Topik diikuti
Pergi ke BHkuPersahabatan dua pegawai tentera cermin ikatan pertahanan 50 tahun S’pura-Brunei
Mejar (MAJ) Mahmud Afif Mohd Kifli daripada Tentera Darat Diraja Brunei dan Leftenan Kolonel (LTC) Shahreel Adam (kanan) daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah menjalin persahabatan erat sejak mengikuti kursus ketenteraan bersama pada 2023
Persahabatan dua pegawai tentera cermin ikatan pertahanan 50 tahun S’pura-Brunei
Hubungan yang bermula dengan perkenalan sebagai rakan sekursus, persahabatan antara dua pegawai tentera Singapura dan Brunei Darussalam kini telah berkembang menjadi ikatan kukuh yang merentasi sempadan negara dan melangkaui batas tugas ketenteraan.
Persahabatan antara Leftenan Kolonel (LTC) Shahreel Adam dari Tentera Singapura dan Mejar (MAJ) Mahmud Afif Mohd Kifli dari Tentera Darat Diraja Brunei (RBLF), kedua-duanya berusia 37 tahun, mula akrab ketika mengikuti kursus ketenteraan pada 2023 di mana mereka disatukan oleh cabaran bersama serta minat terhadap bola sepak dan makanan.
Meskipun tiga tahun telah berlaku dan mereka kini berkhidmat di negara masing-masing, ikatan persahabatan mereka terus utuh apabila kedua-duanya kerap berhubung dan tidak melepaskan peluang untuk bertemu setiap kali tugas membawa mereka ke Singapura atau Brunei.
Persahabatan mereka mencerminkan hubungan pertahanan erat antara Singapura dengan Brunei Darussalam yang kini menjangkau usia 50 tahun.
Hubungan tersebut diraikan menerusi Perbarisan Bersama di Pangkalan Tentera Laut Muara, Brunei Darussalam, pada 10 Oktober, yang dihadiri Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Perbarisan sempena ulang tahun ke-50 hubungan pertahanan itu menghimpunkan 256 anggota serta aset ketenteraan daripada cabang darat, laut dan udara kedua-dua negara, termasuk perarakan kapal tentera laut dan penerbangan lintas helikopter.
Mengimbas pertemuan pertama mereka pada 2023, LTC Shahreel menyifatkan MAJ Afif sebagai seorang yang peramah, mudah mesra dan bersemangat untuk mengenali kehidupan di Singapura.
MAJ Afif pula mengingati LTC Shahreel sebagai seorang pegawai yang profesional, ramah dan sentiasa menghormati orang di sekelilingnya.
Bukan satu peristiwa besar yang mengukuhkan persahabatan tersebut, sebaliknya detik-detik kecil yang dikongsi secara berterusan, mereka menambah.
“Persahabatan kami berkembang secara semula jadi menerusi interaksi yang kerap sepanjang kursus.
“Detik-detik kecil yang berulang itulah yang mengubah hubungan kami daripada sekadar rakan sekursus kepada sahabat,” kata mereka dalam respons bertulis kepada Berita Harian (BH).
Bagi pasangan sahabat itu, hubungan tersebut juga menyerlahkan persamaan antara Singapura dan Brunei sebagai dua negara kecil yang berkongsi hasrat untuk memainkan peranan bermakna dalam keselamatan serantau.
“Apa yang paling kami hargai ialah persamaan antara kedua-dua negara. Walaupun Singapura dan Brunei merupakan negara yang agak kecil, kami berkongsi cita-cita untuk mencapai kejayaan melangkaui keterbatasan saiz negara dan menyumbang secara bermakna kepada keselamatan serantau.
“Melalui interaksi kami, kami turut menyedari betapa banyak yang boleh dipelajari daripada satu sama lain, serta bagaimana hubungan erat ini menjadikan kami lebih kukuh apabila bekerjasama,” kata mereka.
Seiring dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan pertahanan kedua-dua negara, LTC Shahreel dan MAJ Afif berharap persahabatan yang terjalin antara anggota tentera Singapura dan Brunei akan terus diwarisi generasi akan datang.
“Kami berharap dalam tempoh 50 tahun akan datang, generasi anggota SAF dan Tentera Darat Diraja Brunei akan terus berlatih, belajar dan membina persahabatan bersama di Singapura dan Brunei.
“Kami berharap tradisi ini dapat diteruskan supaya generasi akan datang bukan sahaja mewarisi hubungan pertahanan yang kukuh, malah persahabatan dan pengalaman bersama yang menjadi asas kepada hubungan tersebut,” kata mereka.
Dalam satu kenyataan pada 10 Oktober, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata sambutan Jubli Emas itu menjadi mercu tanda penting dalam hubungan pertahanan kedua-dua negara yang terjalin secara rasmi sejak 1976.
“Ulang tahun ini memberi peluang untuk meraikan lima dekad persahabatan dan kerjasama erat antara institusi pertahanan kedua-dua negara, di samping memperkukuh asas hubungan yang telah dibina demi generasi akan datang.
“Sepanjang tahun sambutan ini, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah dan akan terus mengadakan pelbagai kegiatan, termasuk meneroka inisiatif baharu yang mencerminkan keluasan, kedalaman dan manfaat bersama daripada kerjasama pertahanan dua hala,” menurut kenyataan itu.
Mindef menambah, usaha tersebut bertujuan memastikan hubungan pertahanan Singapura-Brunei kekal kukuh, bermakna dan relevan untuk generasi akan datang.
Acara lain bagi memperingati ulang tahun hubungan pertahanan itu termasuk majlis makan malam pada Januari 2026, sesi dialog dasar pada Februari 2026 dan latihan dua hala sepanjang tahun.
Sambutan itu bakal melabuhkan tirainya dengan Majlis Makan Malam Penutup Peringatan Ulang Tahun ke-50 di Singapura pada 21 November 2026, yang dianjurkan pihak Brunei Darussalam.