Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos hadir sidang haji di Jeddah; Muis pamer aplikasi PilgrimSG

Jan 9, 2024 | 7:45 PM
PERSIDANGAN HAJI DAN UMRAH: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (dua dari kanan), bergambar bersama pasukan Pejabat Ehwal Jemaah Haji Singapura (SPAO) yang membangunkan aplikasi PilgrimSG di Pameran dan Persidangan Haji dan Umrah di Jeddah pada 9 Januari.
PERSIDANGAN HAJI DAN UMRAH: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (dua dari kanan), bergambar bersama pasukan Pejabat Ehwal Jemaah Haji Singapura (SPAO) yang membangunkan aplikasi PilgrimSG di Pameran dan Persidangan Haji dan Umrah di Jeddah pada 9 Januari. - Foto FACEBOOK MASAGOS ZULKIFLI

Menambah baik prasarana, pengangkutan, penginapan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk memenuhi keperluan jemaah semasa menunaikan ibadah umrah dan haji, akan melengkapkan lagi perkhidmatan yang ditawarkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan ejen penjualan (GSA) pakej haji dan umrah.

Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, selepas lawatannya ke Jeddah, Arab Saudi, untuk menghadiri majlis perasmian Pameran dan Persidangan Haji dan Umrah pada 8 Januari.

Dalam hantaran di Facebooknya pada 9 Januari, Encik Masagos menulis: “Persidangan tersebut turut mengetengahkan peranan teknologi dalam memberi jemaah pengalaman yang baik sambil beribadah.

“Perbincangan berkisar pada penggunaan aplikasi pintar, realiti maya, dan kecerdasan buatan (AI) untuk menyebarkan maklumat dan memudahkan pergerakan jemaah dengan lebih berkesan. Kesihatan jemaah juga sering dibicarakan semasa persidangan.”

Encik Masagos menambah bahawa Arab Saudi turut mencari peluang bekerjasama dengan negara dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa bagi mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih mantap agar dapat menyediakan perkhidmatan perubatan yang berkualiti tinggi kepada jemaah.

“Saya percaya bahawa inovasi dan teknologi baru yang diperkenalkan dapat melengkapkan lagi khidmat yang ditawarkan Muis dan GSA yang diluluskan.

“Bagi mereka yang bakal menunaikan haji tahun ini, saya menggalakkan anda membuat persiapan dari segi fizikal, mental serta rohani dan jasmani dan saya mendoakan agar anda terus dalam keadaan yang sihat,” ujar Encik Masagos.

Menurut hantarannya, Muis telah dijemput ke persidangan tersebut untuk mempamerkan aplikasi PilgrimSG.

Aplikasi itu menyediakan maklumat masa sebenar tentang pergerakan dan kegiatan jemaah haji serta membolehkan jemaah menempah konsultasi perubatan mereka.

Pada 8 Januari, Encik Masagos telah memeterai perjanjian haji dengan Kementerian Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi untuk memperuntukkan secara rasmi 900 tempat untuk jemaah haji Singapura bagi musim haji 1445H/2024.

Encik Masagos menambah bahawa dalam pertemuan dua hala bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al Rabiah, mereka bersetuju untuk bekerja lebih erat lagi bagi membolehkan lebih ramai umat Islam Singapura menunaikan haji pada masa hadapan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg