Sebagai langkah mendekati masyarakat, pelbagai program menarik disediakan oleh Persatuan Muhammadiyah.
Antaranya khatam dan tadabbur Al-Quran, program Tanya Ustaz serta menyediakan sebuah buku kecil digital sebagai panduan sempena kedatangan bulan Ramadan.
Usaha ini untuk menggalakkan orang ramai menjiwai Al-Quran dengan lebih mendalam lagi serta membantu menjawab kemusykilan mereka tentang perihal iman dan agama.
Program Ihya Al-Quran mencerminkan visi menjadikan Al-Quran sebagai panduan utama dan pusat kehidupan setiap Muslim dengan menyediakan pendidikan Al-Quran yang mudah didapatkan dan bermutu tinggi.
Program ini dimulakan pada 2022 dan peserta berusia dari sembilan tahun sehingga lebih 60 tahun telah meraih manfaat daripada program ini.
“Program ini berhasrat menerangi hati dan minda, memupuk kecintaan terhadap Al-Quran, dan memperkasakan peserta untuk mengamalkan serta menghidupkan ajaran-Nya,” kata Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman.
Program ini dibahagikan kepada bacaan Al-Quran harian, Khatamul Quran, dan Tilawah dan Tadabbur Al-Quran.
Peserta Khatamul Quran akan membaca satu juz Al-Quran secara dalam talian melalui Zoom setiap hari selepas subuh.
Sesi Tilawah dan Tadabbur pula akan diadakan secara hibrid di Zoom dan juga di Pusat Al-Wehdah.
Bukan sahaja terbuka kepada semua lapisan umur secara percuma, program Ihya Al-Quran ini turut diperluaskan kepada kakitangan Persatuan Muhammadiyah.
Kakitangan yang ingin memperbaiki bacaan mereka boleh menyertai sesi Tadarrus, dibimbing oleh seorang asatizah, yang dijalankan setiap hari di pejabat.
Selain daripada itu, pada Ramadan ini, Persatuan Muhammadiyah juga akan melancarkan satu daya usaha baru, ‘Meet An Ustaz’, agar masyarakat dapat merujuk dan bertanya kepada asatizah bertauliah secara peribadi atau dalam talian melalui Zoom.
Dengan ini, mereka akan mendapat penjelasan yang mereka perlukan dalam persekitaran yang selesa.
Sesi soal jawab terbuka kepada umum juga diadakan melalui WhatsApp Group, atau kumpulan WhatsApp, dengan orang ramai boleh sama-sama menyertai dan meraih manfaat daripada soalan dan jawapan yang dikongsi.
Dalam satu lagi daya usaha, persatuan ini juga menyusun senarai 40 soalan lazim mengenai Ramadan, di dalam buku kecil Bekalan Ramadan yang boleh didapati dalam format digital untuk dimuat turun.
Ustaz Muhammad Azri berkata:
“Buku kecil ini dijadikan sebagai panduan ringkas bagi kita semua dalam menjalani ibadah pada bulan Ramadan 1446 Hijrah, bersamaan tahun 2025 Masihi.
“Di dalamnya, terkandung jadual puasa dan solat tarawih anjuran Persatuan Muhammadiyah, serta jadual program lain yang Insya-Allah akan membantu kita menghidupkan malam-malam Ramadan dengan ibadah dan ilmu.”
Persatuan Muhammadiyah berharap penjelasan ringkas ini dapat memberikan manfaat dan memudahkan masyarakat dalam melaksanakan ibadah dengan lebih baik.
“Kami berharap masyarakat dapat meraih manfaat daripada program dan daya usaha yang dianjurkan oleh Muhammadiyah sepanjang Ramadan ini.
“Kami turut mengalu-alukan sumbangan zakat, infak, dan fidyah bersama Muhammadiyah agar usaha dakwah, pendidikan, dan kebajikan kami dapat terus dilaksanakan serta membantu dan membimbing mereka yang memerlukan.
“Semoga Allah swt menerima segala amal ibadah kita dan memberikan kekuatan kepada kita menjalani ibadah pada bulan Ramadan dengan penuh keikhlasan dan kesabaran,” ujar Ustaz Muhammad Azri.
Mereka yang berminat menyertai program-program ini agar Ramadan lebih bermakna, sila ke laman web, muhammadiyah.org.sg atau hubungi talian 6242-7388.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg