Melalui kempen tahunannya, Ihsan Ramadan, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) berharap dapat meraih sokongan untuk meneruskan usaha meningkatkan program dan perkhidmatan masyarakatnya.
Antara perkhidmatan utama yang disediakan PPIS ialah perkhidmatan keluarga, yang merangkumi perkhidmatan asuhan yang ditawarkan di PPIS Oasis.
PPIS Oasis merupakan pusat yang menyokong ibu bapa titipan dalam usahanya menyediakan persekitaran rumah yang selamat dan stabil untuk anak titipannya.
Pusat ini memudahkan perjalanan keluarga titipan membangunkan hubungan yang sihat dengan anak titipan mereka, sambil membolehkan kanak-kanak ini menyerlahkan potensi dan hasrat mereka.
Encik Mohamad Jumani Amin dan isteri, Cik Siti Nabilah Azman, merupakan salah satu pasangan yang disokong PPIS Oasis sepanjang lima tahun mereka menjadi ibu bapa titipan.
PPIS Oasis telah membantu keluarga mereka dengan memberi sokongan kepada anak titipan mereka melalui kaunseling, sesi sokongan dan bengkel. Sokongan ini amat bererti dalam kehidupan ibu bapa titipan.
Cik Nabilah komited untuk menyokong dan mengasuh anak titipannya dengan menyediakan persekitaran yang stabil dan penuh kasih sayang bersama suaminya.
Beliau berharap dapat membina asas kepercayaan dan ruang yang selamat dengan mengadakan perbualan terbuka dan persefahaman antara anak titipannya dan dirinya.
Cik Nabilah berkata:
“Pemeliharaan anak titipan adalah tanggungjawab bersama dalam sesebuah masyarakat. Ia memerlukan usaha kolektif daripada banyak sistem. Terima kasih atas segala usaha dan sokongan untuk menjadikan pemeliharaan anak titipan satu perjalanan yang indah.”
Kempen Ihsan Ramadan ini bertujuan mengumpul $500,000 untuk mengekal dan meningkatkan program dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada benefisiari badan itu.
Ditubuhkan pada tahun 1952, PPIS merupakan badan perkhidmatan sosial yang memberi tumpuan kepada perkhidmatan untuk wanita, keluarga dan kanak-kanak. PPIS melaksanakan tiga teras perkhidmatan masyarakat: Perkhidmatan Keluarga, Penjagaan Pelajar, dan Kemudahan Kediaman.
Dengan 11 pusat di serata Singapura, perkhidmatan ini menyediakan sokongan yang bermutu dan holistik. Program pembangunan untuk golongan wanita dan keluarga merentasi pelbagai fasa kehidupan. PPIS membantu lebih 34,000 benefisiari tahun lalu, melalui kerja kes (casework), kaunseling, terapi keluarga, asuhan dan keperluan pendidikan.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut atau memberikan sumbangan, sila kunjungi laman www.ppis.sg/pir.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg