Permohonan untuk Skim Bantuan Pencari Kerja (JS) SkillsFuture dibuka pada 15 April dengan tujuan memberi bantuan kewangan kepada pencari kerja berpendapatan pertengahan dan rendah.
Pencari kerja yang layak boleh menerima bantuan kewangan sebanyak $6,000 dalam tempoh enam bulan.
Bayaran bulanan dihadkan pada pendapatan bulanan purata pencari kerja itu sebelum ini, dan akan dihentikan apabila pencari kerja itu sudah dapat pekerjaan.
JS Skillsfuture kini menawarkan sistem mata, bagi setiap kegiatan yang dilaksanakan oleh pencari kerja.
“Tujuan sistem mata ini adalah untuk menggalakkan (pencari kerja) melalui dan memilih kegiatan berkaitan mencari pekerjaan yang akan membantu mereka mendalami dan menguatkan kemahiran mencari kerja,” kata Pembantu Ketua Eksekutif, Pusat Perhubungan Kerjaya (Careers Connect Group), Cik Lynn Ng.
Setiap kegiatan mempunyai nilai satu hingga empat mata, dan sebanyak 10 mata boleh dikumpul setiap tempoh kegiatan, iaitu setiap bulan bagi program ini.
Pada bulan pertama, bayaran bulanan maksimum adalah $1,500, bulan kedua $1,250, manakala bulan ketiga $1,000. Bayaran maksimum pada bulan empat hingga enam adalah $750 setiap bulan.
Namun, jumlah tersebut bergantung kepada pendapatan bulanan purata pencari kerja tersebut.
Jika seseorang pencari kerja telah mempunyai pendapatan lebih rendah daripada bayaran bulanan skim untuk pencari kerja ini, beliau akan menerima bayaran yang sama dengan pendapatan bulanan mereka yang lalu.
Contoh-contoh kegiatan yang boleh dilakukan termasuk melakar kerjaya dengan kemudahan dalam talian CareersFinder, menghadiri sesi latihan kerjaya, membaca kandungan berkaitan dengan kerjaya, dan sebagainya.
“Sistem ini memberi kebebasan kepada pencari kerja memilih kegiatan mereka, dan mengiktiraf keproaktifan mereka,” kata Cik Ng lagi.
Pemohon yang ingin mendaftar harus sudah bekerja di Singapura selama sekurang-kurangnya enam bulan dalam tempoh 12 bulan yang lalu.
Sebagai pengecualian sekali sahaja, pemohon yang telah dibuang kerja pada ataupun selepas 1 April 2024 dan tidak bekerja lebih daripada enam bulan dalam 12 bulan yang lalu, masih boleh mendaftar jika kriteria yang lain dapat dipenuhi.
Skim ini hasil perbincangan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Pergerakan Buruh yang telah lama menggalakkan usaha seperti ini.
Skim ini dimulakan khususnya bagi individu yang telah dibuang kerja secara tidak dirancang, seperti penyusunan semula syarikat mereka ataupun pemberhentian kerja kerana sakit.
Individu yang layak menerima bantuan harus merupakan Warga Singapura atau Penduduk Tetap berusia 21 tahun dan ke atas daripada suku pertama 2026 dan berpendapatan bulanan purata $5,000 ke bawah dalam 12 bulan yang lalu selepas sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF).
Penduduk Tetap hanya boleh mendaftar mulai suku pertama 2026.
Warga Singapura yang ingin mendaftar boleh mengunjungi Go.gov.sg/jobseekersupport mulai 15 April.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg