Persatuan Belia Bedok lancar pelbagai daya usaha, sasar kumpul dana Ramadan $300,000

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Persatuan Belia Bedok lancar pelbagai daya usaha, sasar kumpul dana Ramadan $300,000

Feb 20, 2026 | 5:30 AM

Persatuan Belia Bedok lancar pelbagai daya usaha, sasar kumpul dana Ramadan $300,000

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
bysd, ramadan, orang kurang upaya
Menghimpunkan masyarakat dalam semangat Ramadan sempena acara berbuka puasa pada 2025 bersama ahli Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD). - Foto PERSATUAN BELIA BEDOK UNTUK INSAN KURANG UPAYA (BYSD)

Menjelang bulan suci Ramadan, setiap insan, sama ada yang berupaya atau kurang upaya, bersiap menyambutnya dengan penuh harapan.

Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD) turut mengatur pelbagai daya usaha pengumpulan dana bagi memastikan usaha kebajikan mereka dapat diteruskan.

Bersempena Ramadan ini, BYSD akan mengadakan beberapa kegiatan mengumpul dana.

Kegiatan tersebut termasuk menyediakan biskut Raya, acara iftar atay berbuka puasa, jualan snek amal dan pungutan zakat.

Pengurus Pembangunan Perniagaan BYSD, Cik Shiffa Khumaira Abdul Khaliq, berkata:

“Untuk Ramadan tahun ini (2026), kami telah atur dan senaraikan kegiatan dalam usaha mengumpul dana untuk membantu mereka yang kurang upaya. Sasaran kami meraih $300,000 untuk dana Ramadan BYSD.”

Salah satu kegiatan ialah membuat biskut Raya di IncuBaker Studio pada 14 Mac.

Acara yang akan bermula dari 10 pagi hingga 2 petang itu melibatkan 10 murid daripada Lil Changemakers, yang berusia dari empat tahun hingga 12 tahun selain 10 orang kurang upaya daripada BYSD.

Mereka akan bekerjasama membakar biskut Raya untuk diisi ke dalam 100 botol kuih.

Botol berisi biskut Raya itu akan diagihkan kepada golongan penerima bantuan pada acara iftar, yang akan berlangsung pada 15 Mac 2026.

Acara iftar BYSD pada 2026 bakal diadakan di Rasa Bagus Punggol, yang terletak di 654A, Punggol Drive #01-07. Majlis akan bermula dari 7 malam hingga 10 malam.

Seramai 80 tetamu pelbagai kaum daripada BYSD termasuk ahli kurang upaya, pengasuh mereka, sukarelawan dan kakitangan BYSD akan hadir pada acara tertutup itu.

Habuan Raya dan 100 botol biskut Raya akan diagihkan kepada golongan kurang upaya.

Bagi memudahkan perjalanan mereka yang berkerusi roda ke acara iftar istimewa itu, pengangkutan khas mesra kerusi roda untuk perjalanan dua hala turut disediakan.

Satu lagi daya usaha pengumpulan dana BYSD ialah jualan amal snek dan sampul duit Raya.

Antara pilihan snek yang ditawarkan termasuk kuih kapit (coklat atau mentega kacang), kuih suji dan popia mini.

Pembelian boleh dibuat di pejabat BYSD di 10 Chai Chee Road, #01-05, atau melalui penghantaran ke rumah dengan bayaran $10.

Hasil jualan akan disalurkan bagi membiayai program BYSD untuk golongan orang kurang upaya.

Selain itu, BYSD turut menerima zakat harta bagi menyokong empat golongan asnaf: fisabilillah, fakir, miskin dan amil.

Golongan fisabilillah termasuk orang kurang upaya, dengan sumbangan zakat membantu menyediakan bantuan kewangan serta memudahkan akses kepada pendidikan dan keperluan lain.

Golongan fakir dan miskin juga menerima manfaat melalui sokongan kewangan dan penyediaan keperluan asas bagi meringankan beban hidup mereka.

Sebahagian zakat turut diperuntukkan kepada amil yang mengurus pengumpulan dan pengagihan zakat secara teratur dan beramanah.

Bagi anda yang ingin menyokong melalui derma dan zakat, sila layari: https://www.bysd.sg/donation

SEKILAS:

* Untuk pertanyaan, sila hubungi BYSD di talian 6416-1421 atau WhatsApp ke talian 9757-7950.

* Kunjungi pejabat BYSD di Blok 10, Chai Chee Road, #01-05, Singapura 467010. Waktu operasi dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang; Sabtu, 9 pagi hingga 12.30 tengah hari. Lungsuri laman https://www.bysd.sg/ untuk perincian selanjutnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg