Topik diikuti
Pergi ke BHkuPersatuan Porto Novo rancang tawar khidmat masyarakat, kebajikan di S’pura
Badan penduduk asal bandar pantai di Tamil Nadu mahu bina masyarakat bersatu, kukuh dan kerjasama dengan persekutuan India, NGO lain
Persatuan Porto Novo rancang tawar khidmat masyarakat, kebajikan di S’pura
Persatuan Porto Novo (Singapura) bakal dilancarkan pada 2027 untuk mendekati dan menyokong masyarakat Porto Novo di Singapura.
Presiden Persatuan Porto Novo Singapura, Encik Abdul Azeez Mohamed Mustafa Kamal, berkata: “Terdapat kira-kira 350 keluarga Porto Novo yang tinggal di Singapura.
“Tugas utama kami adalah menghubungkan mereka semua dengan persatuan ini dan membina masyarakat yang kuat dan bersatu.
“Kami merancang menganjurkan acara Hari Keluarga setiap tahun untuk menyatukan semua orang, menyokong satu sama lain, dan memelihara ikatan kekeluargaan kami yang erat.”
Kenali Porto Novo dan lokasi geografi
Encik Abdul Azeez menerangkan bahawa Porto Novo ialah istilah Portugis yang bermakna Pelabuhan Baru, dengan Porto bermaksud pangkal, atau pelabuhan, dan Novo bermaksud baru.
Ia biasanya digunakan di kawasan berbahasa Portugis dan bekas tanah jajahan Portugal.
Porto Novo ialah sebuah bandar pantai di timur Tamil Nadu, selatan India, yang mempunyai anggaran 50,000 penduduk.
Menurut Encik Abdul Azeez, dari segi sejarah, ia merupakan hab maritim utama dan memainkan peranan penting di bawah dinasti Chola, Arab, Belanda, Portugis, dan British.
Porto Novo juga dikenali sebagai Parangi Pettai, yang bermaksud Bandar Eropah atau Penempatan Eropah, dalam bahasa Tamil.
Beliau menambah, terdapat petunjuk sejarah yang ketara bahawa penduduk Porto Novo menjalin hubungan perdagangan dengan Asia Tenggara, Timur Tengah, khususnya Yaman, dan Afrika Utara, khususnya Mesir, jauh sebelum kuasa Eropah mula belayar ke pantai India.
Porto Novo turut berkhidmat sebagai pelabuhan kastam utama di bawah pentadbiran Presiden Madras.
Warisan dan
Kepentingan Sejarah:
– Warisan Kolonial
Portugis menubuhkan sebuah pelabuhan di bandar pantai timur Tamil Nadu pada 1590 dan menamakan penempatan itu Porto Novo, yang bermaksud Pelabuhan Baru.
Pekan ini kemudian berada di bawah kawalan Belanda dan seterusnya menjadi sebahagian daripada wilayah kolonial British.
– Kilur Nabi Pallivasal
Masjid Kilur Nabi Pallivasal ialah masjid tertua di Porto Novo. Beberapa catatan sejarah menunjukkan seorang sahabat Nabi Muhammad saw, Hazrat Ukkashah ibn al-Mihsan, bersama ramai pedagang Arab yang lain melawat bandar pelabuhan ini semasa hayat Baginda.
Tradisi tempatan turut mempercayai bahawa sahabat Nabi itu hidup, meninggal dunia dan dikebumikan di lokasi itu.
– Jamia Masjid Meera Palli
Tapak masjid berusia 400 tahun ini dipercayai diderma oleh maharaja Mughal keenam, Alamgir Aurangzeb. Ia adalah salah sebuah masjid terbesar dan paling terkenal di Porto Novo.
– Masjid Kapitan Keling
Cauder Mohudeen Merican ialah seorang saudagar Muslim Tamil yang terkemuka kelahiran Porto Novo.
Beliau memperoleh geran tanah seluas 7.28 hektar daripada kerajaan kolonial untuk menubuhkan dan mewakafkan Masjid Kapitan Keling yang ikonik di Pulau Pinang.
Hubungan Sejarah
dengan Singapura
Disebabkan lokasi pantai yang strategik, Porto Novo berfungsi sebagai hab penghijrahan utama bagi masyarakat Tamil Muslim, terutamanya pedagang Marakkayar, dan pedagang India Selatan, yang berpindah ke Semenanjung Tanah Melayu.
Berakar umbi dalam tradisi maritim dan perdagangan yang telah lama wujud di seluruh Teluk Bengal dan Asia Tenggara, keluarga dari Porto Novo mula menetap di Singapura, Malaysia dan Indonesia seawal abad ke-16.
Hari ini, kira-kira 350 keluarga asal Porto Novo menetap di Singapura, bersama 150 keluarga dari bandar jiran yang berkongsi hubungan perkahwinan dan budaya yang rapat dengan masyarakat itu.
Presiden kehormat Persatuan Porto Novo (Singapura), Encik Shaik Mohamed Abdul Jaleel, berkata:
“Persatuan Porto Novo Singapura mencerminkan semangat berkekalan masyarakat kami.
“Kami berkongsi warisan, tradisi, persahabatan dan komitmen.
“Selama bertahun-tahun, ia kekal sebagai tempat bagi generasi berkumpul, meraikan akar kami dan mengekalkan warisan Porto Novo.”
Tujuan dan Khidmat
Persatuan Porto Novo
(Singapura)
“Kami berhasrat bekerjasama rapat dengan Persekutuan India Muslim Singapura dan pertubuhan bukan pemerintah yang lain.
“Selaras dengan panduan pemerintah, kami berusaha menggalak keharmonian kaum, mengukuhkan ikatan masyarakat, dan menyokong warga emas, kanak-kanak serta golongan memerlukan,” ujar Setiausaha Persatuan Porto Novo Singapura, Encik Zainul AbIdeen Abdul Kader.
Antara perkhidmatan yang bakal ditawarkan persatuan itu ialah:
– Hari Keluarga tahunan untuk memupuk ikatan masyarakat
– Derma darah dan lawatan ke rumah penjagaan warga emas
– Menggalak kesinambungan budaya melalui kelas bahasa ibunda (Tamil)
– Memudahkan pelibatan belia dan pendidikan warisan
– Memulakan program alam sekitar seperti pembersihan pantai
– Memperkasa belia, memberi dermasiswa dan pengiktirafan kepada pelajar cemerlang dalam bidang akademik, sukan dan pencapaian kokurikulum
– Khidmat dan kebajikan masyarakat: Perkhidmatan perkahwinan, iftar Ramadan, sokongan pendidikan madrasah dan kegiatan sukan.
Encik Zainul berkata: “Kami percaya bahawa persatuan ini akan berkhidmat bagi kepentingan bukan sahaja masyarakat kami, malah masyarakat berbilang budaya dan inklusif Singapura.”
Bagi mengetahui lebih lanjut tentang persatuan ini, kunjungi Facebook dan Instagram ‘Porto Novo Association Singapore’ atau e-mel kepada portonovo.sg@gmail.com.