Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pupuk ‘Semangat S’pura’ melalui kegiatan gotong-royong bersihkan pantai

PM Wong puji sukarelawan himpun masyarakat, jalin kebersamaan, sedari kepentingan pelihara alam sekitar
Aug 18, 2025 | 5:10 PM
Yasser Amin, NDR, pelihara alam sekitar
Aktivis kelestarian alam sekitar, Encik Yasser Amin, merupakan contoh belia teladan dalam bidang kemasyarakatan, yang disebut Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos, di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio. - Foto oleh SHAFIQ APANDI

Melihat timbunan sampah yang mencemari keindahan alam semesta mendorong Encik Yasser Amin untuk mula menjadi sukarelawan memungut sampah di Pantai East Coast pada 2020.

Beliau berusaha menganjurkan sesi pembersihan pantainya sendiri, bahkan berjaya mengajak lebih ramai individu untuk menyertai usaha murni itu.

Dalam Rapat Hari Kebangsaan 2025 di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 17 Ogos, Encik Yasser, 29 tahun, adalah antara individu yang namanya disebut Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sebagai mengusahakan inisiatif yang dapat menyemai ‘Semangat Singapura’.

Encik Wong menggalak warga Singapura agar mencontohi individu seperti Encik Yasser dan melahirkan pengiktirafannya terhadap usaha murninya itu.

“Apabila kita sama-sama memainkan peranan, kita memperkukuh ikatan antara kita dan memastikan semangat Singapura terus segar,” katanya.

Usaha Encik Yasser menganjurkan sesi membersihkan pantai bermula pada Julai 2020.

Ini selepas rakannya, Cik Samantha Thian, mewujudkan kumpulan sembang dan dokumen Google untuk mengatur jadual sekumpulan sukarelawan.

Sekitar 10 hingga 20 individu mendaftar dan hadir setiap pagi Rabu dalam tempoh Pemutus Rantaian Jangkitan Covid-19 ketika itu.

Encik Yasser berkongsi dengan Berita Harian (BH) bahawa beliau terkejut dan dirundung kebimbangan apabila melihat timbunan sampah yang banyak di depan matanya.

Ia menggerakkan hatinya yang sebelum ini tidak peka dengan timbunan sampah merata walaupun pantai di negara ini dibersihkan secara tetap.

Beliau berharap lebih ramai rakyat Singapura akan menyertai usaha menjaga keindahan pantai.

“Asalkan ada orang yang turut serta bersama saya, dan pantai menjadi bersih selepas sampah dibersihkan, saya berpuas hati,” ujarnya.

Antara 2020 dengan 2022, Encik Yasser menjadi salah seorang penyelaras bersama bagi Gerakan Pantai East Coast atau #EastCoastBeachPlan.

Selepas itu, beliau menggalas peranan sepenuh masa sebagai Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Stridy, sebuah pertubuhan tidak mengaut untung, yang berpangkalan di Singapura dan memberi tumpuan pada kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

Stridy menganjurkan sesi pembersihan ruang tertentu di kawasan kejiranan, bekerjasama dengan sekolah serta mengadakan sesi pembersihan pada hujung minggu untuk disertai masyarakat.

Menurut Encik Yasser, antara pepatah yang menjadi sandaran ialah “tak kenal maka tak cinta”.

Baginya, demi menyayangi sesuatu, kita perlu mengenalinya terlebih dahulu.

“Tugas saya adalah membawa orang ramai keluar dari rumah dan melihat sendiri, agar mereka mengenali isu kebersihan ini secara langsung.

“Sebab itulah saya suka frasa ‘tak kenal maka tak cinta’, kerana anda mesti memahami isu alam sekitar dengan turun padang dahulu sebelum anda benar-benar mencintai alam sekitar,” tambahnya.

Setiap kali sesi pembersihan dianjurkan, Encik Yasser mendengar daripada sukarelawan sendiri betapa mereka seronok membantu serta tidak menyedari sebelum ini, sejauh manakah tahap pencemaran sampah di pantai.

“Di Stridy, apabila kami mengadakan sesi pembersihan kejiranan di sekitar Singapura, orang ramai sering terkejut apabila berjaya mengumpul lima hingga 10 beg sampah setiap kali mereka jayakan sesi itu.

“Mereka yang menyertai kami sentiasa mempelajari sesuatu yang baru mengenai kesan pembuangan sampah terhadap alam sekitar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Encik Yasser turut berkongsi bahawa kebanyakan rakan yang beliau kenali adalah melalui penyertaan dalam kegiatan pembersihan pantai, dan persahabatan itu amat penting baginya.

“Rasa kebersamaan sangat penting buat saya. Setiap kali saya berasa hilang semangat, rakan sukarelawan yang membuatkan usaha ini berbaloi.

“Mereka memahami saya serta berkongsi tujuan dan misi yang sama dalam melindungi alam sekitar.

“Walaupun sampah sentiasa kembali, kami tetap meneruskan usaha ini kerana orang sekeliling memberi kekuatan.

“Apabila saya melihat sesuatu kawasan menjadi bersih dan seseorang mendapat ilmu baru, saya rasa kerja saya lebih berbaloi.

“Di Stridy, kami sentiasa berusaha menangani isu alam sekitar ini sebaik mungkin.

“Kami telah memasang papan tanda di kawasan masyarakat, termasuk di Fernvale dan Bedok, dengan harapan dapat mendidik orang ramai tentang misi kami,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg