Topik diikuti
Pergi ke BHkuPersatuan Guaman akan keluarkan laporan siasatan selepas proses suntingan
Persatuan Guaman Singapura (LawSoc) memberitahu ahli-ahlinya pada 20 Ogos bahawa ia akan mengeluarkan laporan jawatankuasa audit, yang telah menyiasat aduan tempat kerja dan isu tadbir urus dalam organisasi itu.
Namun, ia hanya akan dilakukan selepas satu proses dijalankan untuk menyunting maklumat berkaitan pihak yang ditemuduga, kata LawSoc dalam satu e-mel kepada ahli-ahlinya.
Keputusan itu dibuat selepas kira-kira 200 ahli LawSoc mengadakan satu dialog pintu tertutup selama empat jam pada 13 Ogos, di mana peguam-peguam menyeru supaya laporan dan bahan siasatan berkaitan didedahkan.
Pada 14 Ogos, Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, telah menyeru supaya laporan berkaitan disediakan kepada para ahli dengan penyuntingan yang sewajarnya bagi melindungi pihak yang ditemuduga.
Pada hari yang sama, presiden LawSoc, Encik Tan Cheng Han, berkata di halaman LinkedIn beliau bahawa beliau telah menjelaskan perkara itu pada sesi tersebut. Majlis perlu menghormati janji kerahsiaan yang dibuat kepada pihak yang ditemuduga, dan ramai daripada mereka merupakan bekas kakitangan LawSoc.
Siasatan itu bermula daripada satu e-mel tanpa nama yang dihantar kepada Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 13 September 2025.
Ia mengandungi dakwaan dan aduan terhadap individu dan amalan tertentu dalam LawSoc, kata Encik Tong dalam satu jawapan parlimen bertulis pada 5 Ogos.
Beliau menambah dakwaan tersebut berkaitan tingkah laku tidak wajar di tempat kerja, kelemahan dalam tadbir urus dan pengawasan, kekurangan dalam pengendalian aduan dan proses pemberi maklumat, serta kelemahan dalam kawalan dalaman terhadap amalan pentadbiran dan kewangan tertentu.
Menurut e-mel LawSoc kepada ahli-ahlinya, majlis itu mengadakan satu mesyuarat pada 18 Ogos susulan sesi dialog pada 13 Ogos.
E-mel itu menegaskan semula bahawa temuduga tersebut dijalankan dengan syarat jawapan yang diberikan adalah sulit dan hanya untuk tujuan siasatan.
Majlis itu berkata ia telah membincangkan cara terbaik untuk mematuhi jaminan kerahsiaan sambil memenuhi hasrat para ahli untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.
E-mel itu menyatakan majlis berhasrat, menjelang 24 Ogos, untuk menulis kepada semua pihak yang ditemuduga untuk memberikan mereka hak untuk menyunting nama mereka daripada laporan dan transkrip temuduga, serta menyunting sebahagian atau keseluruhan transkrip temuduga mereka.
Pihak yang ditemuduga akan diminta memberikan respons mereka menjelang 7 September.
Mereka akan dimaklumkan bahawa sekiranya mereka tidak membalas menjelang tarikh tersebut, kenyataan mereka tidak akan didedahkan kerana mereka tidak melepaskan hak kerahsiaan yang dijanjikan kepada mereka, kata e-mel itu.
Hak untuk membalas
Dalam kes di mana dakwaan telah dibuat terhadap individu tertentu, individu tersebut akan diberikan hak untuk membalas menjelang 21 September atau 14 hari selepas transkrip relevan yang disunting dihantar kepada mereka.
E-mel itu menyatakan majlis berhasrat untuk mengeluarkan laporan itu secepat mungkin selepas proses tersebut selesai.
Encik Tong telah berkata dalam jawapan parlimennya bahawa siasatan mengenai aduan amalan tempat kerja di LawSoc telah mengenal pasti kegagalan ketara dalam kepimpinan, budaya dan tadbir urus dari 2022 hingga 2025.
Beliau berkata kegagalan itu tidak sepatutnya wujud dalam institusi seperti LawSoc, kerana ia menjejaskan keyakinan dalam organisasi tersebut, memberi kesan kepada kesejahteraan kakitangannya, dan berisiko menghakis kepercayaan yang diberikan oleh kerjaya perundangan serta orang ramai kepadanya.

