Tanggapan semua anak titipan ‘nakal’ atau ‘sukar dikawal’ adalah salah faham. Kanak-kanak yang kemudian diserahkan di bawah jagaan ibu bapa titipan, biasanya mengalami penderaan, pengabaian atau ditinggalkan, bukan kerana masalah tingkah laku.
Jagaan titipan ialah penjagaan sementara bagi kanak-kanak bawah 18 tahun yang memerlukan rumah selamat dan stabil, dengan tujuan penyatuan semula keluarga apabila keadaan mengizinkan.
Justeru, PPIS menyediakan sokongan kepada keluarga serta ibu bapa yang mempertimbangkan penjagaan anak titipan.
Berbekalkan keyakinan tinggi, seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Masturah berani menyertai perjalanan mengambil anak titipan bersama suaminya yang ingin dikenali sebagai Encik Muhammad Farhan, melalui PPIS Oasis.
Pasangan yang belum dikurniakan anak selepas berkahwin selama 11 tahun itu ingin berkongsi ruang kasih sayang serta emosi buat kanak-kanak memerlukan.
Pada penghujung 2023, mereka memutuskan mengambil anak titipan, sebelum dipadankan dengan seorang bayi berusia tiga bulan pada Januari 2024.
Dalam tempoh kurang tiga minggu sebelum penyerahan, kehidupan pasangan ini berubah sekelip mata.
Perasaan mereka bercampur-baur – teruja, gementar dan sarat dengan rasa tanggungjawab.
“Banyak detik bermakna, terutamanya apabila kami menjadi tempat perlindungan dan ketenangan mereka.
“Melihat si kecil kami membesar dengan yakin dan ceria, membuatkan kami percaya kasih sayang boleh tumbuh, walaupun tanpa pertalian darah,” jelas Cik Masturah.
Kali pertama menjadi ibu bapa titipan, mereka turut berdepan pelbagai cabaran dan peraturan yang perlu dipatuhi.
Namun, PPIS Oasis sentiasa memberi bimbingan, termasuk membantu mendapatkan penempatan jagaan bayi untuk anak titipan mereka pada 2024.
Bagi pasangan yang bekerja sepenuh masa, sokongan ini membolehkan mereka terus bekerja sambil anak titipan menerima penjagaan konsisten.
Cik Masturah turut meninggalkan pesanan kepada ibu bapa yang mempertimbangkan untuk menjadi keluarga titipan, tetapi masih berasa ragu.
“Tidak mengapa ada rasa takut melangkah ke alam yang tidak pasti. Apa yang penting adalah persediaan kerana penjagaan anak titipan boleh menjadi salah satu perjalanan paling bermakna dan mengubah kehidupan,” katanya.
Bukan sahaja memberi sokongan terhadap penjagaan anak titipan, PPIS juga menekankan perkhidmatan terhadap wanita, keluarga dan kanak-kanak.
Perkhidmatan tersebut turut membantu Cik Radiyah (bukan nama sebenar), seorang ibu bekerja berpendapatan rendah, yang menghadapi tekanan besar dalam mengimbangi tanggungjawab kerja dan keluarga.
Melalui Pusat Sokongan Keluarga PPIS, beliau mendaftarkan ketiga-tiga anaknya di Pusat Jagaan Pelajar PPIS Bedok.
Di situ, anak-anaknya menerima sokongan akademik dan pembangunan menyeluruh dalam persekitaran selamat.
“Selepas menyertai PPIS, anak-anak saya menunjukkan perkembangan baik, terutama dalam akademik dan kegiatan harian. Semasa perkhemahan akhir tahun, mereka gembira dapat meluangkan masa bersama rakan-rakan dan guru-guru di pusat ini,” ujar Cik Radiyah.
Beliau turut berkongsi dirinya tidak risau kerana guru-guru PPIS mendidik dan menjaga anak-anak seperti anak sendiri.
“Pada awalnya, saya risau anak-anak tidak difahami sepenuhnya, tetapi guru-guru sangat baik, memahami keperluan anak-anak, dan menjaga waktu solat mereka.
“Saya yakin ibu bapa tidak akan menyesal menghantar anak ke PPIS. Ini kerana terdapat pelbagai kegiatan menarik untuk anak-anak dan ibu bapa,” tambah Cik Radiyah.
PPIS OASIS:
* Layari https://ppis.sg/family-services/fostering atau https://ppis.sg untuk maklumat lanjut.
* Kunjungi PPIS Oasis di Blok 41, Chai Chee Street, #01-16, Singapura 461041 (Isnin hingga Jumaat, dari 9 pagi hingga 5 petang).
* Hubungi talian 6022-5700 atau WhatsApp 9855-1057 untuk sebarang pertanyaan.
* E-mel kepada oasis@ppis.sg
PPIS:
* Kunjungi laman https://ppis.sg
* E-mel kepada info@ppis.sg atau hubungi talian 6744-0258.
* Lawati PPIS di Blok 1, Eunos Crescent, #01-2509, Singapura 400001.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg