Sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah East Spring menikmati persembahan muzik bertajuk, ‘Expression Avenue’, oleh Orkestra Simfoni Singapura (SSO) secara langsung di Dewan Konsert Victoria pada 20 Mei.
Diketuai oleh konduktor terkenal, Encik Jason Lai, persembahan orkestra selama sejam itu adalah sebahagian daripada Pembelajaran Berasaskan Seni Persembahan (PABL) yang akan dilancarkan secara berperingkat di semua sekolah menengah dari 2024 hingga 2027.
Melalui PABL, pelajar sekolah menengah akan menghadiri persembahan muzik secara langsung yang dipentaskan khas di tempat konsert profesional.
Pelajaran muzik sebelum dan selepas konsert juga diadakan di dalam kelas.
Kementerian Pendidikan (MOE) mengumumkan demikian semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan 2024.
Menjelang akhir 2024, hampir 12,000 pelajar dijangka menghadiri persembahan muzik secara langsung di bawah PABL.
Setiap kohort akan menghadiri PABL sekurang-kurangnya sekali semasa berada di Menengah 1 dan 2.
Pada Mei 2024, pelajar menengah rendah dari 22 sekolah akan menghadiri persembahan konsert secara langsung oleh Orkestra Festival Metropolitan atau SSO.
Persembahan itu akan berlangsung di Dewan Konsert Yong Siew Toh dan Dewan Konsert Victoria sebagai sebahagian daripada pengalaman PABL.
MOE dan Majlis Seni Majlis Seni Kebangsaan (NAC) telah bekerjasama dengan institusi kebudayaan utama dan kumpulan seni persembahan, seperti Orkestra Festival Metropolitan dan SSO untuk membawa persembahan muzik secara langsung kepada pelajar.
Sebagai persediaan bagi para pelajarnya untuk konsert pada 20 Mei, guru muzik Sekolah Menengah East Spring, Cik Clara Sng, telah memperkenalkan karya muzik berjudul Vlatava yang dimainkan oleh SSO di Dewan Konsert Victoria.
“Kami menari dan memainkan kord gitar mengikut muzik juga. Saya telah belajar bahawa muzik mampu mencipta mood yang berbeza melalui tempo dan dinamik,” kongsi Myra Nur Nisrina Mohammad Alfian, 14 tahun, yang berada di bawah bimbingan Cik Sng.
Di samping itu, Cik Sng turut membimbing para pelajar tentang etika persembahan dan cara berkelakuan sebagai penonton konsert.
Cik Sng, yang merupakan ketua jabatan kraf dan teknologi sekolah, berkata daya usaha itu membantu meluaskan pengalaman pelajar dengan muzik.
Ia turut memupuk penghargaan terhadap seni kerana menonton persembahan sedemikian akan menjadi pengalaman pertama bagi kebanyakan pelajarnya.
“Menghadiri konsert secara langsung membolehkan pelajar meraih pengalaman unik dan berhubung dengan muzik yang dimainkan pada tahap emosi yang lebih mendalam,” tambah beliau.
Cik Sng berpendapat PABL mampu memupuk identiti, budaya dan kebanggaan Singapura melalui muzik.
Ia juga “boleh membantu pelajar mempunyai pemahaman yang lebih baik dan memupuk penghayatan muzik dan pemuzik tempatan”.
Dengan itu, Cik Sng berharap agar PABL dapat “meningkatkan kesedaran (pelajar) tentang pemuzik tempatan dan aspek penting muzik Singapura”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg