Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Permohonan sekolah untuk pelajar yang kembali ke S’pura dibuka mulai 10 Jul

Jul 1, 2025 | 6:06 PM
Pelajar Singapura yang pulang ke republik ini  boleh memohon kemasukan bagi tahun akademik 2026 mulai 10 Julai.
Pelajar Singapura yang pulang ke republik ini boleh memohon kemasukan bagi tahun akademik 2026 mulai 10 Julai. - Foto ST

Pelajar Singapura yang pulang ke republik ini boleh mula memohon kemasukan ke sekolah menengah, maktab rendah atau Institut Millennia (MI) bagi tahun akademik 2026 mulai 10 Julai.

Mereka akan menduduki ujian berpusat di bawah Latihan Penempatan Sekolah bagi Rakyat Singapura yang Kembali Dari Luar Negara (Spers) dan akan menerima senarai sekolah yang layak dimasuki berdasarkan prestasi mereka, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada 1 Julai.

Mereka yang ingin memohon kemasukan ke Menengah 1 hingga 3 pada 2026 boleh membuat permohonan dari 10 hingga 23 Julai, dan akan menduduki ujian ‘Spers-Sec’ dari 1 hingga 5 September, yang merangkumi ujian Bahasa Inggeris dan Matematik.

Permohonan untuk ke maktab rendah dan MI akan dibuka dari 10 Julai hingga 17 Oktober, dan ujian ‘Spers-JC/MI’ akan diadakan pada 6 November, lapor The Straits Times (ST).

Pemohon akan menerima keputusan penempatan mereka pada Disember, dan akan mulakan sekolah pada permulaan tahun persekolahan 2026.

Memandangkan Menengah 4 dan Prauniversiti 2 merupakan tahun peperiksaan nasional, rakyat Singapura yang pulang ke tanah air biasanya tidak memasuki sistem persekolahan pada peringkat ini, tambah MOE.

Mereka yang ingin menyertai sekolah menengah di Singapura pada 2026 tetapi tidak dapat menduduki ujian Spers-Sec pada September boleh mengambil ujian itu pada Disember di bawah Latihan Penempatan Tambahan (SPE).

Permohonan untuk SPE akan dibuka dari 4 hingga 17 November, dan ujian SPE akan dijalankan pada 3 Disember.

Pemohon SPE akan menerima keputusan penempatan sekolah mereka pada Februari 2026 bagi kemasukan pada bulan yang sama.

Rakyat Singapura yang boleh pulang sebelum September 2025 dinasihatkan supaya memohon Spers-Sec dan bukannya SPE, kerana ini membenarkan mereka memulakan persekolahan pada Januari 2026 bersama rakan sebaya mereka.

Sebagai alternatif, pelajar boleh memohon tempat di sekolah rendah atau menengah yang berhampiran rumah mereka di Singapura, melalui perkhidmatan Penempatan Sekolah Terjamin.

Sebagai ganti untuk ujian berpusat, sekolah yang bakal dimasuki pelajar berkenaan mungkin menjalankan penilaian berasaskan sekolah dan temuduga untuk menentukan tahap dan kelas yang sesuai bagi murid tersebut, tambah MOE.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai latihan penempatan sekolah ini boleh melayari laman web www.moe.gov.sg/returning-singaporeans.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg