Rancangan Yayasan Mendaki meluaskan sokongan pendidikan, termasuk tawaran biasiswa dan pinjaman pelajaran, boleh membantu lebih ramai lagi anak Melayu mencapai aspirasi mereka.
Pengerusi baru Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, berkata langkah itu antara rancangan badan bantu diri itu sedang ia melakar hala tujunya untuk lima tahun akan datang.
Langkah memberi tumpuan kepada pengajian lebih tinggi ini wajar sedang badan itu telah memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak sejak beberapa tahun lalu.
Ini termasuk menerusi program prasekolah seperti KelasMateMatika (KMM) yang menunjukkan hasil, dengan sembilan dalam 10 murid masuk sekolah rendah tanpa memerlukan sokongan pembelajaran tambahan bagi mata pelajaran Matematik.
Kini, Mendaki nampaknya bakal memberi lebih tumpuan kepada pelajar di peringkat pendidikan lebih tinggi, dengan rancangan meluaskan tawaran seperti biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pelajaran.
Contohnya, Encik Zaqy menyarankan agar pinjaman pelajaran – yang kini diluluskan bagi diploma atau ijazah pertama – dapat diluaskan kepada mereka yang ingin mendapatkan diploma atau ijazah kedua, termasuk golongan yang ingin membuat peralihan kepada bidang baru ketika berada di tahap pertengahan kerjaya.
Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), berkata usaha itu penting bagi memupuk pemimpin dalam industri, bukan sahaja pemimpin dalam masyarakat.
Untuk mencapai matlamat tersebut, belia Melayu boleh diberi sokongan bagi meraih kelayakan yang diperlukan serta asas yang baik untuk berjaya dalam bidang masing-masing.
Bilangan orang Melayu yang berkelayakan tinggi telah meningkat sejak beberapa tahun lalu.
Pada 2020, hampir separuh atau 47.5 peratus penduduk Melayu 25 tahun dan ke atas mempunyai kelayakan posmenengah atau lebih tinggi, berbanding kurang sepertiga pada 2010.
Menjangkau bilangan yang berkelayakan tinggi, mutu kelayakan juga penting.
Ini jika kelayakan itu membawa kepada pekerjaan dan kerjaya yang baik.
Tinjauan Pekerjaan Siswazah Institusi Pendidikan Swasta baru-baru ini menunjukkan 46.4 peratus atau kurang separuh siswazah baru dari institusi pendidikan swasta mendapat pekerjaan sepenuh masa pada 2024, di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi lebih perlahan dan permintaan pengambilan pekerja lebih rendah pada masa ini.
Oleh itu, bimbingan pendidikan dan kerjaya masih penting untuk menunjuk arah kepada belia mengejar minat, mencapai aspirasi dan memenuhi potensi mereka.
Sokongan Mendaki dalam bentuk biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pelajaran boleh memainkan peranan lebih ketara dalam ekosistem sokongan tersebut, dalam membimbing belia ke arah pelbagai laluan yang boleh diambil.
Setelah meraih pekerjaan, barulah belia itu kemudian boleh dibimbing dalam kerjaya mereka.
Di sini pula, Rangkaian Profesional Mendaki boleh memainkan peranan mereka, bagi menyokong golongan profesional dalam mengembangkan rangkaian mereka, dan akhirnya menjadi pemimpin yang menyumbang kepada masyarakat.
Pelbagai peluang dan sokongan kini terbentang bagi belia untuk merebutnya, dan memperkasa diri dalam pembangunan mereka sendiri.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg