Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam: Akta yang anggap orang ada dadah memiliki dadah itu tidak akan diubah

Pemerintah tiada rancangan pinda ketetapan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah kerana ia perlu untuk lindungi S’pura daripada pengedaran dadah
Apr 8, 2025 | 6:59 PM
Menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, juga berkata anggapan dalam akta itu menangani cabaran praktikal dalam membuktikan fakta yang hanya diketahui tertuduh, atau apabila tidak praktikal bagi pihak pendakwa mendapatkan bukti langsung.
Menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, juga berkata anggapan dalam akta itu menangani cabaran praktikal dalam membuktikan fakta yang hanya diketahui tertuduh, atau apabila tidak praktikal bagi pihak pendakwa mendapatkan bukti langsung. - Foto MDDI

Tiada sebab untuk melakukan sebarang pindaan berhubung anggapan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.

Ini kerana anggapan dalam kes dadah adalah perlu untuk melindungi Singapura daripada pengedaran dadah.

Encik Shanmugam menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen pada 8 April dalam menjawab soalan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang).

Encik Zhulkarnain bertanya sama ada pemerintah mempunyai rancangan untuk memperkenal pindaan berkenaan anggapan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA).

Namun, Encik Shanmugam berkata terpulang pada Mahkamah untuk memutuskan kesesuaian perlembagaan anggapan di bawah akta itu.

Akta tersebut menyatakan seseorang yang terbukti memiliki sesuatu yang mengandungi dadah terkawal dianggap mempunyai dadah itu dalam miliknya, kecuali dia dapat membuktikan sebaliknya.

Undang-undang itu juga menyatakan individu yang memiliki sejumlah dadah yang melepasi ambang tertentu akan dianggap mengedar dadah tersebut.

“Pemerintah tidak melihat sebarang sebab untuk memperkenalkan sebarang pindaan berkaitan anggapan tersebut,” kata Encik Shanmugam.

Beliau menjelaskan bahawa anggapan dalam kes berkaitan dadah adalah “perlu untuk melindungi diri kita daripada pengedaran dadah”.

Anggapan dalam akta tersebut juga menangani cabaran praktikal dalam membuktikan fakta tertentu yang hanya diketahui tertuduh, atau apabila ia tidak praktikal bagi pihak pendakwa mendapatkan bukti langsung.

Misalnya, pihak pendakwa boleh membuktikan dadah terdapat pada tertuduh, namun tertuduh juga boleh mengatakan dia tidak tahu apa yang dimilikinya itu adalah dadah untuk mengelak daripada disabitkan kesalahan.

“Mungkin tidak mudah bagi pihak pendakwa menyangkal dakwaan ini, atau mendapatkan bukti yang diperlukan untuk membuktikan tertuduh sedar bahawa apa yang dimilikinya adalah dadah.

“Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, adalah tanggungjawab tertuduh untuk membuktikan bahawa dia tidak tahu apa yang dimilikinya adalah dadah – ini biasanya fakta dalam pengetahuannya,” ujar Encik Shanmugam.

Anggapan dalam akta itu wujud sejak penggubalan undang-undang itu pada 1973.

“Anggapan itu telah menjadi bahagian penting dalam rangka kerja undang-undang yang membolehkan kita menangani masalah dadah dengan berkesan,” kata Encik Shanmugam.

Beliau turut menyatakan bahawa sedang banyak negara lain berdepan dengan cabaran hebat melawan dadah, Singapura berjaya mengekalkan antara kadar terendah penyalahgunaan dadah di dunia.

Ini meskipun keadaan dadah global semakin teruk, dan lokasi Singapura berdekatan Golden Triangle (Segi Tiga Emas) yang terkenal sebagai antara kawasan terkemuka dunia bagi pengeluaran dadah terlarang.

Dalam soalan susulannya, Encik Zhulkarnain bertanya bagaimana pemerintah menyemak ambang jumlah tetap bagi anggapan di bawah MDA, mengambil kira corak sebenar penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta perubahan pasaran dadah dengan lebih banyak dadah baru yang diperkenal.

Encik Shanmugam berkata semakan dilakukan setiap tahun oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Ini kerana bukan sahaja jumlah dadah yang dibawa, tetapi juga ketulenannya memainkan peranan.

“Oleh itu semakan dilakukan secara tahunan kerana kami memastikan ia berkadar dan relevan dengan corak penggunaan dan pasaran,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg