Permohonan skim kemahiran kerja dipertingkat dibuka 9 Feb
Permohonan skim kemahiran kerja dipertingkat dibuka 9 Feb
Permohonan bagi Skim Bantuan Kemahiran Daya Kerja (WSS) yang dipertingkatkan akan dibuka pada 9 Februari, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) melalui kenyataan bersama pada 29 Januari.
Dinamakan WSS (Dipertingkat) atau WSS (Level Up), inisiatif baru ini dirancang untuk meningkatkan kemahiran pekerja bergaji rendah.
Pemohon yang layak boleh menerima elaun latihan yang lebih tinggi, sehingga $18,000 setahun untuk latihan sepenuh masa dan sehingga $3,600 setahun untuk latihan sambilan.
Jumlah ini lebih tiga kali ganda berbanding elaun semasa di bawah skim WSS (Asas).
Diumumkan buat pertama kali dalam Belanjawan 2025, WSS (Dipertingkat) menawarkan sokongan kewangan kepada pekerja yang layak agar mereka dapat menjalani latihan peningkatan dan penyesuaian kemahiran yang lebih menyeluruh dan berjangka panjang, seterusnya membuka peluang pekerjaan yang lebih baik.
Latihan jangka panjang merangkumi kursus Nitec, Nitec lanjutan, diploma, ijazah sarjana muda dan kursus Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture (SCTP).
Ia juga termasuk latihan sepenuh masa yang ditampung Kementerian Pendidikan (MOE), yang ditawarkan oleh institusi seni, sehingga peringkat ijazah sarjana muda.
Mereka yang memohon apabila permohonan dibuka pada 9 Februari akan dipertimbangkan untuk mengikuti latihan mulai 1 Mac.
Skim WSS (Dipertingkat) akan memberi manfaat kepada pekerja berpendapatan rendah berusia 30 tahun dan ke atas dengan gaji sehingga $3,000 sebulan.
Di bawah skim dipertingkat ini, pekerja berpendapatan rendah akan menerima elaun bulanan minimum sebanyak $300, atau sehingga 50 peratus daripada purata pendapatan 12 bulan terkini mereka, jika mendaftar untuk latihan sepenuh masa terpilih.
Pekerja berpendapatan rendah yang menghadiri latihan sepenuh masa berpotensi menerima elaun sehingga $18,000 dalam setahun.
Bagi mereka yang menjalani latihan sambilan akan menerima elaun bulanan tetap $300.
Golongan ini boleh menerima elaun sehingga $3,600 setahun.
Skim yang dipertingkat itu turut memberi manfaat kepada mereka yang ingin mengikuti beberapa pusingan latihan jangka panjang.
Skim ini akan menampung sehingga 24 bulan latihan jangka panjang yang dilakukan sebelum usia 40 tahun, dan 24 bulan lagi latihan jangka panjang selepas mencecah usia 40 tahun.
Di bawah skim WSS (Asas) yang masih wujud, pekerja berpendapatan rendah yang mengikuti latihan ringkas menerima elaun sebanyak $6 sejam, dengan jumlah maksimum $1,080 setahun.
Manfaat elaun tersebut dihadkan kepada 180 jam latihan setahun.
Menurut kenyataan MOM dan WSG sebelum ini pada Februari 2025, latihan sepenuh masa adalah untuk pekerja yang perlu mengambil cuti menghadiri latihan jangka panjang yang dijalankan semasa waktu kerja.
Latihan sambilan pula adalah untuk pekerja yang menghadiri latihan jangka panjang selepas waktu kerja.
Melalui laman web mySkillsFuture, pemohon skim tersebut boleh menghadiri latihan dalam bidang keselamatan makanan, sekuriti, serta penggunaan alat kecerdasan buatan (AI) dan analisis data, serta bidang-bidang lain.
Skim WSS (Dipertingkat) adalah sebahagian daripada inisiatif pemerintah untuk mendorong dan memastikan pekerja berpendapatan rendah sentiasa meningkatkan atau menyesuaikan kemahiran mereka.
Ia juga bertujuan untuk menyokong kenaikan gaji serta meningkatkan produktiviti.

