Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Permohonan tiket NDP 2024 dibuka 27 Mei melalui Singpass

May 24, 2024 | 5:03 PM
Rakyat Singapura dan penduduk tetap boleh membuat permohonan untuk perbarisan utama pada 9 Ogos atau salah satu daripada dua sesi pratonton NDP pada 27 Julai dan 3 Ogos.
Rakyat Singapura dan penduduk tetap boleh membuat permohonan untuk perbarisan utama pada 9 Ogos atau salah satu daripada dua sesi pratonton NDP pada 27 Julai dan 3 Ogos. - Foto ST

Orang ramai boleh memohon untuk mendapatkan tiket Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini serta sesi pratonton mulai tengah hari pada 27 Mei.

Buat julung-julung kalinya, pemohon perlu menggunakan Singpass – wadah identiti digital negara – sebagai langkah mencegah penipuan.

Rakyat Singapura dan penduduk tetap boleh membuat permohonan untuk menyaksikan perbarisan utama pada 9 Ogos atau salah satu daripada dua sesi pratonton NDP pada 27 Julai dan 3 Ogos yang mana semuanya akan diadakan di Padang, menurut jawatankuasa penganjur NDP pada 24 Mei.

Permohonan akan tutup pada tengah hari pada 10 Jun.

Padang dapat memuatkan kira-kira 27,000 penonton bagi perbarisan NDP dan setiap sesi pratonton.

NDP kali ini bertemakan ‘Bersama-sama, Sebagai Rakyat yang Bersatu Padu’ yang menonjolkan kekuatan kolektif rakyat Singapura dan menekankan kepentingan setiap warga turut bersatu untuk membentuk masa depan kita.

Sorotan NDP 2024 termasuk pasukan pertahanan Singapura, Pasukan Home Team dan kumpulan yang lain dalam menunjukkan respons terhadap gangguan yang dihadapi negara, dalam segmen Pertahanan Menyeluruh di kawasan Marina Bay dan Padang.

Penonton juga akan diberikan gelang LED yang akan menyinari kawasan tempat duduk dalam aneka rona.

Setiap pemohon boleh mendapatkan dua, empat atau enam tiket dan dibenarkan satu peluang undi, kata jawatankuasa penganjur.

Orang ramai boleh membuat permohonan menerusi laman web, www.ndp.gov.sg.

Mereka yang tidak mempunyai Singpass dinasihatkan supaya mendaftar, meminta seseorang yang dipercayai membuat permohonan tiket bagi pihaknya atau kunjungi pusat perkhidmatan ServiceSG untuk mendapatkan bantuan secara peribadi.

Langkah itu hanya satu-satunya cara untuk memohon tiket, kata pihak jawatankuasa sambil mengingatkan orang ramai agar tidak memberi maklumat melalui pautan yang tidak disahkan untuk mengelak ditipu.

Pemohon yang berjaya hanya akan dimaklumkan daripada alamat e-mel ndp2024@klook.com.

“Penerima sebarang pemberitahuan mengenai NDP 2024 harus berhati-hati terhadap e-mel yang dihantar daripada alamat lain kerana ia mungkin berbentuk penipuan atau percubaan untuk memancing data,” jelas jawatankuasa itu.

Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan dari 21 Jun hingga 25 Jun.

Tiket tidak diperuntukkan berdasarkan ‘yang dahulu, didahulukan’, kata jawatankuasa itu sambil menambah bahawa setiap tiket hanya diperuntukkan untuk seorang penonton.

Tiket sama sekali bukan untuk dijual dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang cuba berbuat demikian.

Penonton tidak lama lagi boleh membida tiket secara berasingan untuk menonton acara NDP dari Promontory @ Marina Bay kolaborasi bersama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Butiran lanjut akan diumumkan oleh pihak penganjur tidak lama lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg