.
Hampir 80 peratus kekosongan jawatan tidak lagi menjadikan kelayakan akademik sebagai syarat utama, meningkat daripada 78.8 peratus pada 2024.
Bagi warga Singapura dan PR yang berumur 30 tahun ke bawah, kadar pengangguran meningkat sedikit daripada 5.6 peratus pada September 2025 kepada 5.8 peratus pada Disember 2025.
Walaupun ini menunjukkan bahawa padanan kerja yang sesuai mengambil masa lebih lama bagi sesetengah pencari kerja muda, majikan masih terbuka untuk mengambil mereka yang mempunyai pengalaman terhad.

