Persatuan Rakyat (PA) mengikrarkan $250,000 bagi menyokong inisiatif Cabaran Presiden 2024.
Dana yang disumbangkan ini merupakan sebahagian daripada sokongan berterusan PA untuk Cabaran Presiden, setelah ia mengumpulkan lebih $6.9 juta sejak 2001.
Cabaran Presiden adalah gerakan nasional yang diketuai Presiden Singapura, untuk membina masyarakat yang prihatin dan bersatu padu menerusi usaha mengumpul dana.
Ia kini menyokong 65 organisasi melalui wang yang diterima.
Presiden Tharman Shanmugaratnam menerima cek sumbangan itu semasa acara PA Cares @ President’s Challenge 2024 yang diadakan di ibu pejabat PA di King George’s Avenue pada 8 September.
Semasa acara itu, sebuah kempen masyarakat baru turut dilancarkan yang akan menampilkan beberapa siri acara seperti berjalan pantas dan berlari, di mana setiap jarak kilometer yang dilakukan oleh peserta akan menyaksikan sebanyak $1 didermakan.
Inisiatif yang akan berlangsung hingga 30 November itu dianjurkan oleh Pergerakan Belia Persatuan Rakyat (PAYM) dan Rangkaian Sukan Masyarakat bagi menyokong Cabaran Presiden 2024.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, peserta boleh gunakan aplikasi mudah alih khusus untuk menjejak dan merekodkan langkah harian mereka, menurut PA dalam satu kenyataan.
Bagi membuka tirai kempen PA Cares @ President’s Challenge 2024, Presiden Tharman memulakan acara “jalan inklusif” dan menyertai lebih 1,000 peserta termasuk penderma, sukarelawan akar umbi dan penerima, dalam mencatatkan langkah pertama mereka untuk kempen tersebut.
Dalam kenyataannya, PA berkata:
“Dengan menjadikan aktiviti harian sebagai peluang memberi balik, PA berhasrat mewujudkan belas ihsan yang berterusan di seluruh Singapura, menunjukkan bagaimana setiap tindakan individu kecil secara kolektif boleh memberi kesan yang ketara kepada mereka yang memerlukan.”
Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, berkata pertubuhan akar umbi PA akan membina momentum daripada pelancaran kempen tersebut untuk meningkatkan kesedaran dan dana bagi tujuan itu.
“Sokongan ini akan membolehkan organisasi kami memberi manfaat dan meneruskan kerja cemerlang bagi penerima bantuan dan penduduk,” katanya.
PAYM dan Rangkaian Sukan Masyarakat di seluruh negara ini juga akan menghimpunkan masyarakat dengan menganjurkan acara berjalan dan larian maya untuk menggalak lebih ramai penduduk menyertai usaha mengumpul dana ini, tambahnya.
“Semangat Cabaran Presiden melangkaui pengumpulan dana.
“Ia juga mengenai memupuk sebuah masyarakat yang penyayang dan inklusif di mana kita merasakan semangat kekitaan dan nilai, tanpa mengira usia, kebolehan dan latar belakang,” ujar Cik Low.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg