Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Permohonan dana pupuk inovasi produk, kerjasama masjid dibuka Okt

Sep 13, 2025 | 8:32 PM
Simposium Belia Masjid SG NEXTGEN 2025,singapore expo, belia, program masjid
Lebih 200 belia berkumpul untuk acara Simposium Belia Masjid SG NEXTGEN 2025, yang buat julung kali diadakan di Singapore Expo pada 13 September. - Foto BM oleh KHALID BABA

Permohonan bagi Dana Kehidupan Beragama Masyarakat (CRL) yang membiayai bersama program dan pembangunan produk masjid, akan dibuka pada pertengahan Oktober ini.

Menurut jurucakap Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), dana bernilai $1 juta untuk tempoh tiga tahun itu juga akan membina budaya kerjasama dan menghasilkan huraian praktikal bagi memenuhi keperluan kontemporari.

Berucap semasa acara Simposium Belia Masjid SG NEXTGEN (Generasi Singapura Seterusnya) 2025, di Singapore Expo pada 13 September, Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim berkata Muis akan secara aktif memudahkan kerjasama antara masjid dengan rakan kerjasama lain menerusi dana tersebut.

“Tidak ada satu masjid yang boleh memenuhi pelbagai keperluan masyarakat, tetapi sebagai satu rangkaian, kita boleh memastikan lebih banyak keperluan dipenuhi,” ujar beliau dalam acara yang dianjurkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dengan sokongan Majlis Belia Kebangsaan (NYC).

“Justeru, dana ini bertujuan untuk membina budaya pengujikajian, penyampaian dan pembelajaran kolaboratif supaya kita dapat bertindak dengan daya yang kreatif untuk memenuhi keperluan hari ini,” ujarnya.

Dana tersebut pertama kali diumumkan di Sidang Sektor Satu Masjid (OMS) 2025 sebagai sokongan kepada projek-projek inovatif belia, selaras dengan tujuan CRL pada Februari 2025.

Beliau juga menekankan bahawa sokongan pembangunan belia merupakan tanggungjawab besar yang dipikul bersama Muis dan masjid tempatan.

“Demi menyokong golongan belia, kami akan menambah sumber, melengkapkan pegawai pembangunan belia dan asatizah untuk berkhidmat dan membimbing remaja kita sebagai guru, mentor dan kaunselor,” katanya.

Encik Khairul turut menjelaskan bahawa kerjasama rapat bersama NYC akan mengukuhkan lagi usaha ini.

Katanya, NYC berperanan sebagai rakan utama yang membantu untuk membentuk simposium sebagai sebuah platform untuk belia menyuarakan pandangan, berkongsi idea inovatif dan bertukar amalan terbaik.

Simposium itu yang disertai lebih 200 belia, juga sejajar dengan inisiatif SG60 dan Pelan Belia Singapura serta menjadi pemangkin kepada makmal kepimpinan belia, lingkaran mentor dan kolaborasi antara masjid pada masa hadapan.

Dengan tema ‘Mengemudi Kehidupan Berpaksikan Agama’, simposium itu menekankan tiga keprihatinan belia iaitu identiti, hubungan dan mata pencarian.

Bagi mendalami isu-isu ini, program acara menampilkan sesi kumpulan interaktif dengan sembilan kenyataan masalah khusus di bawah tiga fokus utama tersebut.

Antara contoh kenyataan yang dibincangkan termasuk bagaimana belia boleh membina identiti Muslim yang ikhlas dan berteraskan iman bukan sekadar dari luaran, dalam dunia yang menilai imej serta prestasi; bagaimana golongan belia boleh merapatkan jurang dan menggalakkan perbualan yang lebih terbuka bersama ibu bapa serta bagaimana mereka dapat membina rangkaian sokongan dan peluang yang halal, inklusif dan berlandaskan iman.

Semasa sesi itu, para belia berpeluang untuk berkongsi cadangan yang praktikal daripada inisiatif sokongan mental di masjid, hinggalah idea program mentor untuk membantu belia membuat pilihan kerjaya yang lebih baik.

Ustaz Tarmizi Abdul Wahid (tiga dari kanan) berinteraksi bersama salah satu kumpulan semasa sesi interaktif di Simposium Belia Masjid Kita SG NEXTGEN (Generasi Singapura Seterusnya) 2025, yang buat julung kali diadakan di Singapore Expo pada 13 September.
Ustaz Tarmizi Abdul Wahid (tiga dari kanan) berinteraksi bersama salah satu kumpulan semasa sesi interaktif di Simposium Belia Masjid Kita SG NEXTGEN (Generasi Singapura Seterusnya) 2025, yang buat julung kali diadakan di Singapore Expo pada 13 September. - Foto BM oleh KHALID BABA

Selain itu, isu-isu tersebut telah dikupas dalam sesi perkongsian tiga pakar iaitu Ustaz Muhammed Faheem mengenai identiti, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid mengenai hubungan dan Cik Faridah Saad mengenai mata pencarian serta kerjaya.

Pegawai Kanan Pembangunan Belia, Masjid Daerah Timur, Ustaz Muhd Syakir Zainal berkata simposium ini menjadi bukti bahawa suara belia semakin diiktiraf dalam membina masa depan masyarakat Islam di sini.

“Melalui simposium ini, kami harapkan akan wujud usaha menjalin rangkaian dalam kalangan penggerak belia serta badan-badan belia, agar dapat melahirkan lebih banyak usaha sama yang dapat mengembangkan agenda belia Islam Singapura, seiring dengan Pelan Belia Singapura,” katanya yang merupakan salah satu jawatankuasa penganjur acara tersebut.

Mengalu-alukan usaha ini, Presiden Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Cik Ayra Mohammed, 21 tahun berkata simposium seperti ini memberi ruang baginya untuk membincangkan isu semasa yang dihadapi golongan belia.

Cik Arya Mohammed (dua dari kanan) berkata simposium ini memberi ruang baginya untuk membincangkan isu semasa yang dihadapi belia.
Cik Arya Mohammed (dua dari kanan) berkata simposium ini memberi ruang baginya untuk membincangkan isu semasa yang dihadapi belia. - Foto BM oleh KHALID BABA

“Sebagai seorang belia Islam, saya berdepan persoalan identiti, hubungan dan kerjaya hampir setiap hari.

“Simposium ini sangat relevan kerana ia bukan sekadar membincangkan teori, tetapi beri saya panduan praktikal,” katanya.

Para peserta terdiri daripada pemimpin dan sukarelawan belia masjid, pelajar madrasah, pelajar Youth aLIVE, pelajar Institut Pengajian Tinggi (IHL), serta wakil masyarakat Melayu/Islam yang lain dan Pertubuhan India/Islam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg