Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Persatuan Air S’pura lancar kursus baru tangani kenaikan paras laut

Oct 2, 2025 | 2:25 PM
Persatuan Air Singapura, SWA
Untuk mengisi kekosongan tenaga pakar dalam perlindungan pantai, Persatuan Air Singapura (SWA) melancarkan kursus untuk meningkatkan jumlah pakar dan memperkukuh pengetahuan dalam melindungi pantai serta menguruskan banjir. - Foto ZAOBAO

Pesisir pantai Singapura dijangka akan menjadi sibuk dengan kegiatan pada beberapa dekad akan datang, kerana tembok laut, halangan pantai dan bakau akan digunakan untuk mempertahankan pulau ini daripada kenaikan paras laut.

Untuk mengisi kekosongan tenaga pakar dalam sektor perlindungan pantai, Persatuan Air Singapura (SWA) melancarkan kursus bagi meningkatkan bilangan karyawan dan memperkukuh pengetahuan dalam melindungi garis pantai serta menguruskan banjir.

Dua modul pertama akan diadakan pada 2 dan 3 Oktober, sementara enam modul lain akan diadakan setiap suku tahun, sehingga separuh kedua 2026, lapor The Straits Times (ST).

Modul tersebut akan merangkumi proses pesisir pantai, pemodelan banjir, biodiversiti marin dan ekologi, pembinaan, serta penglibatan masyarakat, antara lain.

SWA adalah sebuah organisasi berusia 21 tahun yang mewakili industri air Singapura. Cawangan perlindungan pantainya ditubuhkan pada 2024.

Dengan hanya menjangkakan 25 orang yang akan mendaftar untuk kelas induk ini, pengarah urusan SWA, Encik Michael Toh, teruja melihat hampir 40 peserta hadir. 

Kebanyakan peserta adalah jurutera yang mungkin ingin menumpukan kepakaran dalam perlindungan pesisir, dengan beberapa penjawat awam daripada agensi pemerintah.

Kelas induk itu sesuai untuk mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman bekerja dalam bidang kejuruteraan.

Ketua latihan dan pendidikan untuk cawangan perlindungan pantai SWA, Encik Yang Zi Qian, berkata:

“Bidang ini sangat khusus, dan kepakaran dalam kalangan tenaga kerja di Singapura masih terhad.

“Secara global, perlindungan pesisir masih dianggap sebagai bidang yang khusus.”

Encik Yang, yang juga pengarah urusan Delta Marine Consultants Singapore, menekankan bahawa di peringkat global, beberapa negara seperti Belanda yang tanahnya rendah dan Jepun yang terdedah kepada tsunami, mempunyai pengetahuan maju dalam melindungi garis pantai mereka.

Beliau menyatakan Singapura memiliki tenaga kerja kejuruteraan awam yang matang di Asia Tenggara dan memberi kelebihan untuk jurutera beralih ke pertahanan pesisir.

Singapura tidak asing dalam membina prasarana tepi pantai dan melindungi garis pantai daripada hakisan, dengan 70 hingga 80 peratus garis pantai negara ini dilindungi oleh tembok laut dan empangan batu.

Namun, memahami kerumitan di sebalik kenaikan paras laut dan bagaimana ia akan menjejaskan harta pantai adalah cabaran yang berbeza, tambah Encik Yang.

Menjelang 2100, paras laut purata sekitar Singapura boleh meningkat sehingga 1.15 meter.

Ribut dan air pasang boleh menambah kenaikan sebanyak 3 hingga 4 meter dan menyebabkan banjir pesisir jika pantai tidak dilindungi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg