Topik diikuti
Pergi ke BHkuSesi latihan intensif gim Fire City perkasa golongan kurang upaya penglihatan
Sesi latihan intensif gim Fire City perkasa golongan kurang upaya penglihatan
Lebih banyak gim serupa itu diharap tawar kegiatan kecergasan bersifat terangkum
Sesi latihan intensif gim Fire City perkasa golongan kurang upaya penglihatan
Dengan peluh membasahi pipi dan raut wajah yang tekun, Cik Siti Fairus Rahmad mengangkat bola segar (medicine ball) seberat hampir tujuh kilogram dan menghempas bola itu ke lantai dari atas kepala dengan sepenuh keringatnya.
Aksi ini diulang untuk sekurang-kurangnya lima kali sebagai sebahagian daripada gerakan senaman, dengan ditemani seorang pemandu arah, sambil disaksikan ketua jurulatih yang juga pengasas gim Fire City, Encik Samuel Lim.
Pandu arah ini penting kerana penglihatan Cik Fairus kabur – beliau separa buta sejak usianya 11 tahun akibat Sindrom Usher.
Gangguan genetik itu menyebabkan beliau hilang daya penglihatan secara progresif dek kerosakan pada sel-sel pengesan cahaya di mata.
Malah, beliau tidak dapat mendengar dengan jelas setelah dilahirkan dengan masalah pendengaran dan memerlukan bantuan implan pendengaran di telinga kanannya.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), anak bongsu dan satu-satunya ratu dalam kalangan empat beradik berusia 27 tahun itu berkata:
“Saya ingin kekal aktif, menerapkan amalan gaya hidup sihat dan mengenali rakan baru agar saya tahu saya tidak keseorangan (ketika bersenam).”
Adegan sebegini adalah sesuatu yang lumrah dalam sesi latihan jasmani pada setiap Sabtu kendalian gim Fire City.
Gim yang terletak di kondominium Kallang Riverside itu memulakan sesi latihan bagi golongan kurang upaya penglihatan (VI), seperti Cik Fairus, sejak Julai 2025.
Encik Lim baru-baru ini mendapat sokongan Dana Kerjasama SG (SGPF) di bawah Pejabat Kerjasama Pemerintah Singapura (SGPO) khusus bagi melaksanakan inisiatif kecergasan untuk golongan VI.
Sebahagian daripada Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), SGPO dilancarkan pada Januari 2024 bagi memperkukuh kerjasama dan interaksi dengan rakyat Singapura manakala SGPF bernilai $50 juta ditubuhkan bagi menggalakkan inisiatif membantu masyarakat.
Ia antara sebilangan gim di sini yang melaksanakan kegiatan kecergasan bersifat terangkum, dengan Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan, menyertai sesi latihan itu baru-baru ini.
Dalam satu hantaran di Instagram pada 15 Mei, beliau berkata usaha sebegitu penting demi “membina masyarakat di mana semua individu boleh terlibat sama, saling menyokong, dan mencapai matlamat mereka bersama-sama”.
Kecergasan terbuka kepada semua
Encik Lim, 44 tahun, berkata ilham bagi memulakan program latihan sedemikian timbul kerana beliau percaya kegiatan kecergasan seharusnya “mudah diakses, terbuka kepada semua dan memperkasa jiwa”.
Penglibatan beliau melatih individu VI dalam acara kecergasan Hyrox pada April lalu meneguhkan lagi kepercayaan itu, ujarnya.
Beliau berkata: “Latihan bersama individu VI untuk Hyrox baru-baru ini sejujurnya merupakan salah satu pengalaman bimbingan paling bermakna yang pernah saya alami.
“Apa yang paling menonjol adalah kesediaan mereka (golongan kurang upaya penglihatan) untuk melakukan sesuatu yang mencabar secara fizikal dan mental, meskipun wujudnya ketidakpastian dan cabaran.”
Menurutnya, aspek paling mencabar daripada pengalaman itu adalah bagaimana mengolah cara beliau berkomunikasi pergerakan senaman, persekitaran dan rentak pergerakan kepada mereka.
Tambahan pula, sudah menjadi kebiasaan sebagai seorang jurulatih untuk bergantung pada tunjuk cara berbentuk visual untuk menjelaskan sesuatu.
Oleh itu, beliau perlu menukar cara bimbingan dan tunjuk ajar untuk mencipta suasana latihan yang selamat semasa membimbing mereka dan hasil ini diterapkan dalam sesi latihan bersama individu VI di gim kendaliannya, kata beliau.
Sesi latihan itu, tambah Encik Lim, tertumpu pada isyarat lisan, ketekalan dalam persediaan senaman, dan aliran pergerakan yang boleh diramal dalam ruang gim.
Ini di samping orientasi berbentuk sentuhan atau tactile, larian dibantu rakan senam, dan perhubungan audio lebih jelas semasa senaman serta memberikan lebih banyak masa untuk peserta VI membiasakan diri dengan pergerakan dan intensiti latihan.
Sesi latihan diadakan dalam kumpulan kecil iaitu 10 hingga 15 peserta VI pada satu-satu masa agar setiap sesi kondusif dan perhatian dapat diberikan sepenuhnya kepada individu VI oleh sukarelawan yang mendampingi mereka.
Program latihan pula berteraskan pergerakan fungsian, merangkumi senaman seperti sesi angkat besi dan sesi pelaziman jasmani atau physical conditioning.
Encik Lim berkata: “Yang penting, kami tidak ingin latihan membuat mereka rasa ‘kurang upaya’.
“Matlamatnya adalah untuk sentiasa mencabar mereka, memelihara maruah dan memperkasa mereka, sambil memastikan keselamatan terjaga.”
Beliau berkata dana ‘Seed Tier’ atau Peringkat Awal SGPF yang diperolehinya baru-baru ini diharap dapat mengukuhkan ekosistem latihan meliputi jurulatih, sukarelawan dan rakan kongsi terlatih “yang percaya pada kecergasan bersifat terangkum dan bersedia memberi sumbangan secara bermakna”.
Dana ‘Seed Tier’ menyediakan individu dengan pembiayaan sehingga $5,000 dan sehingga 100 peratus kos program yang boleh disokong, dan mereka mempunyai tempoh sehingga setahun untuk memulakan inisiatif rintis dan menguji idea baru dalam masyarakat.
Senaman kegiatan bersifat terangkum
Cik Fairus berkata beliau meraih kepuasan mendalam kerana selain dapat meningkatkan tahap kecergasan, beliau dapat terlibat sama dengan peserta lain dalam kegiatan yang dijalankan, sekali gus mengembangkan rangkaian sokongan.
Ini lebih-lebih lagi selepas beliau pernah mengalami masalah berat badan berlebihan kerana mengabaikan kecergasan fizikal selama lebih sedekad dan menyifatkan detik itu “membuatnya rasa keseorangan”.
Menurut Cik Fairus, beliau berhenti bersenam di peringkat sekolah menengah selepas daya penglihatannya bertambah buruk.
Mentelah, beliau menganggap kegiatan bersenam tidak bersifat terangkum kerana pergerakan atau peralatan terkait memerlukan deria yang sempurna.
“Saya bergelut dengan masalah berat badan berlebihan semasa menuntut di ITE (Institut Pendidikan Teknikal).
“Saya ingin amalkan gaya hidup sihat dan kekalkan kecergasan (kembali),” kata lulusan Nitec Lanjutan jurusan Teknologi Maklumat (IT) ITE Kolej Barat itu.
Berkat tekad itu, beliau mula berlari-lari anak secara berkumpulan sekitar 2025 dan dari situ, timbul keceriaan kerana beliau dapat mengekalkan kecergasan dan lebih penting, bertemu rakan-rakan.
Tidak cukup dengan berlari-lari anak, beliau menyertai sesi latihan kendalian gim Fire City pada Februari, setelah mendapat tahu tentang program itu daripada rakannya.
Cik Fairus menyifatkan pengalaman itu membuatkan beliau “rasa seperti tidak keseorangan lagi” apabila dapat bersenam bersama-sama.
Beliau cuba berlatih dua kali seminggu seberapa yang mungkin – yang diselang-selikan dengan kegiatan berlari-lari anak dan sesi latihan di gim, katanya.
Menurutnya, Encik Lim atau lebih dikenali oleh beliau sebagai ‘Uncle Sam’, banyak memberi dorongan ketika berlatih, khususnya dalam memberi tunjuk ajar melalui aspek sentuhan.
Cik Fairus berkata: “Saya tidak suka latar belakang dengan bunyi yang terlalu bising kerana ia mengganggu fokus.
“Uncle Sam membantu saya menerusi aspek sentuhan bagi membiasakan diri saya dengan peralatan dan keadaan sekeliling semasa latihan. Ini membantu saya menghafal persekitaran dengan lebih baik.”
Beliau menaruh harapan agar lebih banyak gim dan ruang kecergasan lebih mesra golongan kurang upaya dan mengambil kira reka bentuk atau aliran kerja yang lebih bersifat terangkum.
“Ada yang menganggap individu seperti saya tidak boleh bersenam (atau melakukan) sesuatu secara bebas atau berdikari.
“Saya akur sebagai individu separa buta dan kurang pendengaran, ada cabarannya tersendiri.
“Namun, saya tidak ingin kekurangan keupayaan saya membataskan apa yang saya boleh atau ingin lakukan,” ujarnya dengan penuh harapan.
