Selain serangan fizikal, ancaman terbesar buat Singapura adalah kerosakan fabrik sosialnya kerana masyarakat yang berpecah belah menjadi lebih lemah, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.
Pertahanan terkuat Singapura terletak pada perpaduan dan keupayaannya, kata Encik Chan ketika berucap kepada 500 pelajar politeknik semasa dialog pada 30 September, sebagai sebahagian daripada acara meraikan ulang tahun Pertahanan Mutlak ke-40.
“Jika anda membaca sejarah banyak negara yang telah jatuh, kemungkinan sebahagian besar daripada mereka jatuh sebelum tembakan pertama dilepaskan,” kata Encik Chan.
“Mereka jatuh kerana negara mereka berpecah dan mereka mula menyerang sesama sendiri,” tambah beliau.
Selain perpaduan dalaman, “keupayaan sebenar” juga diperlukan untuk melindungi Singapura daripada gangguan akan datang, contohnya, dalam pengendalian sistem pengangkutan negara atau dalam keselamatan rangkaian komputer, katanya.
Dialog tersebut adalah sebahagian daripada Forum Politeknik 2024, dengan Encik Chan meminta para pelajar mengemukakan contoh cara Singapura boleh diserang.
Antara cara yang disenaraikan pelajar termasuk mengganggu rantaian bekalan dan memusnahkan infrastruktur.
Sebagai jawapan, Encik Chan berkata bahawa daya tahan dan mengekalkan perpaduan amat penting dalam sesebuah masyarakat.
“Jika kita tidak bersatu, serangan paling kecil, insiden MRT paling kecil atau bom meledak, sudah boleh memecahbelahkan kita,” katanya.
Kesemua enam tunjang Pertahanan Mutlak kembali kepada teras untuk mengekalkan perpaduan dan melabur dalam keupayaan, kata Encik Chan, sambil menambah bahawa kesemuanya memainkan peranan penting dalam melindungi Singapura.
Konsep Pertahanan Mutlak Singapura dilancarkan pada 22 Januari 1984 sebagai cara pertahanan negara untuk menyatupadukan rakyat Singapura sekiranya berlaku ancaman ketenteraan, serta membina semangat rakyat Singapura untuk membela negara mereka.
Lima tunjang asal Pertahanan Mutlak ialah Pertahanan Ketenteraan, Pertahanan Awam, Pertahanan Ekonomi, Pertahanan Sosial dan Pertahanan Psikologi. Tunjang keenam, Pertahanan Digital baru, dimasukkan pada 2019.
“Akan ada cabaran,” kata Encik Chan.
“Tetapi jika kita kekalkan perpaduan dan terus melabur dalam keupayaan kita, tiada cabaran yang boleh memusnahkan kita,” jelasnya.
Forum yang dianjurkan di Politeknik Nanyang itu bermula pada 25 September dan akan berlangsung sehingga 2 Oktober. Ia menampilkan aktiviti ‘hands-on’, perbincangan panel, dan perjalanan pembelajaran untuk para pelajar politeknik.
Ia juga merupakan acara tahunan untuk pelajar politeknik membincangkan isu penting.
Semasa dialog itu, pelajar mengemukakan soalan dari pelbagai topik, termasuk ketegangan geopolitik, tekanan peperiksaan, kebimbangan tentang mendapatkan tempat di universiti serta kerjaya masa depan.
Mencabar pelajar untuk menilai semula definisi kejayaan buat diri mereka, Encik Chan berkata:
“Anda mungkin akan mendapati diri anda agak sengsara pada kebanyakan masa, terutama jika segala-galanya tentang anda dinilai menerusi perbandingan dengan orang lain.”
Sebaliknya, kejayaan perlu dinilai pada sumbangan kolektif untuk menggalakkan pelajar mencari keunikan diri mereka sendiri, kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg