Topik diikuti
Pergi ke BHkuSM Lee temu Putera Brunei, ucap tahniah atas pelantikan baharu
SM Lee temu Putera Brunei, ucap tahniah atas pelantikan baharu
Turut temu menteri Brunei lain, teroka cara perkukuh kerjasama dua hala
SM Lee temu Putera Brunei, ucap tahniah atas pelantikan baharu
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, menghadiri jamuan teh bersama dua putera Brunei, Pengiran Muda Abdul Malik, dan Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Mateen pada 16 Julai.
Dalam pertemuan itu, beliau turut melahirkan ucapan tahniah kepada Pengiran Muda Abdul Malik dan Putera Mateen, atas pelantikan mereka sebagai Menteri dalam kepimpinan kerajaan Brunei Darussalam.
Dalam hantaran Facebooknya, Encik Lee berkata beliau turut mendoakan kejayaan mereka berdua dalam memikul tanggungjawab baharu itu.
Putera Mateen, 34 tahun, dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Brunei, manakala Pengiran Muda Abdul Malik, 43 tahun, pula dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Encik Lee sedang mengadakan lawatan ke Brunei Darussalam dari 14 hingga 17 Julai sebagai wakil pemerintah Singapura ke sambutan ulang tahun ke-80 Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Encik Lee diiringi isterinya, Cik Ho Ching, serta Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming.
Pada 15 Julai, Encik Lee turut menghadiri perbarisan kawalan kehormatan diraja dan istiadat penganugerahan sebagai sebahagian daripada sambutan rasmi ulang tahun Sultan Hassanal Bolkiah.
Pada malam hari, beliau bertemu beberapa menteri Brunei pada majlis makan malam, di mana mereka saling bertukar pandangan tentang pelbagai topik.
Mereka turut meneroka cara memperkukuh lagi kerjasama dua hala merentasi pelbagai bidang termasuk tenaga dan keselamatan makanan, daya tahan rantaian bekalan dan pertukaran antara rakyat dengan rakyat.
Dalam hantaran di Facebook, Encik Lee berkata sebagai dua ekonomi Asean yang kecil dan terbuka, kedua-dua negara mempunyai peluang luas untuk memperkukuh kerjasama demi manfaat bersama.
“Banyak syarikat Singapura beroperasi di Brunei dalam pelbagai sektor, manakala syarikat Brunei turut melabur di Singapura.
“Kedua-dua negara mempunyai hubungan yang erat serta banyak peluang untuk memperdalam kerjasama dalam bidang berkepentingan bersama demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menjamin masa depan yang lebih baik,” ujar beliau.
Semasa di Brunei, Encik Lee turut bertemu anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang sedang menjalani latihan di sana, selain meninjau ladang akuakultur, Barramundi Group.
