Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mengunjungi Pusat Kesihatan dan Jagaan Siang Muhammadiyah (MHCC) di 10 Eunos Crescent pada 27 Oktober untuk berinteraksi dengan warga emas yang telah meraih manfaat daripada perkhidmatan pusat tersebut.
Dalam hantaran di Facebooknya, Dr Faishal berkongsi tentang pertemuannya dengan kepimpinan kanan Persatuan Muhammadiyah untuk “lebih mengenali usaha mereka sepanjang 60 tahun ini”.
“Muhammadiyah telah banyak menyumbang kepada masyarakat kita, seperti melalui khidmat penjagaan warga emas, yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berasaskan masyarakat, pusat jagaan harian, dan program pemulihan untuk warga emas kita,” kata Dr Faishal.
“Ini adalah lawatan pertama saya ke MHCC, dan saya amat berbesar hati dapat berjumpa dengan warga emas yang telah banyak menerima manfaat daripada penjagaan dan sokongan yang diberikan oleh pegawai serta sukarelawan yang berdedikasi di pusat ini.”
Lebih 7,000 warga emas telah meraih manfaat daripada penjagaan dan perkhidmatan MHCC sejak pusat itu dilancarkan pada 1997, berdasarkan laman web MHCC.
Dalam perbincangan antara Dr Faishal dengan kepimpinan kanan Muhammadiyah, persatuan itu berkongsi tentang visi barunya untuk menambah baik dan meluaskan perkhidmatan, agar dapat membantu lebih ramai anggota masyarakat.
“Sedang kita melangkah ke hadapan, marilah kita terus berganding bahu untuk membina dan melaksanakan visi kita, dan dapat melangkah maju bersama,” kata Dr Faishal.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg