Kerja naik taraf bangunan ibu pejabat Persatuan Muhammadiyah di Jalan Selamat dijangka mengambil masa setahun lagi untuk disiapkan.
Projek naik taraf yang dinamakan, Projek Wahdah itu, melibatkan kos keseluruhan $6.5 juta.
Namun, persatuan itu masih memerlukan $5 juta lagi untuk menanggung kos tersebut.
Setiausaha Umum Persatuan Muhammadiyah, Cik Roszanah Abdul Salim, berkata: “Setiap sumbangan yang diterima akan memberikan manfaat holistik kepada masyarakat, bukan sekadar dana.
“Projek Wahdah hanya dapat direalisasikan melalui kerjasama dan kemurahan hati semua.
“Bersama-sama, kita dapat membina ruang yang bukan sahaja memupuk ilmu dan iman, malah menghidupkan nilai Al-Quran serta mewujudkan legasi ummah yang berpanjangan.”
Projek Wahdah menambah kemudahan dan ruang fizikal yang dinaik taraf termasuk ruang solat lebih luas dan mesra jemaah; kelas untuk pembelajaran agama dan Al-Quran; ruang perkembangan belia; kemudahan untuk program kemasyarakatan yang lebih baik dan penglibatan masyarakat dan visi jangka panjang.
Demi meningkatkan kutipan, Muhammadiyah menawarkan Pakej Mushaf Wahdah untuk menarik minat orang ramai bagi menyokong dan merancakkan lagi pengumpulan dana bagi projek itu.
Dalam Pakej Mushaf Wahdah, bagi setiap sumbangan $500, penderma akan menerima satu set Al-Quran eksklusif Mushaf Wahdah dan satu tin kurma Ajwa Madinah.
“Mushaf Wahdah ini melambangkan komitmen Persatuan Muhammadiyah untuk mewujudkan impak kerohanian berpanjangan sebagai panduan dan ganjaran berterusan.
“Setiap kali mushaf ini dibaca, insya-Allah, pahala amal jariah akan mengalir kepada penderma dan pembacanya,” jelas Cik Roszanah.
Sebanyak 20 set ‘Mushaf Wahdah’ diagihkan kepada penerima bantuan yang berminat belajar Al-Quran.
Pengagihan dilakukan atas sikap murah hati penderma kepada Projek Wahdah dan memilih untuk menginfakkan Al-Quran mereka kepada yang lebih memerlukan.
Persatuan Muhammadiyah juga memastikan sumbangan yang diterima memberi manfaat sebenar, bukan sekadar pengumpulan dana yang selaras dengan misinya.
Kempen itu bertujuan mengangkat nilai Al-Quran dalam kehidupan.
Ia juga mahu masyarakat menjadikannya sebagai pusat rujukan, perlindungan dan kebajikan.
Masyarakat Melayu/Islam digalak melihat sumbangan derma sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang untuk ummah.
Selain itu, Persatuan Muhammadiyah turut memberi tumpuan kepada melahirkan generasi muda berilmu, berakhlak, dan sedia berkhidmat.
* Masyarakat Islam berpeluang menyalurkan zakat dan sedekah, terutama menjelang hampirnya Ramadan.
* Muhammadiyah juga akan mengagihkan juadah berbuka puasa kepada sekurang-kurangnya 100 keluarga yang memerlukan, setiap minggu.
* Jika anda ingin menderma, caranya:
– Untuk khidmat kutipan dari rumah, hubungi talian 6242-7388.
– PayNow: Imbas kod QR yang disediakan.
* Sumbangan melalui dalam talian:
– Untuk Projek Wahdah: muhammadiyah.org.sg/wahdah
– Untuk zakat, sedekah: https://muhammadiyah.org.sg/donate/


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg