Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perniagaan perlu perluas rangkaian supaya kukuh hadapi ketidaktentuan

Presiden Tharman: Sistem peraturan ekonomi global kini semakin lemah, sukar diramal, dijangka menjadi norma baru
Dec 3, 2025 | 5:07 PM
Presiden, Tharman, perniagaan
Presiden Tharman Shanmugaratnam berucap semasa Forum Perniagaan Mexico-Singapura yang diadakan di Hotel JW Marriott, Mexico City pada 2 Disember. - Foto ST

MEXICO CITY: Dengan sistem peraturan ekonomi global semakin lemah dan sukar diramal – keadaan yang dijangka menjadi norma baru - perniagaan perlu mempelbagaikan aktiviti dan membina rangkaian luas untuk kekal berdaya tahan dalam keadaan tidak menentu, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Ini antara sebab Singapura sedang membangunkan aturan serantau baru bagi memastikan aliran barangan, teknologi dan pelaburan lebih bebas, katanya semasa Forum Perniagaan Mexico-Singapura pada 2 Disember (waktu Mexico) sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi empat hari beliau ke negara tersebut.

Presiden Tharman mengetengahkan Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) – di mana Singapura dan Mexico merupakan antara 12 anggotanya – serta bagaimana Singapura sedang meneroka kerjasama lanjut dengan rangkaian serantau lain seperti Kesatuan Eropah (EU).

Dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Singapura dan Mexico pada 2025, beliau berkata persahabatan dan matlamat bersama kededua negara bermula lama sebelum hubungan rasmi ini terjalin.

“Ia sebenarnya bermula sejak era Manila Galleon sekitar 500 tahun lalu, kapal dagang yang membawa perak dari Mexico ke Asia, dan sebagai balasan menerima sutera serta rempah,” katanya semasa acara di Hotel JW Marriott, Mexico City.

“Ia merupakan perdagangan rentas Pasifik besar yang pertama.”

Laluan perdagangan Sepanyol, dari 1565 hingga 1815, telah menghubungkan Filipina dengan Mexico, dengan kapal dagang membuat satu atau dua perjalanan setiap tahun merentasi Lautan Pasifik.

Syiling perak Mexico banyak diedarkan di seluruh Asia pada 1800-an, dan digunakan secara meluas di Tanah Melayu British dan Singapura.

Ia juga merupakan mata wang yang digunakan oleh Sir Stamford Raffles untuk membayar sultan tempatan ketika beliau pertama kali membangunkan Singapura sebagai pusat perdagangan pada 1819, katanya.

Dalam banyak aspek, Perjanjian Perdagangan Bebas Perikatan Pasifik-Singapura (PASFTA), akan membuka laluan laut baru yang lebih luas, menghubungkan Asia Tenggara dan Amerika Latin secara lebih terbuka berbanding sebelum ini, tambah beliau.

PASFTA yang ditandatangani pada 2022, menghubungkan Singapura dengan blok perdagangan Amerika Latin yang terdiri daripada empat negara iaitu Mexico, Chile, Colombia dan Peru, lapor The Straits Times (ST).

Setakat ini, perjanjian itu telah diluluskan dalam parlimen Singapura, Peru dan Chile, manakala Mexico dan Colombia masih dalam proses berbuat demikian.

“Apabila kita menghubungkan kedua-dua rantau ini, peluang perniagaan akan menjadi lebih besar – merangkumi peluang dalam sektor makanan, pembinaan rantaian bekalan perkilangan baru dan berdaya tahan, peralihan kepada ekonomi rendah karbon, serta penerapan kecerdasan buatan (AI) dan peningkatan produktiviti dalam hampir setiap sektor ekonomi,” kata Presiden Tharman.

Singapura dan Mexico bertindak sebagai pemangkin dalam usaha ini, tambah beliau, dengan syarikat-syarikat tempatan kini meneroka peluang perniagaan baru di Mexico dalam sektor seperti perkilangan lanjut, ujian klinikal, pelabuhan dan prasarana, serta tenaga.

Begitu juga, syarikat Mexico melihat Singapura sebagai pangkalan berasaskan peraturan serta boleh dipercayai untuk menembusi pasaran Asean yang pesat berkembang.

Pasaran tersebut mempunyai Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) gabungan bernilai AS$3.6 trilion ($4.7 trilion) serta lebih 650 juta pengguna, tambah Tuan Presiden.

Turut bersama Presiden Tharman dalam lawatan negara itu ialah delegasi perniagaan yang diketuai Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan Persekutuan Perkilangan Singapura (SMF).

Lawatan Presiden Tharman ke Mexico dijangka berakhir pada 3 Disember.

Pada forum tersebut, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, mengambil bahagian dalam satu sesi perbincangan, yang dihadiri sekitar 250 peserta.

Menjawab soalan mengenai bagaimana Singapura menyesuaikan diri dengan landskap global yang berubah-ubah, Encik Tan berkata Singapura berusaha menjadi lebih inovatif dan melangkaui perjanjian perdagangan bebas tradisional.

Beliau memetik perjanjian ekonomi hijau yang dimeterai dengan negara seperti Australia, serta perjanjian ekonomi digital yang ditandatangani dengan negara seperti Chile, New Zealand dan Korea Selatan.

Syarikat-syarikat Singapura dalam delegasi perniagaan itu juga melihat potensi besar di Mexico, memandangkan negara tersebut mempunyai kelebihan daya saing yang unik, dengan akses ke benua Amerika dan kini juga ke Asia melalui CPTPP, tambah Encik Tan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg