Persatuan Guaman minta Lim Tean digugur sebagai peguam
Lim masukkan cek $30,000 ke dalam akaun bank firmanya meskipun klien telah tamatkan perkhidmatan
Persatuan Guaman Singapura, pada 23 Januari memohon agar peguam dan ahli politik, Lim Tean, digugurkan daripada senarai peguam.
Lim telah memasukkan cek $30,000 daripada AXA Insurance ke dalam akaun bank firmanya, Carson Law Chambers, pada 15 November 2019, meskipun kliennya telah menamatkan perkhidmatannya dua hari sebelum itu.
Jumlah itu adalah bayaran interim daripada penyelesaian sebanyak $50,000 yang dimenangi kliennya, Encik Suresh Kumar A. Jesupal, berikutan tuntutan kemalangan jalan raya.
Lim, peguam berpengalaman lebih 30 tahun, di hadapan Mahkamah Tiga Hakim, berhujah bahawa dia sepatutnya hanya dikenakan “denda sangat kecil dan tidak lebih daripada itu”.
Lim mempertahankan tindakannya dengan menyatakan dia menyerahkan wang tunai itu kepada Encik Suresh dan pemiutangnya, mengikut kehendak klien, dan kedua-dua pihak telah menandatangani pengakuan penerimaan.
Mahkamah, yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Sundaresh Menon, bersama Hakim Tay Yong Kwang dan Hakim Andrew Phang, menangguhkan keputusan dan akan mengumumkan penghakiman pada tarikh kemudian.
Lim juga merupakan pengasas parti pembangkang Parti Suara Rakyat (PV) dan pengasas bersama Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR).
Pada Ogos 2023, Lim didapati bersalah oleh tribunal tatatertib atas dua pertuduhan – memasukkan cek itu ke dalam akaun sendiri walaupun telah diberhentikan perkhidmatan oleh klien, dan melanggar peraturan yang mewajibkan cek tersebut dimasukkan ke dalam akaun berasingan untuk menyimpan wang klien.
Tribunal tersebut – yang dilantik oleh Ketua Hakim dan terdiri daripada mantan hakim Mahkamah Tinggi, Encik Andrew Ang, serta peguam berpengalaman, Encik Philip Fong – memutuskan kes itu berdasarkan dokumen kerana kedua-dua Lim dan Encik Suresh tidak memberi keterangan lisan di mahkamah.
Tribunal mendapati kes ini cukup serius sehingga Lim wajar dikenakan tindakan tatatertib di mahkamah, yang berkuasa menggantung peguam yang terlibat dalam salah laku atau menggugurkannya daripada senarai peguam.
Dalam permohonan Persatuan Guaman pada 23 Januari untuk menggugurkan Lim, wakil mereka, Encik Chenthil Kumarasingam, menegaskan bahawa tribunal mendapati tindakan Lim “bukan tidak sengaja atau terlepas pandang, tetapi memang disengajakan”.
Encik Kumarasingam berhujah bahawa Lim dengan sengaja menyembunyikan fakta bahawa dia menerima cek tersebut daripada peguam baru Encik Suresh, Encik Joseph Chen.
Lim mengaku tindakan memasukkan cek tersebut ke dalam akaun bank firmanya “tidak selari dengan undang-undang”.
Menurut Lim, pada masa itu dia tidak sedar bahawa cek tersebut perlu dimasukkan ke dalam akaun berasingan untuk menyimpan wang klien, dan firmanya tidak mempunyai akaun sedemikian.
Lim mendakwa bahawa dalam satu pertemuan pada 15 November 2019, Encik Suresh memberi kuasa kepadanya untuk memasukkan cek itu ke dalam bank.
Lim mendakwa bahawa dia kemudian menyerahkan wang tunai itu kepada pemiutang Encik Suresh, Encik Tarmmar Razu Doriasamy, serta kepada kliennya itu sendiri.
Namun, Encik Kumarasingam berhujah bahawa pertemuan yang didakwa berlaku itu tidak mempunyai dokumentasi mencukupi, serta menekankan bahawa peguam perlu lebih berhati-hati dan telus ketika menguruskan wang klien.
Encik Kumarasingam turut menyatakan bahawa Lim tidak menyebut tentang pertemuan tersebut di dalam dokumen yang difailkan bagi perbicaraan tatatertib pertama dan hanya membangkitkannya selepas dia memutuskan untuk memberi keterangan di depan tribunal dalam perbicaraan kedua.
Dalam kes berasingan, Lim dijatuhi hukuman penjara enam minggu serta denda $1,000 pada 17 Februari 2025 kerana mewakili klien tanpa sijil amalan sah antara 1 April dengan 9 Jun 2021.
Dia telah mengemukakan rayuan.
Lim juga mempunyai pertuduhan lain yang masih belum selesai, termasuk kesalahan seperti membuat gangguan dan pecah amanah jenayah.

