Setelah bertahun mendampingi kaum Adam yang berdepan pelbagai cabaran hidup berkaitan rumah tangga, keganasan dan emosi, Encik Ismail Didih Ibrahim, 41 tahun; dan Encik Ben Ang, 45 tahun, menyedari masalah mereka sebenarnya dapat dielak sekiranya mereka mempunyai ruang selamat untuk mendapatkan sokongan lebih awal.

Berbekalkan hasrat untuk menyediakan ruang sedemikian, mereka berdua menubuhkan, Fellowship of Men (FMS), pertubuhan tidak mengaut untung yang membantu kaum lelaki membina hubungan lebih utuh, memperkukuh daya tahan emosi, mewujudkan rangkaian sokongan, serta menggalakkan kelelakian yang sihat, pada Januari lalu.

Encik Ang, yang pernah berkhidmat sebagai pekerja sosial di Pusat Khidmat Keluarga (FSC) selama hampir 20 tahun, berkata:

“Tugas kami di FMS bukan hanya untuk memberikan tindak balas apabila krisis seperti keganasan rumah tangga berlaku tetapi bagaimana untuk menggalakkan kaum lelaki mendapatkan bantuan apabila mereka memerlukannya sebagai satu bentuk penjagaan diri.”

Program rintis FMS, ‘Siri Penjagaan Diri Lelaki: Memasak dan Berbual’, yang diadakan pada 23 Mei, merupakan salah satu projek yang mendapat pembiayaan Dana Kerjasama SG (SG Partnerships Fund) Peringkat Awal atau ‘Seed Tier’. 

Dana tersebut telah diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa pembentangan Belanjawan 2026 pada Februari, untuk menyokong inisiatif yang dipimpin masyarakat.

Sejak pelancaran dana tersebut pada April, Pejabat Kerjasama Pemerintah Singapura (SGPO), yang mengendalikan dana tersebut, berkata mereka telah menerima lebih 200 permohonan.

Projek di bawah Peringkat Awal dana tersebut layak menerima pembiayaan sehingga 100 peratus daripada kos program yang layak, dengan jumlah maksimum $5,000.

Sebelum FMS menerima dana tersebut, mereka hanya merancang untuk mengadakannya di dapur rumah Encik Ang bagi lapan peserta.

“Dana ini telah membolehkan kami untuk menampung 24 peserta bersama keluarga mereka di sebuah tempat yang lebih sesuai dan produktif untuk perbincangan antara peserta serta mencapai matlamat kami,” kata Encik Didih, yang pernah menubuhkan satu perusahaan sosial bagi bekas banduan.

Program rintis FMS yang berlangsung selama kira-kira tiga jam itu menghimpunkan kaum suami dalam sesi memasak, sebelum mereka menyertai perbualan berpandu tentang topik berkaitan dengan kelelakian dan perhubungan dalam rumah tangga.

Menurut Encik Ang, kegiatan memasak dipilih kerana ia merupakan satu aktiviti yang lazim dikaitkan dengan tanggungjawab kaum Hawa di rumah. 

“Kami ingin mengajak peserta memikir semula tentang tanggungjawab suami dan isteri sebagai tanggungjawab berasingan dan menggalakkan mereka bekerjasama,” tambah Encik Ang, yang pernah menggalas tugas sebagai Pengarah FSC sebelum meninggalkan jawatan itu untuk membentuk FMS.

Peserta juga memasak untuk anggota keluarga mereka sebagai luahan kasih sayang, dan didedahkan kepada pelbagai cara untuk menzahirkan kasih sayang melalui bahasa cinta pasangan mereka.

Encik Didih dan Encik Ang berharap pendekatan itu dapat membantu pasangan suami isteri lebih memahami cara menzahirkan kasih sayang dan mengeratkan hubungan.

“Saya terharu melihat kesan positif hasil program ini apabila saya mendapat tahu bahawa anak kepada salah seorang peserta telah menemui minatnya dalam bidang memasak dan kini memasak beberapa kali seminggu bagi keluarganya,” kongsi Encik Didih.

Beliau turut berharap tugas FMS dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada peserta, malah turut membawa perubahan positif pada keluarga mereka.

Bagi Encik Didih dan Encik Ang, mereka berharap FMS dapat menghasilkan persekitaran yang lebih menyokong bagi kaum lelaki untuk mendapatkan bantuan serta mempertingkatkan diri.

Dengan kejayaan program tersebut dan maklum balas yang baik, program itu telah mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk dilanjutkan buat tiga lagi sesi bagi 2026. 

Sesi seterusnya, diadakan pada 25 Julai, dan merungkai topik ‘Bolehkah lelaki menangis secara terbuka?’ untuk membina ruang selamat bagi kaum Adam berbincang tentang perasaan mereka.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kegiatan FMS, lungsuri laman web, https://fellowshipofmen.org/