Dalam Ceramah S. Rajaratnam baru-baru ini, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menggambarkan dunia yang semakin bergolak.
“Kerjasama global yang pernah kukuh selama beberapa dekad kini digantikan dengan persaingan dan ketidakpercayaan yang kian memuncak. Hasilnya, dunia menjadi semakin berpecah-belah dan tidak teratur,” katanya.
Di sebalik pergolakan ini, beliau menekankan keperluan untuk Singapura kekal terbuka kepada idea, kerjasama dan peluang, sambil terus membina jalinan hubungan.
Pemikiran serupa telah menjadi tunjang pendekatan Singapura dalam urusan global, dan bertambah penting dalam keadaan dunia sekarang.
Kejayaan yang dikecap Singapura hanya satu permulaan dan tidak seharusnya menjadi matlamat akhir. Ia perlu menjadi titik permulaan untuk memacu perubahan.
Kesan yang kita hasilkan juga tidak boleh terbatas kepada negara ini sahaja, kerana cabaran yang kita hadapi – seperti perubahan iklim, penyusutan sumber, dan ketidaksamaan sosial – bersifat global dan merentas sempadan negara.
Masa depan akan ditentukan oleh mereka yang mampu berfikir secara global dan bertindak di peringkat tempatan, sekali gus menyumbang kepada gerakan perubahan di peringkat global.
Sepanjang saya bekerja bersama rakyat Singapura, saya telah menyaksikan secara langsung tahap kecekapan, kebertanggungjawaban, dan disiplin mereka.
Mereka menyelesaikan tugasan dengan pantas dan tepat. Mereka sangat mahir dan cekap – antara rakan sekerja paling profesional yang pernah saya bekerja bersama.
Namun, dalam dunia hari ini, kemahiran semata-mata tidak mencukupi.
Rakyat Singapura perlu menggabungkan profesionalisme dengan rasa ingin tahu serta kesediaan meneroka perkara baru di luar zon selesa mereka.
Contohnya Encik Leonard Ng, seorang bekas pegawai bank yang mengubah haluan kerjayanya menjadi arkitek landskap.
Selepas 15 tahun dalam bidang perbankan, beliau membuat keputusan mengejar minat dalam reka bentuk dengan mengimbangi kerja sepenuh masa dan kelas malam. Akhirnya beliau memperoleh Ijazah Sarjana dalam Reka Bentuk Landskap Bandar.
Sebagai arkitek landskap yang bertauliah, Encik Ng mereka bentuk Taman Bishan-Ang Mo Kio, Taman Tasik Jurong dan Kampung Admiralty, serta berjaya memenangi Anugerah Presiden bagi Reka Bentuk pada 2023.
Seperti yang ditunjukkan oleh Encik Ng, transformasi dan kejayaan luar biasa boleh dicapai apabila seseorang keluar dari zon selesa mereka.
Tetapi timbul satu pertanyaan: Patutkah kita berhenti hanya dengan berjaya di Singapura?
Sistem pendidikan Singapura menyediakan asas kukuh, menggabungkan kemahiran teknikal yang mantap sambil mendidik pelajar agar mempertimbangkan kesan penyelesaian mereka dari sudut kemanusiaan, sosial dan alam sekitar.
Institusi seperti Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) dan Universiti Nasional Singapura (NUS) memacu perubahan ini dengan menggabungkan teknologi, reka bentuk dan sains sosial.
SUTD adalah universiti Reka Bentuk Kecerdasan Buatan (Design AI) pertama di dunia, yang menjadikan AI sebagai rakan dalam proses inovasi, menekankan kerjasama antara manusia dengan AI untuk mencipta penyelesaian yang jauh melebihi kebolehan seseorang.
Namun, asas ini hanya satu permulaan.
Antara ramai rakyat Singapura yang hebat dan berbakat yang pernah saya bekerjasama sepanjang beberapa dekad lalu, ada yang berjaya mencapai kemajuan dalam kerjaya masing-masing – namun hanya segelintir yang berani melangkah keluar dari Singapura.
Ada yang tidak sedar potensi sebenar diri mereka, dan ada juga yang enggan mengambil risiko.
Apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TikTok, Encik Chew Shou Zi, mengujarkan kata-kata “Senator, saya rakyat Singapura” semasa sesi pembicaraan Senat Amerika Syarikat pada Januari 2024, kenyataan itu menarik perhatian dunia.
Beliau sedang menjawab soalan mengenai kaitan dirinya dengan Parti Komunis China, dan beberapa kali menegaskan bahawa beliau merupakan rakyat Singapura.
Encik Chew tidak membataskan dirinya di Singapura, beliau pernah bekerja di London, Amerika dan China, sebelum mengetuai salah satu syarikat teknologi paling berpengaruh di dunia – TikTok, yang kini menjangkau lebih satu bilion pengguna di seluruh dunia.
Kejayaan Encik Chew membuktikan bahawa peluang di peringkat global memang wujud bagi mereka yang berani melangkah keluar dan menjejakkan kaki dalam persekitaran baru.
Perjalanan Cik Jessica Tan juga menonjolkan cita-cita yang bersifat global.
Selepas menamatkan pengajian di Institut Teknologi Massachusetts (MIT), beliau menjadi peneraju bersama Ping An Group di China dan berjaya menggandakan bilangan pelanggannya kepada 230 juta.
Beliau kemudian dilantik sebagai Presiden Sun Life Canada, menyelia syarikat pelaburan yang kini berkhidmat kepada lebih 12 juta rakyat Canada.
Di sekolah dan di tempat kerja, rakyat Singapura telah dibekalkan dengan ilmu, kemahiran dan cara berfikir untuk berinovasi, menyelesaikan masalah rumit, serta menjadi seorang pemimpin.
Perkara penting di sini ialah kesedaran bahawa peluang tidak akan datang bergolek – kita sendiri perlu mencarinya untuk melakar perjalanan kita.
Usaha ini memerlukan lebih daripada sekadar kepakaran teknikal. Keupayaan berhubung dengan individu daripada pelbagai latar belakang adalah sama penting, dan ini menuntut kecerdasan dalam memahami budaya dan emosi.
Dalam dunia yang sangat saling terhubung ini, kecerdasan emosi – iaitu keupayaan memahami dan menguruskan emosi sendiri serta emosi orang lain – amat penting untuk membina perhubungan yang berjaya.
Semasa saya bekerja di Amerika dan China, saya belajar secara langsung kepentingan menyesuaikan diri dengan budaya kerja yang berbeza.
Di China, saya sedar bahawa kepercayaan dibina di luar bilik mesyuarat, dalam suasana tidak formal, melalui perbualan dan hubungan peribadi. Pemahaman ini membolehkan pasukan kami bekerjasama dengan lebih berkesan bersama rakan kongsi dari China.
Kecerdasan budaya merujuk kepada kebolehan menerima pelbagai perspektif, memahami gaya komunikasi yang berbeza dan bekerjasama dengan berkesan bersama orang dari pelbagai latar belakang.
Kecerdasan ini sama penting dengan pengetahuan teknikal yang kita miliki. Ini kerana untuk berjaya, anda perlu tahu cara berhubung dengan orang lain supaya dapat membina sebuah pasukan yang kukuh.
Ketahanan juga merupakan elemen penting untuk mencapai kejayaan, kerana pastinya kita akan menghadapi kegagalan dan kesukaran.
Namun, ketahanan sebenar bukan sekadar kebolehan untuk bangkit semula daripada kegagalan, bahkan menjadi lebih kuat hasil daripada pengalaman itu.
CEO syarikat teknologi berbilang negara Nvidia, Encik Jensen Huang, pernah mengeluarkan satu kata-kata yang menggambarkan perkara ini dengan tepat.
“Orang sering salah faham bahawa pekerjaan terbaik ialah yang sentiasa membawa kebahagiaan. Saya tidak fikir itu betul. Anda perlu melalui penderitaan, perjuangan dan usaha. Anda mesti lakukan perkara sukar itu dan terus menghadapinya untuk menghargai apa yang anda capai,” jelas beliau.
Pertumbuhan dan kejayaan tidak datang tanpa pengorbanan atau ketidakselesaan.
Kita sedang melangkah ke era yang menyaksikan perubahan teknologi, terutama AI dan automasi, mengubah landskap industri dan tenaga kerja.
Pekerjaan bakal berubah, cabaran baru juga akan timbul, terutama dalam cara kita memanfaatkan AI untuk memacu kemajuan secara adil.
Langkah membangunkan penyelesaian AI yang mampan untuk menangani perubahan iklim, mereka bentuk sistem yang mengutamakan keadilan, atau merangka dasar bagi melatih semula pekerja yang pekerjaan mereka telah digantikan teknologi, memerlukan pemikiran baru.
Ini adalah masa untuk generasi muda Singapura tampil sebagai pemimpin di pentas global.
Negara ini telah membekalkan rakyatnya dengan wadah untuk berinovasi, dan kini tiba masanya untuk mereka bawa kemahiran tersebut ke peringkat antarabangsa.
Dunia tidak menunggu perubahan secara berperingkat; ia menunggu pemimpin yang berani untuk melakar semula arah tujunya.
Artikel ini diadaptasi daripada ucapan CEO Kumpulan Surbana Jurong Group, Encik Sean Chiao, yang disampaikan di SUTD pada 31 Mei. Artikel ini pertama kali diterbitkan di The Straits Times (ST).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg