Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Tharman lancar Bulan Bahasa 2024, galak rakyat guna bahasa ibunda dalam kehidupan 

Program pelancaran tampil semangat belia untuk lestarikan bahasa Melayu
Sep 7, 2024 | 8:00 PM
(Dari kiri) Pengerusi MBMS, Encik Fahmi Aliman; Tetamu Terhormat Presiden Tharman Shanmugaratnam; Duta Bahasa 2024, Dr Fadzil Hamzah; dan Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, semasa Program Pelancaran Bulan Bahasa 2024 pada 7 September di Kampus Mediacorp.
(Dari kiri) Pengerusi MBMS, Encik Fahmi Aliman; Tetamu Terhormat Presiden Tharman Shanmugaratnam; Duta Bahasa 2024, Dr Fadzil Hamzah; dan Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, semasa Program Pelancaran Bulan Bahasa 2024 pada 7 September di Kampus Mediacorp. - Foto MBMS

Bahasa ibunda adalah sebahagian identiti rakyat Singapura dan menghubungkan rakyatnya dengan warisan mereka yang kaya dan pelbagai aspek, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam sambil beliau menggesa rakyat Singapura supaya terus menggunakan bahasa ibunda dalam kehidupan seharian mereka.

Beliau juga menggariskan kelebihan keupayaan untuk berdwibahasa.

“Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempelajari dua bahasa lebih cekap dalam melaksanakan pelbagai tugas dan dalam kemahiran insani dibandingkan dengan kanak-kanak yang hanya boleh bertutur dalam satu bahasa,” katanya semasa Program Pelancaran Bulan Bahasa 2024 pada 7 September di Kampus Mediacorp.

Menurutnya, khususnya bagi orang dewasa, kekerapan bertutur dalam dua bahasa dapat melambatkan penuaan minda.

Kebolehan itu juga membuka peluang di seluruh Asia, dengan manfaat ekonomi yang telah berkembang dengan kebangkitan rantau ini.

Bertutur dalam bahasa ibunda juga membolehkan kita mendekati masyarakat rentas negara dan budaya di rantau Asia, yang kian berkembang ekonominya... Singapura terletak di tengah-tengah lebih daripada 290 juta orang yang bertutur dalam bahasa Melayu atau bahasa Indonesia. Keupayaan menggunakan bahasa Melayu dengan baik boleh membuka peluang baru buat kita.
Presiden Tharman Shanmugaratnam.

“Bertutur dalam bahasa ibunda juga membolehkan kita mendekati masyarakat rentas negara dan budaya di rantau Asia, yang kian berkembang ekonominya.

“Singapura terletak di tengah-tengah lebih daripada 290 juta orang yang bertutur dalam bahasa Melayu atau bahasa Indonesia.

“Keupayaan menggunakan bahasa Melayu dengan baik boleh membuka peluang baru buat kita,” ujar beliau.

Program Pelancaran Bulan Bahasa 2024 menampilkan kumpulan belia serta semangat mereka bagi melestarikan bahasa Melayu. Ia diacarakan oleh Duta Bahasa Farhana M Noor dan personaliti radio dan televisyen, Fadli Kamsani,

Penonton juga menikmati persembahan oleh penyanyi muda Azra Zulaikha, Amirah Fikriyah, Naufal Aiman dan Norshafiq Ridzwan.

Muzik bagi majlis tersebut juga disusun dan diterajui Duta Bahasa dan pemuzik, Megat Firdaus.

Program pelancaran itu turut mengetengahkan bakat baru dalam kalangan Rakan Bahasa.

Empat daripada mereka merupakan daripada Sekolah Rendah Ahmad Ibrahim dan Sekolah Menengah Changkat Changi, yang terlibat dalam satu aktiviti membaca berita bersama Duta Bahasa dan penyampai berita Nursha Ismail.

Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, melahirkan penghargaan kepada kelab masyarakat, sekolah dan pejuang bahasa kerana menyokong inisiatif Bulan Bahasa 2024.

Beliau juga memuji semua Rakan Bahasa yang telah memainkan peranan untuk mempromosi budaya Melayu dalam kalangan belia.

“Pejuang bahasa kita merupakan daripada golongan serata masyarakat kita.

“Sepanjang Bulan Bahasa tahun ini (2024), kita akan dapat lihat penglibatan mereka dalam masyarakat untuk menyatukan masyarakat dan menghidupkan budaya bahasa kita,” kata Encik Zhulkarnain, yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Chua Chu Kang.

Pejuang bahasa kita merupakan daripada golongan serata masyarakat kita. Kita bakal lihat penglibatan mereka dalam masyarakat untuk menyatukan masyarakat dan menghidupkan budaya bahasa kita.
Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Encik Zhulkarnain turut mengatakan bahawa Duta Bahasa, Dr Fadzil Hamzah, berupaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi dan keikhlasan.

Dr Fadzil, 43 tahun, yang merupakan doktor di Jabatan Perubatan Sukan dan Senaman di Hospital Besar Changi (CGH), dilantik sebagai Duta Bahasa 2024.

Beliau yang juga menggalas tugas sebagai ketua operasi bagi Pusat Perubatan Sukan dan Senaman Singapura di Hospital Besar Singapura (SGH), merupakan doktor keempat yang dilantik sebagai Duta Bahasa, selepas Dr Jazlan Joosoph, Dr Elly Sabrina dan Dr Nur Farhan Alami.

Duta Bahasa dilantik oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan Jawatankuasa Bulan Bahasa berdasarkan penguasaan dan minat mereka terhadap bahasa Melayu serta penglibatan mereka dalam masyarakat.

Menurut Dr Fadzil, terdapat satu kecenderungan untuk mengutamakan satu bahasa berbanding bahasa lain.

Beliau turut mencadangkan supaya menggunakan media sosial untuk membangunkan inisiatif yang menarik untuk melestarikan bahasa Melayu.

“Golongan muda bukan sahaja pelapis masyarakat, tetapi juga penyambung warisan bahasa ibunda kita,” ujar Dr Fadzil.

Golongan muda bukan sahaja pelapis masyarakat, tetapi juga penyambung warisan dan bahasa ibunda kita.
Duta Bahasa 2024, Dr Fadzil Hamzah.

Pengerusi MBMS, Encik Mohd Fahmi Aliman, turut mengucapkan terima kasih kepada ahli MBMS dan rakan kerjasama atas dedikasi dan komitmen mereka dalam usaha menyemai cinta terhadap bahasa Melayu.

Beliau berharap agar usaha tersebut dapat dihargai dan diterima semua lapisan masyarakat, khususnya golongan belia yang akan melestarikan bahasa dan budaya Melayu.

Bercakap kepada media tentang ucapan Tuan Presiden selepas program pelancaran tersebut, Encik Fahmi berkata:

“Bahasa Melayu ini adalah satu jambatan untuk berhubung pada peringkat antarabangsa, seperti Malaysia dan Indonesia.

“Ia juga penting bagi masyarakat Melayu di Singapura untuk terus memahami bahasa Melayu secara lebih mendalam – dari segi seni, sastera dan seterusnya.”

Lima pelbagai rakan kerjasama masyarakat, akar umbi, kumpulan seni, dan sekolah terus menganjurkan program sempena Bulan Bahasa 2024 yang sudah bermula dari 17 Ogos, dan akan berlangsung hingga 13 Oktober.

Kalendar Acara Bulan Bahasa 2024 boleh didapati di laman mbms.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg